Tuesday, June 11, 2013

PAS Perak fail 3 petisyen PRU13 pagi ini


 

IPOH: Tiga wakil calon PAS mewakili Dewan Undangan Negeri (Dun) Pasir Panjang, Lubok Merbau dan Manjoi telah memfailkan petisyen pilihan raya pagi ini.


Petisyen tersebut difailkan menerusi Tetuan Amin Amirul & Partners yang diketuai oleh Pengerusi Lajnah Undang- Undang dan Hak Asasi Manusia PAS Perak, Aminuddin Zulkipli di Mahkamah Tinggi, Ipoh.


Menurut sumber, tiga lagi petisyen akan dibuat oleh PAS untuk Dun Rungkup, Manong dan Selama petang ini.


"Setakat pagi ini tiga Dun telah difailkan dan insya Allah akan ada lagi beberapa Dun akan turut berbuat demikian pada petang ini atau esok," katanya ketika ditemui Harakahdaily selepas selesai memfailkan petisyen.


Hadir sama ialah pimpinan serta penyokong Pakatan Rakyat Perak yang hadir untuk memberikan sokongan.


Menurut beliau, pihaknya akan menunggu maklum balas oleh pihak mahkamah sebelum ditetapkan tarikh pengurusan kes tersebut.


Petisyen dibuat katanya adalah berdasarkan hujah serta asas kukuh tentang kepincangan, salah laku dan ketidakadilan dalam proses pilihanraya lalu.


"Perkembangan berikutnya akan dimaklumkan dari masa ke semasa dan kami berharap seluruh rakyat Malaysia khususnya di Perak agar dapat mendoakan kejayaan petisyen yang dijalankan ini seterusnya dapat mengangkat kembali hak rakyat Perak," katanya lagi.


Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang lalu, calon PAS di Dun Manjoi Asmuni Awi kalah kepada calon BN Mohamad Ziad Mohamed dengan majoriti tipis iaitu 132 undi manakala di Pasir Panjang, calon PAS Rohawati Abidin tewas dengan majoriti 304 undi kepada Rashidi Ibrahim.


Majoriti 53 undi memisahkan antara calon PAS di Lubok Merbau, Zainudin Mohd Yusof dengan calon BN, Siti Salmah Mat Jusak.

- HarakahDaily

Benarkah harga kereta telah turun?


Ramai yang teruja apabila membaca laporan daripada akhbar Utusan Malaysia beberapa hari lalu mengenai  penurunan harga kereta. 10 buah model kereta keluaran tempatan dan antarabangsa diperagakan dengan harga beserta peratus penurunannya dipamerkan. Ramai juga yang terliur dibuatnya. Ada pula yang mula memasang angan-angan untuk menukar kereta baru.

Inilah usaha kerajaan BN dalam menunaikan janji pilihanraya untuk menurunkan harga kereta, menurut laporan tersebut.

Saya yang melihat gambar model-model kereta tersebut agak kurang selesa. Ini kerana saya sendiri memang mengikuti perkembangan harga kereta Perodua Alza (yang diangankan untuk membelinya) sebelum ini. 

Harga Alza yang dikatakan turun sebanyak RM2,000.00 itu setahu saya memang telahpun ditawarkan oleh Perodua sebagai rebate sebelum pilihanraya lagi. Begitu jugalah dengan model-model lain yang dipamerkan itu.

Untuk memastikan yang sangkaan saya itu benar, saya tanyakan kepada seorang jurujual Perodua dan beliau mengesahkan yang harga RM2,000.00 itu telah lama ditawarkan kepada pembeli.

Ini bermakna, harga yang dikatakan turun kerana janji BN sebenarnya adalah harga yang memang telah ditawarkan pengeluar.

Ramai yang tertawakan harga kereta Proton Saga dan juga Exora yang diturunkan sebanyak RM450 sahaja.

Jika beginilah rupanya penurunan harga kereta sepertimana yang dijanjikan BN, bermakna rakyat akan tetap terbeban dengan harga kereta yang mahal. 

Tidak sepertimana yang dijanjikan Pakatan Rakyat dimana penurunan harga kereta adalah daripada cukai eksais kerajaan yang begitu besar, bukannya bergantung kepada tawaran pengeluar kereta itu sendiri. 

Sungguhpun cukai eksais yang dikutip kerajaan akan berkurangan jika diturunkan bagi setiap model kereta, tetapi ianya tetap memberikan keuntungan kepada rakyat negara kita sendiri.

Ramailah warganegara kita yang akan berkemampuan untuk memiliki sebuah kereta yang lebih baik dan baru.

Bukan seperti saya yang masih terkial-kial untuk menjaga dan membaiki kereta lama. 

Monday, June 10, 2013

Pejuang Islam jangan dilabelkan

Pada beberapa malam yang lalu, seusai solat Isyak di surau, saya dan beberapa orang sahabat jemaah langsung ke kedai makan untuk minum-minum sambil bergebang.

Sebaik habis kopi Jantannya dihirup, seorang sahabat yang dipanggil Cikgu ini menanyakan soalan kepada saya. Soalan ini kerap benar singgah, bagaikan seorang Blogger boleh tahu apa saja cerita di dunia.

