Saturday, May 23, 2009

PRK Penanti - PKR vs 3 calon bebas


Selepas tempoh bantahan tamat jam 11 pagi ini, empat orang termasuk calon PKR Mansor Othman kini layak bertanding, demikian diumumkan oleh pegawai pengurus pilihanraya Roslan Yahaya.

Mohd Saberi Othman, seorang bekas pembantu Tun Abdullah Ahmad Badawi di kawasan parlimennya di Kepala Batas, dibatalkan borang pencalonannya.

Sebab penolakan tersebut belum dapat dipastikan, setakat ini.

Keempat-empatnya akan bertarung menghadapi pilihanraya kecil DUN Penanti - kali ini tanpa persaingan sengit BN yang memutuskan untuk memulaukannya.

Proses penamaan calon mencipta sedikit kejutan apabila Kamarul Ramizu Idris - calon bebas yang hilang pertaruhan di Bukit Gantang, Perak - turut mencuba nasib di satu kerusi DUN di Pulau Pinang.

Dua lagi mencuba nasib sebagai calon bebas: bekas pemimpin Wanita PKR negeri Aminah Abdullah dan bekas pemimpin Gerakan, Nai Khan Ari.

Menteri besar Pakatan Rakyat di Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, yang turut mengiringi calon PKR mendapat sambutan meriah dengan jeritan "bubar (DUN) Perak" para penyokong.

Tokoh-tokoh kanan PKR termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil memberikan sokongan kepada Mansor yang mempertahankan kerusi parti itu - satu daripada tiga DUN bawah parlimen Permatang Pauh.

Kerusi tersebut kosong selepas wakil rakyat PKR Mohammad Fairus Khairuddin melepaskan jawatan ADUN 16 April lalu di tengah-tengah kehangatan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadapnya.

Bekas timbalan satu ketua menteri Pulau Pinang bagaimanapun tidak didakwa di mahkamah selepas suruhanjaya itu mendapati tiada bukti kukuh untuk berbuat demikian.

-malaysiakini.com

Pertandingan empat penjuru di DUN Penanti

BUKIT MERTAJAM: Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti 31 Mei ini menyaksikan pertandingan empat penjuru dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berdepan tiga calon Bebas.

Calon PKR, Mansor Othman, 59, dicabar calon Bebas, Aminah Abdullah, 56; Nai-Khan Ari, 41; dan Kamarul Ramizu Idris, 42.

Pencalonan bagi seorang lagi calon Bebas, Mohd Saberi Othman, 49, bagaimanapun ditolak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Sebanyak enam bantahan dikemukakan kepada SPR dan Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Penanti, Roslan Yahaya, mengisytiharkan empat daripada mereka layak bertanding jam 11.58 pagi tadi.

Pilihan raya kecil itu diadakan selepas penyandangnya Mohammad Fairus Khairuddin mengosongkan kerusi itu dengan alasan mahu melanjutkan pengajian ke peringkat pasca ijazah.

DUN Penanti mempunyai 15,384 pemilih berdaftar - 72.68 peratus daripadanya pengundi Melayu, 24.22 peratus Cina, 2.39 peratus India dan 0.71 peratus lain-lain bangsa.

Pada pilihan raya umum 2008, Mansor bertanding di DUN Pulau Betong menentang Muhamad Farid Saad dari Barisan Nasional (BN) tetapi tewas dengan majoriti 294 undi.

Pada pilihan raya umum 2004, beliau tewas kepada calon BN, Datuk Arif Shah Omar Shah, di DUN Seberang Jaya manakala pada 2009 beliau kalah kepada calon BN, Datuk Mohd Zain Omar bagi Parlimen Balik Pulau.

Antara yang menarik di Penanti ialah kehadiran semula calon Bebas, Kamrul Ramizu yang sebelum ini bertanding pada pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang yang menyaksikannya tewas serta hilang wang pertaruhan.

Pilihan raya Penanti juga tanpa kehadiran Barisan Nasional (BN)yang memutuskan tidak meletakkan calonnya bertanding.

-berita harian





No comments:

Followers