Keadaan semakin bergelora dalam Gerakan Pulau Pinang
BUKIT MERTAJAM: Keadaan semakin bergelora dalam Gerakan Pulau Pinang selepas empat cawangannya di Machang Bubok, hari ini secara terbuka menggesa pengerusi negeri, Datuk Dr Teng Hock Nam, menyemak semula pilihannya bagi jawatan penyelaras kawasan di kawasan itu.
Jurucakap mereka, Ooi Liang Chai, berkata empat cawangan berkenaan iaitu Permatang Tinggi, Alma, Taman Sri Kijang dan Machang Bubok, mahu Dr Teng mencalonkan seseorang dari Machang Bubok untuk dilantik sebagai penyelaras.
"Kami tidak puas hati dengan keputusannya mencalonkan seseorang dari luar untuk menjadi penyelaras. Sebelum beliau membuat pelantikan itu, beliau sepatutnya merujuk kepada kami. Kami adalah orang tempatan di sini tetapi kami tidak kenal siapa orang ini (dilantik penyelaras)," katanya pada sidang akhbar di pejabat cawangan Gerakan Machang Bubok.
Mereka mendakwa Dr Teng melantik Tan Teik Chuan sebagai penyelaras dan pelantikan itu tidak diterima oleh akar umbi yang menuduh pengerusi negeri itu "mempunyai agenda sendiri dan meminggirkan sesiapa yang tidak menyokongnya".
"Beliau sudah hilang kepercayaan kami. Beliau berkata beliau tidak akan campur tangan dalam pemilihan kami tetapi nampaknya beliau sudahpun campur tangan dengan melantik seseorang yang kami tidak kenal," katanya.
Ooi turut mendakwa cara Dr Teng mengendalikan pelantikan itu akan melemahkan semangat dan usaha ahli parti untuk meraih semula sokongan rakyat di negeri ini.
"Mampukah Gerakan mengambil alih semula negeri ini daripada pakatan pembangkang jika tidak mampu menguruskan hal ehwal parti," katanya dan menurutnya empat cawangan itu akan meminta Dr Teng meletakkan jawatan sebagai pengerusi negeri jika beliau (Dr Teng) enggan melayani permintaan mereka.
Dr Teng, yang juga naib presiden parti, semasa dihubungi enggan mengulas lanjut dan hanya berkata: "Jika anda lihat pada latar belakang mereka, siapa mereka dan apa yang mereka buat, anda akan dapat jawapannya kenapa kami tidak melantik mereka.
"Itu sahaja yang saya ingin katakan. Saya tidak mahu mengulas lanjut mengenai mereka ini," katanya.
Bagaimanapun, orang dalaman parti berkata, apa yang berlaku hari ini lebih berupa perjuangan dalaman Gerakan Pulau Pinang khususnya antara Dr Teng dan seorang lagi naib presiden parti, Huan Cheng Guan, yang juga dari negeri itu.
Dr Teng dipilih pengerusi negeri pada September tahun lalu, menggantikan presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon yang tidak mempertahankan jawatan itu. - Bernama
Ajijoi ~ Gerakan dan PPP antara komponen BN yang semakin bergolak. Itu kes bergolak didalam parti masing-masing, belum lagi kes bergolak secara senyap diantara parti-parti komponen BN.
Bagaimana Najib nak menyatukan rakyat Malaysia dengan hanya memperkenalkan slogan 1Malaysia sedangkan parti-parti komponen yang dalam kain dia pun tak bersatu dan bermasalah.
1Malaysia.....entahlah. Selagi umno yang menguasai bn tidak menghormati hak rakyat sepertimana yang mereka lakukan di Perak, selagi itulah slogan hanya tinggal slogan.
Slogan ke slow gun?
No comments:
Post a Comment