"Apa cerita terbaru la ni," tanyanya. "Blog hang pun dah lama tak update," tambahnya pagi.

"Saja menyepikan diri, berehat sekejap lepas PRU ni," jawab saya padanya. 

"Tambah pulak sekarang ni saya tengok dalam blog ke, facebook ke, whatsapp pun sama, semuanya tengah hangat bincang pasal apa yang dikatakan pertembungan antara golongan ulamak dan professional dalam PAS." jawab saya lagi.

"Tang situ la silapnya orang kita!" jerkah Cikgu, meluruskan badannya yang sedari tadi bersandar di bangku. 

"Bila kita semua ni masuk Pas, isi borang, maknanya kita declare yang diri kita ni pejuang Islam sebab kita nak ikut sama-sama dengan Pas untuk berjuang agama Islam.

Dan bila kita dah jadi pejuang Islam, kenapa kita nak terikut-ikut cakap musuh Islam yang nak pecahkan kita ni dengan labelkan kita ni golongan ulama, golongan professional." suara Cikgu semakin kuat dan badannya semakin rapat dengan saya. 

Sambungnya lagi, "Aku bagi hang contoh, Hasan Al Banna dengan Syed Qutb tu golongan ulamak ka professional? Depa dua-dua tu bukannya golongan ulamak tapi tetap dikenang sebagai pejuang Islam. Nak berjuang Islam ni bukan kira mesti ulamak saja, golongan apa sekalipun, berjuang tetap berjuang.

Musuh kita saja labelkan kita ni bagi kita sentiasa berpecah. Walaupun setelah Islam itu menang, tapi kita sampai penghujungnya takkan dapat bersatu sebab dah dipecahkan dengan label dan gelaran.

Sebab tu aku kata kita jangan sebut dah yang ni golongan ulamak, yang ni pulak golongan professional. Jangan terikut dengan cara musuh tu.

La ni, hang golongan mana pun, janji buat kerja untuk menegakkan Islam. Lantak la orang nak kata apa, pejuang Islam tetap pejuang Islam walau apa pun kerja depa.

Hang tulih dalam blog hang apa yang aku kata ni," Cikgu bersandar kembali ke bangku setelah selesai merenjiskan segala yang berkecamuk dikepalanya mengenai isu terkini dikalangan ahli Pas.

Dan kini giliran saya pula tersandar bila memikirkan tentang apa yang dihambur Cikgu sebentar tadi. 

Memang betul kata-katanya itu, kita tak perlu terikut-ikut dengan rentak musuh yang sentiasa mahu memecah-belahkan jemaah. Kembali bersatu, saling membantu dan terus istiqamah dalam perjuangan.

Ustaz yang duduk disebelah saya hanya tersenyum sambil menghirup teh tariknya yang belum habis sedari tadi. 

Tuesday, June 4, 2013

Larang motosikal masuk bandar besar tidak relevan - Pesuruhjaya Pas Perak

Di Sediakan Oleh: Hafez Sabri

Ipoh, Pesuruhjaya PAS Perak yang juga merupakan ADUN Titi Serong Ustaz Abu Bakar Hussian menyatakan cadangan ketua polis negara supaya kerajaan melarang motosikal memasuki bandar-bandar besar di seluruh negara bagi mengekang jenayah ragut di negara ini dilihat tidak relevan untuk dipraktikkan.

Menurut beliau tinjauan pihaknya mendapati, rata-rata rakyat yang ditemui memberikan reaksi kurang senang terhadap cadangan tersebut. Hal ini sekiranya cadangan itu dilaksanakan, ia dikhuatiri akan hanya mengundang kesulitan kepada orang ramai meskipun mempunyai pilihan menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam.

Memetik ucapan beliau,

''Kerajaan tidak boleh mengehadkan penggunaan motosikal di bandar-bandar besar sedangkan pelbagai urusan termasuk kerja seharian dibuat di bandar.

''Ia akan menyukarkan orang ramai terutama mereka yang sememangnya menaiki motosikal untuk melakukan tugas masing-masing,'' katanya.

Beliau juga menyatakan larangan kemasukan motosikal di bandar-bandar besar tidak boleh diterima pakai kerana ia dilihat tidak bersesuaian dengan faktor persekitaran dan sistem pembangunan di negara ini.

Sebagai contoh, di Kuala Lumpur sendiri, jarak dari satu tempat ke satu tempat lain dalam bandar agak jauh, tak kan hendak suruh orang jalan kaki pula, katanya. 

Menurut beliau lagi, beliau yakin jenayah ragut masih akan terus berlaku meskipun langkah melarang motosikal memasuki bandar-bandar besar dilaksanakan.

Peragut tidak semestinya menggunakan motosikal untuk melakukan jenayah, bahkan kemungkinan menggunakan pelbagai cara yang disifatkan sebagai 'kreatif' dan tidak masuk akal untuk mencari mangsanya, jelas beliau.

