Tuesday, March 31, 2009

Siri larangan terbaru


Larangan sentuh isu Sultan Perak, Altantuya di 3 pilihan raya kecil

TAIPING: Parti-parti politik yang bertanding dalam pilihan raya kecil kerusi Parlimen Bukit Gantang tidak dibenar menyentuh keputusan Sultan Perak dan juga kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu sebagai bahan berkempen.

Keputusan itu dikeluarkan oleh Polis Taiping semalam.

Dengan syarat baru itu, keputusan Sultan Azlan Shah membolehkan Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan negeri Perak tidak boleh disentuh semasa ceramah kempen pilihan raya yang bermula kelmarin.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, parti-parti politik perlu mematuhi syarat permit bagi mengelakkan prejudis memandangkan kedua-dua kes berkenaan masih didengar mahkamah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, polis akan mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa sahaja tanpa mengira dari parti politik mana, yang didapati mengapi-apikan atau mengeluarkan kata-kata yang dianggap sebagai menghasut.

Beliau berkata, semua calon mahupun wakil atau penyokong sekalipun tidak seharusnya mengeluarkan sebarang kenyataan atau kata-kata yang dianggap bersifat menghasut, yang boleh membangkitkan rasa tidak senang atau menimbulkan suasana tegang kepada orang yang mendengarnya.

“Semua parti politik yang bertanding dalam pilihan raya kecil di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai perlu mematuhi dengan tegas peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya, di samping menerima nasihat polis,” katanya dalam satu kenyataan.

Musa berkata mereka perlu mengelak daripada membuat tuduhan tidak berasas atau yang langsung tidak benar mengenai lawan, mahupun parti yang diwakili lawannya itu.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Raja Musa Raja Razak mengesahkan pihaknya ada mengenakan syarat baru tambahan itu.

Kata beliau, pihaknya memutuskan demikian memandangkan kedua-dua kes berkenaan masih dibicarakan di mahkamah.

"Kes ini masih disebut di mahkamah... tidak boleh disentuh, dikhuatiri subjudis," kata beliau ketika dihubungi mStar Online.

Kes bunuh Altantuya bermula 2006 dan masih berlarutan manakala beberapa kes saman menyentuh krisis politik termasuk yang mempertikaikan pelantikan Datuk Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar, menerajui BN, menggantikan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dari Pakatan Rakyat, juga sedang dibicarakan.

Peraturan itu melibatkan kesemua parti politik.

Terdahulu pada sidang media Kuala Sepetang dekat sini, ADUN Teja, Chan Lih Kang yang juga Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat Perak berkata, parti-parti politik sudah tidak dibenarkan menyentuh isu-isu tersebut.

"Kami ingin tahu siapa yang membuat syarat baru ini. Mengapa perkara-perkara ini tidak boleh disentuh?" kata beliau.

Katanya, Pakatan Rakyat tidak akan merayu terhadap syarat tersebut sebaliknya akan terus membangkitkan kedua-dua isu berkenaan dan sedia menghadapi risiko kelak.

Kecuali isu Sultan Perak, kes Altantuya telah menjadi antara bahan utama dalam kempen pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh dan Kuala Terengganu sebelum ini.

Syarat baru itu dinyatakan sebagai perkara 3.5 dan 3.6.

Syarat 3,5 mengatakan bahawa penceramah tidak boleh menghasut serta mempersoal keputusan yang dibuat oleh Institusi Raja manakala syarat 3.6 pula berkata "tidak boleh sentuh isu Altantuya, isu perkauman dan isu keagamaan".

Dalam pada itu, syarat 3.7 pula berkata, "kehadiran orang ramai adalah tanggungjawab pihak penganjur untuk mengawal mereka, jika kehadiran melimpah hingga di luar kawasan permit yang dipohon, pihak polis akan mengambil tindakan".

Polis mengeluarkan permit berkempen di bawah Akta Polis dan berhak mengenakan syarat berkaitan tempoh kempen dan sebagainya.

Kelmarin, PAS yang berhadapan dengan saingan calon BN berkata, polis telah mengurangkan tempoh berkempen selama sejam iaitu hanya dibenarkan sehingga 11 malam khususnya di kawasan luar bandar.

Pilihan raya kecil kali ini melibatkan tiga bahagian iaitu Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai.

- mstar.com

Ajijoi ~ Setiap hari akan diperkenalkan larangan yang terbaru mengikut laporan risikan sb.

Apabila telinga umno kemerahan tak tahan dengan isu sultan yang mereka sendiri jinjing ke bukit gantang, begitu juga isu altantuya yang membuatkan mereka fobia, maka larangan pun keluar.

Nak takut apa lagi? Tv dan suratkhabar siang malam berkempen untuk bn. Sampaikan semua rancangan di tv1 telah dihentikan dan di gantikan dengan program cakap merapu yang menjemput professor-professor dan pegawai-pegawai berbayar untuk menyuarakan pandangan betapa bagusnya bn memerintah.

Ceramah disekat sehingga jam 11 malam sahaja tetapi program kempen cakap merapu dalam tv sehingga ke jauh malam.

Tiada nikmatnya langsung apabila berlawan dengan pondan.

