Tuesday, May 19, 2009

Muktamar PAS: Hampir separuh calon penulis blog

Bahang kempen sempena muktamar pemilihan PAS Jun ini turut melebar ke alam maya apabila hampir separuh pemimpin yang berentap untuk jawatan kanan parti itu kini mempunyai blog peribadi sendiri.

Penggunaan media baru juga dilihat memainkan peranan penting bagi memperkenalkan diri dan 'berkempen' menjelang muktamar pemilihan parti itu awal bulan nanti.

Tinjauan Malaysiakini mendapati, daripada 107 nama yang dicalonkan mengisi jawatan kanan parti - presiden, timbalan presiden, naib presiden dan ahli jawatankuasa - 40 peratus daripadanya mengendalikan blog.

Malah, daripada lima calon yang dinamakan bagi mengisi kerusi nombor dua parti itu, tiga daripadanya mempunyai blog.

Mereka ialah penyandangnya, Nasharuddin Mat Isa dan dua naib presiden - Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu.

Dua lagi calon timbalan presiden - Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Razak dan Timbalan Mursyidul Am Datuk Dr Haron Din - tidak mempunyai blog.

Bagi pemilihan kepimpinan ketiga-tiga sayap parti Islam itu - Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat - walaupun komposisi penulis blognya lebih kurang, namun trend itu dilihat turut melebar.

Aspek berkempen

Dalam dewan Pemuda, sebanyak 33 peratus penulis blog dicalonkan, 20 peratus dalam Dewan Muslimat dan kira-kira 11 peratus dalam Dewan Ulama.

Bagaimanapun, Naib Presiden PAS, Ahmad Awang ketika diminta mengulas fenomena tersebut berkata, dari aspek berkempen, blog "tidak mempunyai kelebihan yang besar sangat".

"Pada dasarnya, penulis blog menulis apa-apa isu. Tetapi mereka tidak tulis tentang peribadi dan berkempen. Lagi pun, tidak kesemua ahli (PAS) mempunyai akses kepada blog.

"Jadi, saya tidak nampak ada kelebihan yang besar sangat," katanya yang turut mengusahakan blog peribadi di alamat ahmadawang.com.

Ketika dihubungi Malaysiakini pagi ini, Ahmad menjelaskan, tidak menjadi amalan calon yang bertanding dalam PAS, berkempen secara jelas melalui internet bagi meraih kemenangan.

-malaysiakini.com

Ajijoi ~ Tak salah malah lebih efektif dalam menyampaikan maklumat dan memberikan buah pendapat.

Cuma yang tak sedapnya, bila masalah dalaman pun nak diblogkan sehingga menimbulkan keresahan ahli dan juga modal pihak lawan menyerang.

Ini juga menunjukkan bahawa pimpinan Pas terbuka luas kepada teknologi moden terkini dan bukanlah buta hati dalam dunia digital masa kini.

No comments:

Followers