Thursday, May 14, 2009

Amanat Tok Guru Nik Aziz



MATAN SIDANG AKHBAR DEKLARASI PERPADUAN NASIONAL DAN KEAMANAN SEJAGAT 13 MEI 2009

Tarikh:13 Mei 2009
Tempat:Bilik Gerakan Negeri,Kota Darul Naim
Masa: Jam 11.30 pagi

BISMILLAHIR RAHMAANIR RAHIIM

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami (Allah) telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan keturunan, supaya kamu saling berkenalan (dan beramah mesra diantara satu sama lain). Sesungguhnya orang yang paling mulia dari kalangan kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa dari kalangan kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan (akan keadaan dan amalan kamu).” (Surah Al-Hujurat: Ayat 13).

Dengan perkembangan-perkembangan laporan semasa di pelbagai segmen kehidupan baik luar negara mahupun dalam negeri, yang sejak akhir-akhir ini lebih banyak menimbulkan kerisauan, berbanding dengan berita, khabar dan harapan yang lega untuk kita semua, saya seolah-olah dapat merasakan betapa rakyat kita sudah semakin berada dalam rasa resah, ketidak tentuan dan serba salah. Mereka bukan tidak ada sebuah kerajaan atau tidak ada pemimpin tetapi apalah daya mereka apabila mereka tidak lagi terasa yang kehidupan mereka dilindungi. Apa yang ada di carta semak “harapan sebuah kebahagiaan” yang dijanjikan untuk diri, keluarga, agama dan negara mereka; hampir semuanya kabur dan sedang berada dalam suasana yang cukup berkecamuk.

Walaupun di sana terdapat banyak masjid yang indah-indah, teks khutbah, janji, piagam, lagu patriotik dan ikrar yang dilaung dan digantung di mana-mana tetapi ia sekadar deklarasi-deklarasi kosong yang tiada roh. Ini kerana ia kehilangan kejujuran. Ia ketiadaan berkat kerana ia tidak diseru atas hasrat ikhlas untuk benar-benar memelihara adab dan agama, demokrasi dan keamanan serta perpaduan dan kesejahteraan. Dalam banyak kes dan contoh, apa yang rakyat lihat cumalah drama dan silap mata untuk songlap kepentingan awam menjadi milik kroni bagi pihak proksi dan rakan kongsi untuk tujuan-tujuan persendirian.

Diatas nama mahukan politik yang stabil demi memperkukuhkan ekonomi negara, pengukuhan kerajaan telah dilakukan melalui projek-projek pembangunan. Dari situlah bermulanya ketirisan, pembaziran, rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Mereka yang memegang amanah, telah mengkhianati amanah. Contoh tipikal ialah apa yang telah dan sedang berlaku di Perak sekarang. Maka, jadilah banyak slogan yang baik-baik itu menjadi motto kosong yang tidak memberi apa-apa kesan dan harapan pemulihan. Selaras dengan ini, jika tarikh 13 Mei sebelum ini sering dirujuk kepada tragedi buruk yang menghitamkan sejarah perpaduan kaum di negara kita maka saya kira tanggal 13 Mei untuk masa-masa ke hadapan boleh kita jadikan sebagai tanggal yang boleh mencetus momentum baru.

Baca seterusnya disini

No comments:

Followers