IPOH: V. Sivakumar dari Pakatan Rakyat yang disingkirkan dari jawatan Speaker minggu lalu akan membuat aduan polis berhubung tindakan pihak tertentu yang membawa masuk senjata ke dalam Dewan Undangan Negeri, Khamis lalu.
Ketika bercakap pada sidang media di sini hari ini, Sivakumar berkata, tindakan menunjukkan senjata bahaya di dalam DUN adalah salah.
"Ada bilik khas di DUN untuk simpan senjata yang dibawa. Apa akan berlaku jika ada pihak menggunakan senjata bahaya ketika pergaduhan. Berdasarkan konvensyen Parlimen senjata merbahaya tidak boleh dibawa masuk ke dalam DUN.
Katanya, beberapa individu yang tidak dibenarkan telah memasuki DUN tanpa pas yang sah. Sidang DUN Perak Khamis lalu dirasmikan selepas kekecohan selama lima jam.
-mstar.com
Satu laporan polis dibuat oleh YB Sivakumar pada hari ini di IPD Ipoh lebih kurang jam 11.50am. Turut bersama ialah YB Nga Kor Ming (ADUN Pantai Remis), YB Leong Mee Meng (ADUN Jalong), YB Lim Pek Har (ADUN Menglembu), YB Ong Boon Piow (ADUN Tebing Tinggi.
Disyaki seorang lelaki membawa senjata api ke Dewan Negeri yang mulia pada 7 Mei 2009. Ini dapat dilihat dalam klip video dimana orang yang disyaki menyimpan senjata api di pinggangnya. Klip itu juga diserahkan kepada polis sebagai bukti. Penyiasatan perlu dimulakan dengan segera oleh pihak polis terhadap lelaki yang tidak dikenali itu.
Membawa masuk senjata api ke dalam Dewan Negeri merupakan satu kesalahan yang amat serius. Perkara seperti ini tidak seharusnya berlaku. Siapakah akan memikul tanggungjawab ini? Menurut pihak Setiausaha Kerajaan Negeri terdapat kawalan yang ketat di Bangunan Perak Darul Ridzuan. Jika begitu, bagaimana perkara ini berlaku? Saya amat khuathir bahawa keselamatan Ahli-ahli Dewan Negeri terjejas.
Dewan Negeri merupakan dewan yang amat mulia. Keselamatan Ahli-ahli Dewan adalah sangat penting. Sesiapa pun tidak dibenarkan membawa masuk apa-apa senjata ke dalam dewan itu termasuk Ahli-ahli Dewan Negeri. Kesalahan ini tidak boleh dipandang ringan. Ia adalah bertentangan dengan Akta senjata Api Merbahaya.
Saya juga merasa malu dan kesal kerana perkara seperti ini tidak seharusnya berlaku di negara kita. Larangan membawa senjata api ke dalam dewan juga merupakan satu konvensyen yang diterima pakai di semua negara-negara komenwel dan bertamadun.
Tambahan pula, di Dewan Negeri Perak bilik khas disediakan untuk memyimpan senjata api sebelum masuk ke dalam dewan. Oleh yang demikian, tindakan tegas perlu diambil supaya insiden seperti ini tidak berulang di mana-mana Dewan Undangan Negeri ataupun di Parlimen pada masa depan.
-V. Sivakumar
No comments:
Post a Comment