Friday, May 15, 2009

Sidang Dun Perak 7 Mei tidak sah - Prof Aziz Bari


Profesor Dr Abdul Aziz Bari berpendapat sidang DUN Perak 7 Mei lalu tidak sah. Sidang itu baginya, adalah rentetan dan siri perbuatan haram yang beranak-pinak dan terus menimbulkan kekecohan dan kekeliruan dalam negara.

Beliau berhujah, dari awal lagi sidang berkenaan mengenepikan kedudukan dan kuasa Speaker V.Sivakumar. Selain itu, pelbagai arahan serta perintah dibuat Setiausaha Dewan dan Setiausaha Kerajaan Negeri yang tidak mempunyai autoriti.

Sidang itu sendiri dilakukan melalui rampasan, khususnya Hee Yit Foong yang bertindak memulakan sidang meskipun Sivakumar ada dan masih belum disingkirkan.

Aziz berpendapat V.Sivakumar masih lagi Speaker DUN Perak yang sah. Dalam persidangan haram itu, Ganesan kelihatan tidak begitu petah bercakap dan tidak begitu mahir dengan peraturan dewan sehingga terpaksa dibantu oleh Dato' Hamidah Osman.

Aziz menyifatkan kekecohan di DUN Perak itu adalah yang kedua selepas rampasan kuasa oleh BN pada 5 Februari. Sebelum itu polis juga menghalang sidang DUN Perak Mac lalu sehingga ia terpaksa diadakan di bawah pokok.

Paling menyedihkan, kata Aziz lagi, sebagaimana sidang bawah pokok 2 bulan yang lalu, sekali lagi polis memainkan peranan yang utama.

Sebelum itu kita mendengar bagaimana Ketua Polis Negara sendiri dalam kekecohan yang berlaku di Dewan Rakyat mengakui yang mereka tidak boleh masuk dewan. Anehnya di Perak ada pula undang-undang lain yang mereka pakai.

"Apa yang polis lakukan ialah pencerobohan dan jenayah. Tetapi kita tak boleh buat apa-apa kerana kita bergantung kepada polis. Ini kes pagar makan padi," katanya kesal.

Cara menyelesaikan krisis Perak ialah dengan membubarkan DUN kerana keadaan menjadi semakin teruk dan Kerajaan haram pimpinan Dato Seri Dr Zambry akan terus menghadapi masalah dan terpaksa bergantung kepada istana dan polis untuk berfungsi.

Aziz berkata hanya kerajaan diktator yang berfungsi begitu dan dalam sistem demokrasi kerajaan hidup dan tegak berdasarkan sokongan rakyat, bukan atas bantuan polis dan mahkamah. Hanya golongan fasis sahaja tidak percaya dengan pilihanraya. Mereka akan mengambil tindakan ganas dan di luar kebiasaan untuk berkuasa.

"Apa yang dilakukan oleh Ahli-ahli DUN di Perak adalah respons yang dilakukan oleh sesiapa pun termasuk oleh BN sendiri kalau mereka melaluinya. Dengan itu adalah tidak adil untuk menuduh mereka ganas, liar dan sebgainya sedangkan kita tahu bagaimana mereka dilayan oleh polis dan pihak sekretariat kerajaan negeri," jelasnya.

1 comment:

Akar Umbi said...

Dalam kemarahan masing-masing tak mau kendur. Dari segi undang2 mungkin Prof Aziz Bari betul.

Sebagai rakyat biasa, pengusiran keluar Zambry dan barisan exconya menjadi tanda tanya. Begitu juga dengan nasib 3 ADUN Bebas.

Followers