Wednesday, May 13, 2009

Gerakan Pulau Pinang gesa pembubaran DUN Perak

PULAU PINANG: Gerakan Pulau Pinang hari ini mendesak Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir supaya segera memohon pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membuka jalan mengadakan pilihan raya negeri.

Pengerusinya, Datuk Dr Teng Hock Nan, berkata langkah membubarkan DUN akan membolehkan rakyat Perak memutuskan parti mana yang sepatutnya memimpin urusan pentadbiran negeri itu.

"Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata semalam bahawa ia terpulang kepada Zambry untuk memutuskan tindakan susulan berikutan kemelut politik yang berlarutan di negeri itu.

"Saya kuat mengatakan rakyat Perak perlu mempunyai kata putus dalam hal ini kerana setiap kerajaan memerlukan kesahihan dan keraguan hanya boleh diselesaikan menerusi pilihan raya semula," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Zambry kekal sebagai Menteri Besar Perak sehingga Mahkamah Rayuan membuat keputusan permohonan rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi mengisytiharkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Dr Teng berkata, Zambry harus menghentikan prosiding mahkamah untuk menentukan kesahihan jawatan Menteri Besar.

Katanya, dengan mengembalikan kuasa memilih kerajaan baru kepada rakyat yang semestinya mahu bersuara dalam perkara ini, maka Barisan Nasional (BN) sekali lagi menunjukkan ianya mendukung prinsip demokrasi serta mengutamakan kepentingan rakyat. - Bernama

No comments:

Followers