Saturday, May 2, 2009

Nizar belum pasti tanding jawatan Naib Presiden PAS

KOTA BAHARU: Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir Mohd Nizar Jamaluddin belum membuat keputusan sama ada mahu bertanding atau tidak jawatan Naib Presiden PAS Jun ini.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak itu berkata, beliau belum memikirkan perkara itu dengan mendalam kerana mahu memberikan tumpuan terhadap kesnya di Mahkamah Tinggi Ipoh pada 4 hingga 6 Jun ini.

"Setakat ini belum terlintas dalam sanubari saya (untuk memikirkan soal pencalonan jawatan dalam parti)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan Pas Kawasan Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.

Mohd. Nizar bagaimanapun mengucapkan terima kasih kepada kawasan-kawasan yang mencalonkannya untuk jawatan itu walaupun beliau belum membuat persediaan untuk memberi kata putus sama ada ingin menerima atau sebaliknya pencalonan itu.

Ditanya mengenai pandangan bahawa PAS perlu dipimpin oleh gabungan kalangan ulama dan profesional bagi memantapkan masa depan parti agar boleh diterima semua pihak, Mohd Nizar menyokong cadangan itu.

"Cadangan itu baik bagi memastikan kesinambungan kepimpinan dan masa depan PAS," katanya.

Dua hari lepas, Ketua Dewan Ulama PAS Pusat Datuk Mohamad Daud dilaporkan berkata pemimpin bertaraf ulama perlu diberikan jawatan sebagai Presiden dan Timbalan Presiden PAS bagi menjadikan parti itu terus dihormati pada masa depan.

Bagaimanapun, kenyataan Mohamad itu dibidas oleh beberapa pemimpin PAS yang lain termasuk Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan, Abdul Fatah Harun.

Abdul Fatah berpendapat sesetengah pemimpin ulama sebenarnya tidak memahami konsep sebenar kepimpinan ulama bagi mewujudkan barisan kepimpinan yang mantap dan perlunya kepada gabungan pemimpin ulama dan profesional dalam parti itu.BERNAMA

Ajijoi ~ Belum pasti tapi InsyaAllah.

No comments:

Followers