Begitu juga dihari penamaan calon apabila lebih 50,000 penyokong Pakatan terpaksa berdepan dengan 700 bebudak PLKN yang diupah rm200 untuk memegang bendera bn. Akhirnya kelam-kabut polis dan fru meleraikan pergaduhan bebudak ni sesama sendiri.

Buatlah larangan lagi. Kalau boleh buatlah tiap-tiap hari bagaikan bersiri agar berseri sedikit pertandingan di bukit gantang ini.

'BUKIT INI AKAN KITA TELENTANGKAN DI BUKIT GANTANG'

Anugerah Datuk buat Nizar

IPOH (31.03.09): DS Nizar dianugerahkan gelaran datuk sebentar tadi.

Gelaran yang datangnya bukan daripada mana-mana sultan atau raja, malah anugerah tertinggi daripada Yang Maha Esa apabila anak sulung perempuan beliau, Fathihah selamat melahirkan cucu perempuan sulung seberat 3.1kg buat DS Nizar serta isteri DS Fatimah Taat jam 4.55 petang tadi, di Pusat Rawatan Islam Ar-Ridzuan, Ipoh, demikian lapor menantu DS Nizar, Hazimin melalui sms kepada saya.

Walaupun jangkaannya bersalin pada 7 April 2009, namun hari ini, anugerah ini sebagai tanda cahaya kemenangan akan tersinar buat DS Nizar di Bukit Gantang nanti. Semangat juang akan bertambah dengan kelahiran cucu pertama ini.

Tahniah dari saya sekeluarga buat DS Nizar serta keluarga.

Monday, March 30, 2009

Perutusan khas buat warga Bukit Gantang







Isu masjid Simpang: apa kisah sebenarnya?

Malam tadi dikhabarkan bahawa ada sedikit kekecohan berlaku apabila dua parti yang bertanding di Bukit Gantang telah 'bertembung' di Masjid Simpang, Taiping.

DS Nizar telah dituduh 'merampas' masjid ketika program bn diadakan disana.

Kita ikuti kisah daripada mereka-mereka yang terlibat.


Datuk Dr Zambry Kader :

Nizar bertindak keterlaluan apabila cuba mengambil alih jemaah dengan meminta mikrofon daripada imam dan cuba mengadakan ceramah sebelum menunggu Isyak. Tindakan itu telah dirancang oleh PAS dan sanggup menggunakan masjid sebagai tempat berpolitik. - mstar.com & “Jangan berniat takbur dan riak kerana jika setakat untuk mengimamkan jemaah atau menyampaikan sepatah dua tafsiran al-Quran, saya pun mampu,” - berita harian (jangan gelak...)


Dato Seri Ir Nizar Jamaludin :

Beliau telah diundang oleh imam Masjid Simpang untuk berucap menjelaskan ayat-ayat yang dibacakan semasa mengimamkan solat Maghrib. "Jadi, saya diminta membuat tafsiran ayat-ayat yang saya bacakan sebelum itu... ketika takzirah... jadi saya tidak merampas mikrofon untuk berucap, cuma memenuhi kehendak imam," - mstar.com & Pada rakaat pertama saya telah membaca ayat "wa'tasimu bihablillahi jamiian, walaa tafarraqu.... " dan rakaat kedua surah Al-kaafirun.Selepas solat saya membaca doa termasuk doa Qunut Nazilah yang turut diaminkan oleh semua ma'mum termasuk pimpinan tinggi UMNO.Habis baca yaasin saya pergi bersalam dengan Dato Zambry dan dia nampak berang dan menyatakan kepada saya , kenapa menggunakan masjid berpolitik dan tak sepatut saya jadi imam tadi. katanya lagi dengan nada kuat dan marah, "jika mahu jadi imam saya bolih jadi imam, jika nak tafsir saya bolih tafsir". Saya tersenyum dan relaks sahaja dan terus meninggalkan majlis untuk acara lain. - kamparinn.blogspot.com


Imam Masjid Simpang, Tuan Haji Hashim :

Masa ana datang Maghrib, DS Nizar telah ada,. Memang ana difahamkan beliau akan solat di situ..tak pulak dengar cerita umNO nak buat bacaan Yasiin. Mungkin depa dah tahu DS Nizar nak ke situ... ( mengikut catatan, Zamri memang banyak kali didapati menjejaki DS Nizar setelah DS Nizar hadir di sesuatu tempat sejak mula merampas kuasa.)Ana tak perasan ada Zamri dan Muhyidin Yasin.. Ana terus bagi pada DS Nizar jadi imam.Kalau DS Nizar bagi Tazkirah ana cadang nak jemput pulak Zamri lepas tu... - anaksengat.blogspot.com


Ajijoi ~ Begini cara umno berkempen. Taktik lama. Najib patut turun ke Perak untuk mengingatkan umno perak tentang ucapannya di PAU yang baru lalu iaitu 'berubah atau rebah'.

Umno memang tak berubah. Dulu..kini..selamanya.

Maknanya nak rebah le tu...

Pada hemat saya, yang paling menjadi kemarahan mereka adalah kerana apabila DS Nizar jejakkan kaki ke dalam masjid, segala tumpuan diberikan kepada beliau. Mereka tidak lagi dihiraukan.

