Tuesday, April 30, 2013

Dakwat boleh dipadam: PAS minta penjelasan SPR



IPOH: PAS menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi penjelasan mengenai penyebaran maklumat tentang keraguan penggunaan dakwat kekal oleh para pengundi yang turun membuat undian awal pada hari ini.
 
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Asmuni Awi berkata, PAS mendapat maklumat dakwat yang digunakan pada pengundian awal hari ini tidak kekal dan boleh dibasuh.
 
Menurutnya, gambar tentang cap jari yang tidak kekal itu telah tersebar luas di laman sosial menyebabkan kegusaran rakyat khususnya yang akan mengundi pada Ahad ini.
 
“Kami mendapat banyak maklumat tentang dakwat kekal yang digunakan pada hari ini tidak kekal dan boleh dibasuh.
 
“Adakah benar maklumat yang kami terima ini? Jika benar, PAS meminta penjelasan daripada pihak SPR kerana sebelum ini mereka telah memberi jaminan bahawa dakwat kekal tersebut boleh bertahan sekurang-kurangnya selama tiga hari,” katanya dalam sidang media di Pejabat Sekretariat Pakatan Rakyat Perak, Ipoh, dekat sini hari ini.
 
Hadir sama ialah Pengerusi Pakatan Rakyat Perak, Dato’ Seri Nizar Jamaluddin, Setiausahanya, Dr Khairuddin Abdul Malik dan Pengerusi DAP Perak, Dato’ Ngeh Koo Ham.
 
Pengerusi Lajnah Undang-Undang PAS Pusat itu berkata, penyebaran gambar-gambar jari pengundi yang boleh dipadam itu telah menyebabkan rakyat meragui ketelusan sistem yang diguna pakai pada pilihanraya ini.
 
Isu ini juga katanya telah menyebabkan rakyat tidak yakin dengan integriti serta ketelusan SPR.
 
“Jika perkara ini benar-benar berlaku, tidak mustahil akan ada pengundian dua kali akan dilakukan. Ini telah bermain dalam fikiran masyarakat ketika ini,” jelas beliau lagi.

- PerakiteDaily

No comments:

Followers

Video ajijoi

Loading...