Jenayah berlaku di mana-mana, kadang-kadang penjenayah juga sanggup melakukan apa sahaja untuk berbuat jahat.

Beliau juga mempersoalkan apakah pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) gagal membanteras kegiatan jenayah sehingga mereka perlu melarang kemasukan motosikal ke dalam kawasan Bandar?

Justeru beliau menyatakan, terdapat pelbagai cara lain lagi yang boleh dipraktikkan kerajaan bagi membendung jenayah ragut.

Tambah beliau lagi, pengunaan motosikal dilihat relevan di bandar-bandar besar terutama dalam mengatasi masalah kesesakan lalu-lintas selain menjimatkan penggunaan bahan bakar.

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan dan pihak polis mempertimbangkan semula cadangan tersebut dengan mengambil kira semua aspek termasuk masalah yang akan timbul kelak.

Monday, June 3, 2013

Satu Rumah, Satu Harakah

Saya masih ingat lagi sewaktu kunjungan Saudara Ahmad Lutfi Othman, Ketua Pengarang Harakah dan juga Dato' Tarmizi Mohd Jam, Pengarah Berita Harakah ke Pejabat Perhubungan Pas Perak pada 23 Oktober 2011 untuk mengendalikan Kursus Kewartawanan & Pemberitaan Harakah anjuran Lajnah Penerangan & Dakwah, Badan Perhubungan Pas Negeri Perak.

Walaupun agak berkepayahan akibat uzur (selepas menjalani pembedahan pintasan jantung) serta bertongkat, namun Sdr Ahmad Lutfi tetap memanjat anak-anak tangga pejabat itu untuk memberikan sumbangan beliau dalam mendidik penulis-penulis baru dalam membuat penulisan bersifat berita bagi penyampian melalui blog, facebook dan juga untuk dipanjangkan kepada pejabat Harakah.

Penyampaian beliau yang bertajuk 'Peranan Besar Wartawan dalam Politik' berjaya menyuntik semangat untuk menjadi wartawan yang berjaya dan amanah kepada 33 peserta kursus yang hadir.

Manakala, Dato' Tarmizi yang membentangkan kertas kerja berjudul 'Kursus Penulisan Berita' pada pagi itu, ada menyampaikan satu cadangan pada penghujung sesi soal jawab bersama peserta kursus.

Cadangan beliau agar akhbar Harakah diwajibkan untuk dibeli oleh setiap ahli agar jualan akhbar tersebut dapat memberi sumbangan kepada parti serta memberikan maklumat tepat kepada ahli-ahli secara langsung.

Kenapa saya terkenang kembali peristiwa ini yang berlaku setahun setengah yang lalu?

Baru-baru ini, dilaporkan akhbar-akhbar Harakah dan juga Suara Keadilan telah dirampas di kedai-kedai oleh Kementerian Dalam Negeri. Itu yang berlaku minggu lalu. Minggu ini lebih teruk lagi apabila Harakah dirampas sebelum dijual lagi.

Harakah kini bukan lagi menjadi bahan bacaan hanya ahli-ahli Pas sahaja tetapi telah menjadi ketagihan orang awam yang sentiasa menanti naskah-naskah Harakah dijual di kedai-kedai buku dan juga kedai-kedai runcit.

Fenomena ini begitu menakutkan pihak yang berkuasa, lalu syarat 'Untuk Ahli Pas Sahaja' yang dipahatkan kepada terma jualan akhbar Harakah diguna-pakai untuk menghalalkan tindakan rampasan mereka.

Ketakutan dan trauma mereka dengan laporan-laporan yang didedahkan Harakah bersifat benar kerana jika ianya dimuatkan dengan berita-berita fitnah dan laporan-laporan yang tidak betul, sudah tentu Harakah telah disaman. Tetapi sehingga ke saat ini, laporan Harakah tidak dicabar mana-mana pihak kerana ianya bersifat 'laporan', bukannya 'andaian'.

Sudah sampai masanya pihak Lajnah Penerangan di setiap kawasan memainkan peranan sebagai pengedar akhbar Harakah dikalangan ahli.

Setiap ahli diwajibkan untuk membeli Harakah, bukan sahaja untuk mendapatkan maklumat tepat daripada kepimpinan parti tetapi juga untuk menyalurkan dana kepada parti secara tidak langsung.

'Satu Rumah, Satu Harakah' perlu dijadikan salah satu agenda gerak kerja buat Lajnah Penerangan kawasan-kawasan dalam memastikan ahli-ahli ditempat mereka sentiasa bermaklumat dan juga istiqamah dalam menyumbang dana kepada parti itu sendiri selain membantu tabung lajnah berkenaan.

Pada masa yang sama juga, Harakah dapat disampaikan kepada pembaca yang bukan ahli dengan mengedar terus kepada mereka sebagai salah satu cara kita memberi khidmat serta menarik perhatian mereka kepada kita.

Semoga dengan terlaksananya program 'Satu Rumah, Satu Harakah' ini, jumlah keluaran akhbar lidah rasmi PAS ini akan bertambah serta ahli-ahlinya akan lebih bermaklumat.

Followers