Apabila waktu solat, orang yang paling dimuliakan akan mengimami solat tersebut. Orang yang biasa-biasa hanyalah menjadi makmum dibelakang imam. Biasanya Imam mempunyai kelebihan mengatasi makmum.
Dan Imam didalam kisah ini adalah DS Nizar manakala makmumnya Muhyiddin Yassin, Zambry Kader dan Ismail Sapian.

Moral cerita...umno berimamkan pas.

Kenali calon Pas Bukit Gantang

Mengenali Ir Mohammad Nizar Jamaluddin, beliau dilahirkan pada 17 Mac 1957 di Kampung Air Hitam Labu, Kampar Perak. Beliau telah mendapat pendidikan awal di Kampar, kemudiaannya meneruskan persekolahan di Sekolah Menengah Anglo Chinese, Kampar.

Selepas itu menyambung pelajaranya di Sekolah Menengah Teknik, Persiaran Brash, Ipoh. Pada tahun 1972 beliau mengambil Advance Level (A Level) di Norwich City College Of Arts & Technology Norwich, Norfolk, England.

Beliau merupakan lulusan Sarjana Muda Sains Kejuruteraan Mekanikal dari University Of Aston di Brimingham, United Kingdom. Sekembalinya ke tanahair, beliau bekerja di beberapa agensi kerajaan termasuk Jabatan Kerja Raya bahagian bengkel dan kuari, Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA - Daya Urus), Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang.

Beliau berpengalaman luas dalam menjalankan beberapa projek besar negara. Antaranya Projek Dayabumi fasa 2 & 3 pada tahun 1983, projek Pusat Islam (BAHES, Jabatan Perdana Menteri (1984), projek Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu (1985), pengurusan bangunan-bangunan kerajaan dan swasta termasuk KOMTAR, Bangunan Persekutuan Gunasama, pusat membeli belah dan pengurusan semua lif di hospital Kerajaan Negeri Perak, Pulau Pinang, Kedah, Perlis sehingga kini.

Merupakan Pengarah Urusan di beberapa firma swasta. Di luar negara pula beliau banyak menjalankan beberapa projek di beberapa buah negara, antara di Birmingham, United Kingdom, Zug Switzerland, Miano Italy, Bangkok Thailand, Sdyney dan Goldcoast Australia, Doha Qatar dan Tehran, Iran.

Dalam bidang politik pula, beliau berkecimpung dengan PAS dengan memegang Ahli Jawatankuasa PAS kawasan Kampar (1999 - 2001). Beliau menjawat jawatan Yang Dipertua PAS kawasn Kampar (2001 hingga kini). Di peringkat PAS Negeri Perak, beliau memegang jawatan Bendahari PAS Negeri (2001- 2006), Setiausaha PAS Negeri (sebelum menjadi Menteri Besar Perak) dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri.

Beliau mempunyai lapan orang cahaya mata hasil perkongsian hidup bersama isterinya, Fatimah Taat. Anaknya yang pertama merupakan lulusan BA Syariah Universiti Mut'ah, Jordan. Anak kedua pula lulusan hafiz al-Quran di Universiti Mut'ah Jordan. Anak yang ketiga juga lulusan hafiz al-Quran dari Universisiti Damsyik, Syria dan Universiti Lebanon. Manakala anak yang ke empat hingga ke lapan sedang belajar di beberapa pelbagai institusi pendidikan dalam negeri.

Memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat menjadi agenda perjuangannya, kerana itu beliau bergiat cergas di dalam Badan Bukan Kerajaan (NGO). Umpamanya Gabongan Pengguna Air Perak (GPAP).

Di samping itu Haji Nizar juga selain boleh berbahasa Inggeris, ia juga boleh sedikit berbahasa Cina dan Tamil.

Gambar-gambar menarik 'pesta' penamaan calon Bukit Gantang






















Sunday, March 29, 2009

Taiping menjadi saksi, sejarah tercipta hari ini


TAIPING (29.03.09): Hari ini merupakan hari yang bersejarah apabila lebih 30,000 penyokong Pas dan Pakatan Rakyat telah mengiringi calon P059 Bukit Gantang dari Pas, Dato Seri Ir Haji Mohammad Nizar Jamaludin ke tempat penamaan calon di Dewan Perbandaran Taiping.

Bandar Taiping mula penuh sesak sejak tengah malam lagi apabila ramai yang tiba dari segenap pelusuk negara untuk bersama-sama DS Nizar dihari yang bertuah ini. Ketiga-tiga masjid utama ditengah bandar Taiping penuh sesak hingga ke luar.

Jam 7.30 pagi diadakan solat hajat di masjid jamek Taiping sebelum bertolak ke tempat penamaan calon.

Oleh kerana terlalu ramai yang hadir, sewaktu DS Nizar diiring ke dewan, berlaku sedikit kekalutan apabila ramai penyokong yang sedaya upaya merempuh rantaian pengawal keselamatan Pakatan hanya untuk bersalam dengan DS Nizar. Walaupun hanya dapat menyentuh tangan beliau sekadar sedikit cuma, itu telah menjadi kepuasan bagi mereka yang begitu kagum dengan aura dan karisma DS Nizar.

