Monday, April 8, 2013

Umno cuba 'halalkan' salah guna premis

IPOH: PAS Perak mendapat maklumat bahawa Umno sedang berusaha untuk 'menghalalkan' penyalahgunaan premis awam seperti dewan orang ramai yang dilakukan mereka ketika ini di seluruh negeri.

 

Pengarah Pilihan raya PAS Perak, Asmuni Awi berkata, pelbagai cara dan helah sedang dilakukan termasuklah cuba memberi tawaran sewa kepada Umno.

 

Katanya, tindakan tersebut adalah salah kerana bercanggah dengan sistem demokrasi dan konsep keadilan.

 

"Langkah untuk memanipulasi keadaan itu adalah langkah yang tidak betul.

 

"Kalau pun ada cubaan menawarkan sewa, tawaran tersebut hendaklah dikeluarkan kepada umum termasuklah kepada pihak PAS dan Pakatan Rakyat," katanya dalam sidang media di Pejabat PAS Perak, di sini, hari ini.

 

Hadir sama ialah Ketua Penerangan PAS Perak, Dr Ahmad Nuri Al-Amin dan Jawatankuasa Strategik dan Isu PAS Perak, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss serta Safarizal Saleh.

 

Beliau yang juga AJK PAS Pusat berkata, pihak yang bertanggungjawab terutama Setiausaha Kerajaan Negeri haruslah berani mengambil tindakan kerana ketika ini kedudukan semua parti politik adalah sama rata selepas sahaja pembubaran parlimen.

 

Katanya, ketika ini negeri ini di bawah kerajaan sementara dan segala perkara terletak di bawah kuasa Setiausaha Kerajaan Negeri.

 

Tegas Asmuni, pihaknya akan menghantar memorandum kepada Setiausaha Kerajaan Negeri untuk mendesak pihak tersebut mengambil tindakan dan mengarahkan semua premis milik masyarakat itu dikosongkan.

 

"Kami tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan jika tidak mengosongkan premis tersebut dalam tempoh yang ditetapkan kerana ianya jelas melanggar undang-undang,"katanya yang juga seorang peguam.

 

Kata Asmuni, lebih daripada 817 dewan orang ramai telah disalah gunakan, itu tidak termasuk pejabat penghulu, perpustakaan dan surau.

 

Tegas beliau, BN haruslah berani menggunakan premis sendiri untuk beroperasi seperti yang dilakukan oleh Pakatan Rakyat.

 

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Perak, Dr Ahmad Nuri Al-Amin berkata, tindakan tersebut turut bertentangan dengan kod Tataetika Pilihan Raya yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR).

 

Beliau turut menunjukkan satu contoh tentang salah guna premis iaitu Rumah Orang-Orang Tua Islam Seri Payung di Kampung Ara Payung, Batu Gajah.

 

Katanya, sepanduk 'Undilah Barisan Nasional' telah dinaikkan dan menutup papan tanda rumah orang-orang tua itu dan dijadikan bilik gerakan BN.

 

"Rumah tersebut adalah hak Jabatan Kebajikan Masyarakat namun ia disalahgunakan oleh Umno untuk dijadikan bilik gerakan BN.

 

"Kami kesal dengan tindakan tersebut dan berharap pihak yang bertanggungjawab dapat mengambil tindakan sewajarnya," jelasnya.


- Harakahdaily

No comments:

Followers