Saturday, May 23, 2009

Zambry MB badut alaf baru

MAHKAMAH Tinggi sudah membuat keputusan bahawa Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin adalah Menteri Besar Perak yang sah. Cuma keputusan tersebut ditangguhkan oleh Mahkamah Rayuan, menanti perbicaraan.

Keputusan penangguhan oleh Mahkamah Rayuan, tidak memberi makna apa-apa kepada Dato' Dr Zambry Abdul Kadir. Beliau bukan Menteri Besar yang sah dari segi undang-undang.

Keputusan Mahkamah Tinggi jelas menunjukkan bahawa Nizar adalah MB sebenar bukan Zambry, ini tafsiran undang-undang. Mana boleh pada satu-satu masa ada dua MB. Mana boleh Zambry melaksanakan tugas sebagai MB hanya semata-mata keputusan pengesahan Nizar ditangguhkan oleh mahkamah.

Zambry tidak ada pilihan. Beliau harus mengosongkan segera pejabat MB Perak. Beliau tidak boleh membuat keputusan-keputusan yang membabitkan kerajaan. Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri yang diadakan juga tidak sah.

Lebih buruk daripada itu, ialah selama tiga bulan (semenjak Februari lepas), kerajaan negeri Perak beroperasi secara tidak sah. Perlantikan yang dibuat MB Zambry tidak sah, perbelanjaan-perbelanjaan kerajaan semuanya tidak sah.

Dalam erti kata mudah, Perak mempunyai seorang MB yang sah, seorang lagi tidak sah. Seorang MB yang halal, seorang lagi MB haram.

MB haram ini sudah banyak membuat keputusan dan berbelanja bagi pihak kerajaan negeri. Dan keputusan Mahkamah Tinggi 11 Mei lepas, adalah tempelak yang paling besar terhadap Zambry, Umno dan BN Perak, kerana selama tiga bulan telah melakukan kerja-kerja haram.

Keputusan Mahkamah Tinggi juga memberikan implikasi bahawa semua gaji, upah dan elaun yang wajar diterima Nizar harus dibayar balik oleh kerajaan negeri. Dalam masa yang sama, kerajaan negeri kerugian kerana berbelanja kepada penjawat-penjawat yang haram dari segi undang undang.

Malangnya Zambry dengan muka yang tidak tahu malu, terus memasuki pejabat MB selepas Mahkamah Rayuan membenarkan penangguhan pengesahan Nizar sebagai MB.

Sikap 'buruk siku' Zambry ini hanya menunjukkan kepada rakyat Perak, khususnya pegawai-pegawai kerajaan negeri, bahawa beliau memang kemaruk hendak jadi MB.

Biarlah orang hendak kata apa pun, biarlah apa persepsi rakyat kepadanya pun, pedulikan keputusan mahkamah, yang penting Zambry ialah MB. Itulah agaknya kehendak beliau.

Zambry tidak boleh tuduh Nizar kemaruk hendak menjadi MB kerana, hasrat Nizar jelas, beliau mahu Dun dibubarkan bagi membolehkan pilihan raya diadakan semula.

Jika Nizar tewas sekali pun sebagai Adun, nescaya beliau akan berpuashati kerana beliau telah menyerahkan amanah kembali kepada rakyat secara jujur dan demokratik.

Sebaliknya, jika Zambry tahu malu beliau tidak harus duduk di kerusi MB kerana pada tafsiran undang-undang dan pada hati rakyat, Nizar adalah MB yang sah.

Jika Zambry 'anak jantan' beliau tidak harus takut dengan rakyat, kalau betul dia gentleman, ajak semua Adun-Adun BN pakat-pakat letak jawatan kalau pun tidak ada kuasa untuk membubar Dun.

Janganlah jadi seperti badut-badut sarkas menyolek muka dengan pelbagai warna sambil membuat aksi-aksi lawak untuk membuatkan rakyat tertawa dengan anda.

Buat apa hendak jadi MB jika undang-undang mengatakan anda bukan MB. Buat apa hendak jadi MB jika semua keputusan yang anda buat menyalahi undang-undang. Buat apa hendak jadi MB jika setiap hari anda diherdik dan dicerca rakyat.

Krisis yang berlaku di Perak ini menjadi semakin karut dan kalut. Pegawai-pegawai kerajaan negeri tersepit kerana mereka akan diheret terbabit dalam melaksanakan keputusan MB yang haram.

Bagaimana pegawai-pegawai kerajaan boleh berkhidmat dengan sempurna jika mereka dicemuh rakyat kerana membantu sebuah kerajaan negeri yang haram?

Hakikatnya, krisis politik di Perak yang semakin parah ini adalah angkara kegelojohan pemimpin-pemimpin BN untuk merampas kembali tampuk pemerintahan kerajaan negeri dari Pakatan Rakyat.

BN membuat perancangan yang teliti dengan memerangkap dua Ahli Dewan Undangan Negeri dari Parti Keadilan Rakyat yang kes rasuah dan mempergunakan seorang Adun DAP yang kemaruk jawatan akibat perselisihan dalaman.

Tiga orang Adun yang 'dibadutkan' oleh BN ini mungkin menerima upah lumayan kerana sanggup mengkhianati amanah rakyat dengan melompat parti.

Kegelojohan BN itu mengakibatkan Perak tidak henti-henti dilanda pelbagai krisis yang lebih mencacatkan wajah demokrasi yang diamalkan dalam negara.

Sebenarnya BN takut hendak memperakui bahawa kedudukan mereka dalam kancah politik negara sekarang ini adalah 'bagaikan anjing tersepit.'

BN tahu, jika keputusan mahkamah berpihak kepadanya sekali pun, nama BN akan terus tercemar dan busuk di mata rakyat. Dan jika dibubarkan Dewan Undangan Negeri Perak pun, BN jamin akan kalah besar.

Dalam keadaan sekarang BN tiada pilihan lain. Keadaan politik sekarang tidak memberikan apa-apa keuntungan kepada mereka.

Justeru, daripada malu kerana kalah dijatuhkan rakyat dengan penuh kehinaan, lebih baik BN angkat 'bendera putih' awal-awal.

-harakahdaily.net

No comments:

Followers

Video ajijoi

Loading...