Ramai pimpinan daripada Pas, Keadilan dan juga DAP peringkat negeri dan pusat telah bersama-sama DS Nizar menuju ke dewan pencalonan.

Manakala dari pihak BN pula, dianggarkan hanya sekitar 700 orang sahaja yang berjaya dihimpunkan.

Jika jumlah penyokong dan juga gegak gempita sorakan diambil kira didalam acara yang berlangsung hari ini, ternyata Bukit Gantang masih milik Pas.

Tetapi undi daripada penduduk tempatanlah yang akan menjadi penentu hala tuju masa depan Bukit Gantang.

Sekatan dibuat polis dengan merentang kawat berduri serta deretan anggota FRU yang mengawal penyokong-penyokong Pakatan diluar pintu masuk dewan.

Cuaca yang panas menyengat benar-benar menguji kesabaran apabila keputusan penamaan calon hanya diumumkan jam 11.20 pagi.

3 calon yang layak bertanding untuk kerusi Parlimen P059 Bukit Gantang. Mereka adalah DS Nizar yang mewakili Pas, Ismail Sapian mewakili BN dan seorang calon bebas, Kamarul Ramizu Idris (menggunakan lambang payung).

Walaupun penyokong semua bersurai secara aman, namun deretan kenderaan yang bertali arus menuju keluar dari bandar Taiping merangkak perlahan sehinggalah jam 3.30 petang.

Laporan tentang kejadian hari ini juga boleh diikuti di albanjari.blogspot.com, harakahdaily dan siasah-online

Gambar-gambar berikut menceritakan segala-galanya.






















Hari penamaan calon Bukit Gantang

Taiping (29.3.09): Pekan taiping telah penuh sesak sejak tengah malam tadi dengan penyokong Pakatan Rakyat terutamanya daripada Pas.

Segenap tempat meletak kereta telah dipenuhi oleh orang ramai yang datang dari segenap pelusuk negara. Ketiga-tiga masjid utama dipekan Taiping penuh sesak untuk solat Subuh sehingga melimpah keluar dan solat terpaksa diadakan sebanyak 3 kali untuk menampung jemaah yang hadir.

Arahan agar hanya 10,000 penyokong sahaja dibenarkan untuk mengiringi calon amat tersasar kerana yang hadir berlipat kali ganda daripada itu.

Segala perkembangan terkini akan saya laporkan menerusi jaringan BloggersNetwork@Perak di blog politikbanjar.blogspot.com.

Teruskan bersama kami untuk mendapatkan kejadian sebenar sejarah penamaan calon P059 Bukit Gantang.

Yang pastinya DS Nizar akan diarak oleh puluhan ribu penyokong Pakatan Rakyat.

Dewan Perbandaran Taiping menanti ketibaan anda


Penamaan calon bagi kerusi Parlimen P059 Bukit Gantang akan diadakan di bangunan Dewan Perbandaran Taiping Ahad, 29.03.09 jam 9.00 pagi.

Panduan untuk ke tempat penamaan calon ada disediakan di sini.

Manakala 5 jalan yang akan ditutup mulai jam 12.00 tengahmalam hingga 1.00 tengahari pada hari tersebut adalah Jalan Sultan Mansur, Jalan Kota, Jalan Taming Sari, Jalan Temenggong dan Jalan Berek.

Sila datang awal untuk mengelakkan kesesakan.

Semua penyokong Pakatan Rakyat akan berkumpul di Masjid Kampung Jambu/Masjid Daerah Taiping untuk solat hajat jam 7.00 pagi sebelum berarak ke tempat penamaan calon.

Pastikan penyokong Pakatan Rakyat berada ditahap yang paling baik dari segi keamanan, tingkah laku, adab sopan dan semangat juang kental semasa di tempat penamaan calon tersebut.

Segala provokasi samada daripada pihak umno/bn mahupun sb perlulah dijauhi dan jangan diendahkan.



Kawat berduri didirikan pihak polis untuk memisahkan penyokong pakatan dan juga bn.

Saturday, March 28, 2009

90% sokong syor PAC bekukan gaji dan elaun MB dan exco BN Perak


Sebanyak 90% dari responden Edisi 7 malam ini menyokong syor Jawatankuasa Kira-kira Wang (PAC) DUN Perak yang mencadangkan pembayaran gaji dan elaun menteri besar BN Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan enam exconya dibekukan serta-merta dengan alasan pelantikan mereka masih menjadi pertikaian.

Pengerusi jawatankuasa itu Wong Kah Woh berkata, tindakan itu perlu kerana BN telah mengisytiharkan mereka sebagai kerajaan baru sewaktu gabungan DAP, PAS dan PKR mendakwa mereka masih kerajaan sah, lapor Bernama.

"Keputusan ini akan dimaklumkan kepada semua bahagian terbabit untuk pelaksanaan dan kami memberi amaran kepada kakitangan kerajaan berkenaan agar mematuhi arahan ini bagi mengelak mereka dikenakan tindakan," beliau dipetik berkata kepada media di bangunan setiausaha kerajaan negeri yang menempatkan DUN itu.

