Saturday, May 23, 2009

Hanya rakyat berhak tentukan MB, bukannya mahkamah

KUALA LUMPUR, 23 Mei (Hrkh) - Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan bahawa kesemua Menteri Besar yang dilantik di negeri-negeri adalah dengan mandat yang diberikan oleh rakyat.

Menurutnya, keputusan yang dibuat Mahkamah Rayuan semalam mengisytiharkan Dato' Seri Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar adalah membuktikan bahawa ianya tidak berpandukan kepada mana-mana sistem iaitu Islam ataupun demokrasi.

"Kesemua Menteri Besar di Malaysia ini memegang jawatan ini kerana undi yang diberikan rakyat kepada kami, bukan keputusan mahkamah yang memutuskannya," katanya pada satu sidang media selepas merasmikan sambutan jubli perak kepimpinan ulama di Markaz Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar Gombak dekat sini.

Beliau juga mendakwa bahawa sekiranya kaedah 'rampas kuasa' yang dilakukan Umno-BN ke atas kerajaan Perak 'dihalalkan', maka ini bermakna ia mungkin akan dilaksanakan di negeri-negeri lain selepas ini.

"Selepas berjaya dibuat di Perak, maka ia akan dibuat di negeri-negeri lain pula selepas ini.

"Cara apakah ini? Islam pun tidak, demokrasi pun tidak," tegasnya.

Malah menurutnya, Menteri Besar Perak sebelum ini, Dato' Seri Mohd Nizar Jamaludin mengambil jalan yang betul dengan mengadap Sultan Perak untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri.

Ditanya mengenai keputusan Mahkamah Rayuan semalam yang berpihak kepada BN, beliau menyifatkan parti itu sebagai satu gerombolan dan bukan sebuah parti politik.

"Umno sekarang bukan lagi sebuah parti politik sebaliknya ia sebuah gerombolan pemikiran sahaja," katanya lagi.

Menjawab soalan pemberita mengenai kenyataan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib mengenai hasrat BN untuk bertanding di Manek Urai, pihaknya menyifatkan kenyataan tersebut mencerminkan parti itu sebuah parti bertaraf parti Bebas.

"Bila dia tidak mahu bertanding di Penanti, maka ia jadi taraf sebuah parti Bebas, tetapi selepas timbalan dia menyatakan bahawa dia akan bertanding di Manek Urai bermakna dia telah sedar akan taraf sebenar parti itu.

"Kenyataan yang dibuat Najib dan pemimpin BN sebelum itu membuktikan rendahnya moral dan maruah parti tersebut apatah lagi dengan keengganan mereka untuk bertanding di Penanti," ujarnya lagi.

Beliau yang juga merupakan Menteri Besar Kelantan menjelaskan bahawa PAS mempunyai senarai calon yang ramai untuk mengisi kekosongan pada pilihan raya kecil Dun Manek Urai nanti.

"Kita mempunyai senarai yang panjang kerana terdapat calon yang ramai dan insya-Allah ia adalah orang tempatan," demikian ujarnya.

Turut hadir pada sidang media tersebut, Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din.

-harakahdaily

No comments:

Followers