Wong berkata PAC juga memutuskan bahawa pelantikan tiga penasihat Dr Zambry - yang bertaraf exco - dan seorang ketua penerangan kerajaan negeri sebagai tidak sah.

Menurut agensi berita itu lagi, PAC mahu Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Abdul Rahman Hashim mengambil tindakan agar pejabat yang digunakan oleh empat penasihat tersebut dikosongkan dan semua kemudahan kepada mereka ditarik balik.

Banyak pihak telah menyatakan sokongan terhadap syor PAC itu kerana selama ini BN sentiasa menggunakan hujjah bahawa mahkamah belum memutuskan siapa Menteri besar Perak yang sah apabila mereka tersepit sepertimana jawapan Najib sewaktu Speaker Perak Sivakumar menggantung Zambry dan para exco BN dari menghadiri sidang DUN Perak.


Boikot akhbar pro-Umno 3 bulan - Nik Aziz

KOTA BHARU, 27 Mac (Hrkh) - Tindakan terbaru kerajaan Barisan Nasional (BN) menggantung permit akhbar oposisi dianggap sebagai tindakan jahat dan takut kepada kebenaran terbongkar.

Malah bagi Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat tindakan Kementerian Dalam Negeri (DKN) itu tidak sekali-kali menghalang rakyat bagi mendapatkan maklumat yang kini berada di hujung jari.

"Sumber maklumat sekarang sudah banyak seperti internet, blog, telefon, SMS dan sebagainya yang ternyata lebih berkesan dan cepat," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menerima kunjungan Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, Mr Ashok K. Kantha di pejabatnya baru-baru ini.

Petang Isnin lalu KDN menggantung permit kedua-dua akhbar oposisi yang berpengaruh di negara ini iaitu Harakah dan Suara Keadilan selama tiga bulan.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, sebagai tindak balas terhadap tindakan KDN, rakyat di negara ini disaran tidak membeli akhbar harian yang didukungi Umno dalam tempoh tiga bulan.

Menurutnya tindakan KDN yang diterajui pemimpin Umno jelas mahu menyekat pengaruh Pakatan Rakyat yang semakin meluas sekarang.

"Kalau nak kata akhbar oposisi buat fitnah dan menghasut, kita tengok sekarang ramai juga ahli parlimen yang pernah ditahan ISA memenangi pilihan raya kerana sokongan rakyat.

"Macamana rakyat boleh mengundi dan memberi kepercayaan kepada mangsa tahanan ISA yang dianggap kerajaan boleh mengancam keselamatan negara. Jadi peranan akhbar oposisilah menjelaskan tomohan itu tidak benar sehingga pemimpin terbabit menang dalam pilihan raya," katanya.

Kata beliau tindakan menahan seseorang pemimpin politik ke dalam ISA bukan kerana mereka mengancam keselamatan negara, sebaliknya mengancam kedudukan Umno sehingga makin hilang pengaruh.

"Saya yakin tindakan mereka bermotif politik ketika menjelang pilihan raya kecil di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai.

"Dendam yang membuak dalam dada pemimpin Umno menyebabkan mereka bertindak di luar batasan. Tindak tanduk mereka seperti Israel yang dendam terhadap umat Islam," katanya.

Oleh itu beliau berkata, tindakan pemimpin Umno menyekat akhbar milik Pakatan Rakyat menyebabkan kebencian rakyat terhadap Umno dan BN semakin menjalar. - mks._

Nik Aziz: Perokok Lebih Hina Daripada Lembu

KOTA BAHARU - Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata umat Islam yang cuba menonjolkan keislaman mereka melalui pakaian jubah dan ketayap tetapi menghisap rokok adalah lebih hina daripada lembu.

Nik Aziz, yang juga Mursyidul Am PAS, berkata amalan menghisap rokok dikeji kerana diharamkan oleh agama dan doktor kerana ia memudaratkan kesihatan.

“Contohnya, lembu yang berak di tengah jalan tidak boleh diambil tindakan undang-undang kerana tidak mempunyai otak dan fikiran. Tetapi manusia yang mempunyai otak sanggup melakukan perbuatan yang menyalahi agama dan kesihatan, apatah lagi dalam keadaan berpakaian melambangkan Islam (kopiah atau berjubah).

“Maka, mereka yang melakukan perbuatan (menghisap rokok) itu dianggap lebih hina dari lembu,” katanya ketika menyampaikan kuliah Jumaat di Dataran Ilmu di sini,hari ini.

Nik Abdul Aziz berkata ada antara umat Islam yang mencuri-curi menghisap rokok di serambi masjid sambil bersembang sementara menunaikan solat. Beliau mengingatkan umat Islam supaya menghentikan amalan yang dianggap jijik dan tidak berdisiplin itu.

http://www.bharian.com.my

Ajijoi ~ Nasib baik saya tidak dan tidak pernah merokok.

Larangan ceramah di kawasan terbuka DUN Bukit Selambau

SUNGAI PETANI: Polis melarang semua parti politik daripada mengadakan ceramah umum di kawasan terbuka sepanjang kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau bagi mengelak kejadian tidak diingini yang boleh menggugat ketenteraman awam.

Ketua Polis Kedah, Datuk Syed Ismail Syed Azizan, berkata bagaimanapun ceramah umum dibenarkan diadakan dalam tempat tertutup seperti dewan atau bangunan. Beliau berkata, arahan itu sudah dimaklumkan kepada semua bakal calon yang membuat permohonan untuk mengadakan ceramah, termasuk wakil parti yang terbabit pada pilihan raya kecil DUN Bukit Selambau, 7 April ini.

"Saya harap mesej ini jelas kepada semua parti politik dan menerima arahan itu dengan hati terbuka demi menjaga ketenteraman awam," katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis gotong-royong dan penyampaian sumbangan sempena Peringatan Hari Polis ke-202 di Taman Ria Jaya di sini, semalam.

Beliau berkata, sehingga kini beberapa permit sudah dikeluarkan kepada parti yang bertanding untuk mengadakan ceramah umum. "Polis menerima beberapa permohonan permit daripada parti politik untuk mengadakan ceramah.

Bagaimanapun, kelulusan permit bergantung kepada kesesuaian tempat dan lokasi yang
dimohon.

"Kita tidak mahu insiden 23 Mac lalu berulang. Justeru itu, bagi mengelakkan kejadian itu berulang kita tidak membenarkan lagi ceramah umum di kawasan lapang," katanya.

Pada kejadian 23 Mac lalu itu, tiga anggota polis cedera apabila terkena balingan batu dan botol kaca ketika meleraikan perhimpunan haram anjuran Pakatan Rakyat (PR) yang turut dihadiri Penasihat Parti Keadilan rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim di Taman Ria Jaya, Sungai Petani. Dalam kejadian jam 9.40 malam itu, kira-kira 1,000 penyokong parti pembangkang enggan bersurai walaupun selepas beberapa kali diarahkan polis, termasuk Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).

Sementara itu, ketika ditanya mengenai persiapan polis menghadapi pilihan raya Bukit Selambau, Syed Ismail berkata, pihaknya diletakkan dalam keadaan siap sedia dan menerima kehadiran anggota polis dari pelbagai jabatan lain termasuk Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dan daerah.

"Ketika ini, lebih 1,000 anggota sudah melapor diri untuk bertugas dan mereka akan ditempatkan di tiga kawasan iaitu di Balai Polis Bukit Selambau, Balai Polis Bedong dan kawasan lapang taman perumahan berham-piran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda.

"Daripada penilaian dibuat, kita tidak menolak kemungkinan berlaku kejadian tidak diingini. Sebagai langkah awal, polis sudah mengadakan perjumpaan dengan semua calon dan wakil parti yang bertanding," katanya.

-berita hairan


Ajijoi ~ Macam-macam arahan yang dikeluarkan. Semuanya tak masuk akal.

Kalau tak boleh berceramah ditempat terbuka, nak berceramah dimana lagi? Dalam dewan? Dalam bangunan? Takkan tak tahu yang setiap kali pakatan ceramah, yang datang bukan puluh-puluh, bukan ratus-ratus tapi ribu-ribu. Mana nak muat dalam dewan, dalam bangunan. Kalau ceramah bn lain le. Dalam bilik pun banyak ruang kosong lagi.

Arahan tak boleh ceramah dalam tv tak nak keluarkan ke?

Friday, March 27, 2009

Perakbangkit tu lelaki rupanya...

Blog pro-umno bernama Perakbangkit yang dilaporkan kepada pihak polis oleh Drs Khalil Idham Lim semalam kerana artikel 'kill nizar' tulisannya berbau hasutan.

Selama ini saya sangkakan blog perakbangkit ini milik tulisan seorang perempuan. Maklumlah, blognya penuh dengan cemuhan, umpatan, mencarut dan memaki hamun yang selalunya perempuanlah yang berperangai begitu.

Apabila membaca pendedahan identiti sebenar perakbangkit di albanjari, barulah satu tahu bahawa penulis blog sawan ini milik seorang lelaki (bukan jantan).

Jika anda mahu tahu perilaku dan cermin keperibadian blogger-blogger upahan umno yang langsung tiada hujah melainkan maki hamun, lawatilah blog perakbangkit ini kerana disana ada pautan kepada ramai blogger-blogger upahan umno yang sewaktu dengannya.

Maklumat dan laporan polis tambahan terhadap perakbangkit disini

Thursday, March 26, 2009

Perhimpunan meLAYU



MENGANTUK...Perwakilan yang tertidur semasa ucapan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di pembukaan Perhimpunan Agung Umno.

Mungkinkah kerana semalaman tidak tidur kerana menantikan keputusan sesetengah perwakilan terlelap di dalam dewan.

Atau kerana bosan mendengar ceramah politik yang sedang berlangsung.

Apapun, inilah senario biasa setiapkali Perhimpunan Umno diadakan.

-mstar.com

malam tadi lepak dangdut kot...

Laporan polis terhadap hasutan berbahaya blog umno


BUKIT GANTANG : Satu laporan polis mengenai Blog yang menyiarkan satu tulisan dan foto belakang wanita yang ditulis dengan tatto "kill nizar" di Balai Polis Changkat Jering dan di IPD Taiping.

Laporan itu telah dibuat oleh ADUN Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lim.

Berikut ini adalah laporan penuh tersebut :

LAPORAN POLIS
Tarikh laporan : 26 Mac 2009
Nama Pelapor : YB. Drs. Khalil Idham Lim Abdullah
Jawatan : ADUN Titi Serong Perak.
No. Kad pengenalan : 641102-03-5125
Alamat : No.15 Jalan Wawasan 8, Taman Wawasan Jaya, Parit Buntar.
No. Talipon : 019 4759697

Inilah Laporan Polis saya :- Semasa saya melayari internet pada pagi ini 26 Mac 2006 kira-kira jam 9.00 pagi di Markaz PAS Ayer Kuning, saya sangat terkejut dengan satu laman web http://perakbangkit.blogspot.com/ (seperti yang dilampirkan) telah menulis dan menyiarkan gambar dan tulisan yang melampau dan dengan tujuan yang tidak baik.

Saya mendapati tulisan bertajuk “Kill Nizar” dan tulisan “kill nizar” pada badan wanita seperti yang disiarkan oleh penulis blog tersebut adalah sangat tidak bertanggung jawab, menghasut dan satu penghinaan.

Dipercayai ianya diterbitkan kerana berkaitan dengan pengumuman Dato’Seri Ir. Muhamaad Nizar Jamaluddin sebagai calon PAS bagi PRK Bukit Gantang seperti yang diumumkan oleh Presiden PAS pada 23 Mac 2009 di Padang Taman Kota Jaya Simpang.

Oleh itu saya memohon dari pihak Polis untuk mengadakan siasatan terperinci kepada penulis blog tersebut kerana ianya mengandungi unsur-unsur menghasut yang melampau diluar batas undang-undang Negara.

Laporan ini juga adalah satu laporan untuk melindungi Dato’ Seri Muhammad Nizar Jamaluddin dari sebarang ancaman keselamatan yang menyalahi undang-undang Negara , serta saya mendakwa sekiranya apa-apa yang berlaku kepada beliau selepas laporan ini dibuat adalah kesan dari laman blog yang menghasut ini, dan tindakan sewajarnya hendaklah diambil kepada pemilik blog ini.

Sekian laporan saya yang sebenarnya,

(YB. DRS. KHALIL IDHAM LIM)


Laporan di theStar

Wednesday, March 25, 2009

Ada RM80 pun, jangan buat begini semasa kempen


Denda RM80 kerana kata 'Polis Bodoh'

KUALA LUMPUR: Akibat mengeluarkan perkataan kesat, "polis bodoh" kepada polis yang menyamannya, seorang pemandu teksi didenda RM80 di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Nor Azah Kasran menjatuhkan hukuman tersebut setelah Wong Yoot Weng, 62, mengaku bersalah melakukan perbuatan tersebut di hadapan lampu isyarat, Jalan Hang Lekir, pada pukul 5.32 petang semalam.

Wong didakwa telah mengeluarkan perkataan itu bagi tujuan mengaib dan menghina anggota polis trafik yang sedang bertugas iaitu Mohd Fauzlei Mohd Zaid, 26.

Pendakwaan dijalankan oleh pegawai pendakwa Cif Insp Charles Aliff Belon manakala Wong tidak diwakili peguam.

Menurut fakta kes, Mohd Fauzlei dan rakannya sedang menjalankan tugas iaitu menyaman sebuah teksi yang diletakkan di hadapan lampu isyarat Jalan Hang Lekir.

Tiba-tiba Wong datang ke arah Mohd Fauzlei dan mengaku teksi itu kepunyaannya sambil mengeluarkan perkataan "polis bodoh" kepada Mohd Fauzlei. BERNAMA

Ada berani ka matchaa?

Umno dicabar letak Zambry lawan Nizar di Bukit Gantang

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Hrkh) - Umno-BN dicabar agar menamakan Dr Zambry Abdul Kadir sebagai calon bagi menentang calon PAS, Dato' Seri Mohamad Nizar Jamaluddin di pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang 7 April ini.

"Masih ada masa untuk Umno ubah nama calon sebab penamaan hujung minggu ini.Saya cabar Umno namakan Zambry, kita nak tengok siapa pilihan sebenar rakyat sebab sebelum ini Umno kata Nizar ditolak rakyat, buktikan dengan calonkan Zambry, kita tengok siapasebenarnya yang dipilih rakyat," ujar Ketua Penerangan PAS, Dato' Mahfuz Omar kepada Harakah hari ini.

PAS mengambil tindakan berani untuk menamakan Nizar yang sebelum ini ditohmah Umno dengan pelbagai lemparan tuduhan ketika penggulingan kerajaan Pakatan Rakyat secara 'kontroversi', kata Mahfuz.

Mahfuz berkata, cabaran itu realistik agar rakyat diberi peluang menjadi hakim menentukan sama ada Nizar atau Zambry sebenarnya menjadi pilihan.

Ujarnya kegagalan Umno menamakan Zambry selaku calon mereka di Bukit Gantang menggambarkan mereka tidak yakin dengan kempen mereka sebelum ini.

Kegagalan ini juga katanya, adalah tanda atau 'signal' kepada rakyat yang perlu menghukum Umno di Bukit Gantang dan dua PRK lain yang berjalan serentak, katanya.

"Jika Nizar menang, Dun Perak perlu dibubarkan bagi memberi peluang kepada rakyat pula untuk memilih kerajaan mereka sendiri," katanya.

Pada 23 Mac lalu, PAS mengumumkan Nizar sebagai calonnya untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang.

Pengumuman tersebut dibuat Presiden PAS,Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang.
Menteri Besar Pakatan Rakyat itu akan berdepan dengan calon BN, Ismail Saffian, 49.

Ismail yang juga bekas Ketua Penerangan Umno bahagian, berasal dari Kampung Kubu, Bukit Gantang.

Pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang diadakan berikutan kematian penyandang Allahyarham Roslan Shahrom daripada PAS pada 9 Februari lalu.

Penamaan calon akan berlangsung pada 29 Mac dan pengundian 7 April depan.
Nizar adalah antara beberapa nama disebut-sebut akan dipilih oleh pucuk pimpinan parti tersebut bertanding dalam pilihan raya kecil berkenaan.

PAS yakin akan mengekalkan kerusi tersebut, terutama di tengah-tengah krisis politik yang melanda Perak selepas kerajaan BN mengambil alih pentadbiran negeri tersebut.

Dalam pilihan raya umum lalu, Roslan merampas kubu kuat BN itu dengan menewaskan Bendahari Umno, Dato' Seri Azim Mohd Zabidi dan calon Bebas, M Morgan, dengan majoriti 1,566 undi.

Parlimen itu mempunyai 55,471 pengundi yang terdiri daripada 63.48 peratus pengundi Melayu, 26.77 peratus pengundi Cina, 9.71 peratus pengundi India dan lain-lain pengundi 0.4 peratus.

Terdapat tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di parlimen itu iaitu Changkat Jering, Trong dan Kuala Sepetang. Dalam pilihan raya umum lalu, BN menang di Trong manakala dua
lagi dimenangi Parti Keadilan Rakyat.

Tuesday, March 24, 2009

Hal peribadi saya lebih penting dari parti - Hamidah Osman


KUALA LUMPUR: Dua calon Exco Wanita Umno, Hamidah Osman (gambar) dan Rosni Sohar hari ini menarik diri daripada bertanding jawatan tersebut.

Dalam pada itu, Salmah Pin tidak layak bertanding jawatan yang sama kerana didapati bersalah terlibat dengan politik wang.

Pemilihan sayap parti itu akan berlangsung esok.

Perkara tersebut disahkan oleh Ketua Wanitanya, Tan Sri Rafidah Aziz selepas mempengerusikan mesyuarat pramajlis pagi ini.

Menurut Rafidah, Hamidah yang juga Ketua Wanita Umno bahagian Gopeng, Perak menarik diri atas alasan sibuk dengan hal peribadinya.

Hamidah merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rapat merupakan antara muka baru yang dilantik sebagai Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak yang baru dilantik bulan lalu.

Hamidah, 48, salah seorang Exco Wanita yang memenangi jawatan tersebut pada pemilihan sebelum ini.

Manakala Rosni Sohar pula, merupakan Ketua Wanita bahagian Hulu Selangor.

Seramai 50 calon menawarkan diri bagi merebut 20 kerusi Exco Wanita yang dipertandingkan.

Sementara itu, Rafidah turut menafikan sekeras-kerasnya bahawa hubungan beliau dan timbalannya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil tidak baik.

-mstar.com

Ajijoi ~ Satu alasan yang tidak masuk akal. Calon-calon yang lain bermati-matian merebut jawatan untuk mengaut kekayaan manakala Hamidah pula sibuk dengan hal peribadi?

Mengaku sahajalah. Alasan yang sebenarnya adalah kerana Hamidah telah tahu bahawa Dun Perak akan dibubarkan sebulan dua lagi dan dia terpaksa meletakkan jawatan didalam wanita (jika terpilih) apabila Pakatan Rakyat kembali meneraju pemerintahan negeri Perak.

Akhbar Liberation dan Timesonline juga akan digantung?

Apakah akhbar berbahasa Perancis 'The Liberation' dan akhbar 'Timesonline' akan menerima nasib yang sama seperti Harakah dan Suara Keadilan yang digantung penerbitannya selama 3 bulan berkuatkuasa serta merta kerana menyiarkan laporan mengenai pembunuhan Altantuya melibatkan Najib Razak?

Malah, Forum Magazine daripada Jakarta juga telah menyiarkan artikel tentang pembunuhan Altantuya di Malaysia. Perlukah KDN menggantung majalah tersebut juga kerana melaporkan hal yang sensitif tentang pemimpin negara?

Ternyata pengaruh akhbar Harakah dan Suara Keadilan begitu besar sehinggakan tindakan menggantung 2 akhbar tersebut terpaksa dilakukan walaupun KDN tahu impak daripada tindakan mereka itu.

Rakyat Malaysia kini telah membuka minda untuk berfikir segala tindak-tanduk yang dilakukan kerajaan samada untuk kebaikan rakyat dan negara ataupun hanya untuk menjaga kepentingan individu-individu tertentu sahaja.

Penilaian dan pemikiran rakyat kini sepatutnya dihormati bukannya disekat sepertimana dahulu.

Followers