Sunday, April 21, 2013

Tangguh pelancaran bukti Manifesto BN Perak pincang


IPOH: Barisan Nasional (BN) Perak mengakui manifesto yang didedahkan oleh PAS minggu lalu adalah benar, jelas Dr Ahmad Nuri Al-Amin.

Katanya, perkara tersebut disahkan melalui kenyataan Pengerusi BN, Datuk Seri Zambry Abd Kadir dalam akhbar Berita Harian hari ini.

Ketua Penerangan PAS Perak itu berkata, tindakan untuk menangguhkan pelancaran manifesto tersebut dengan alasan ianya telah didedahkan oleh PAS menggambarkan tawaran BN mempunyai kepincangan.

“Kalaulah ianya tiada masalah dan tawaran tersebut relevan serta terbaik untuk rakyat, BN tidak perlu tangguhkan pelancarannya,” katanya dalam sidang media di Pejabat PAS Perak, dekat sini, hari ini. (Gambar)

Hadir sama Ahli Jawatankausa Strategik dan Isu PAS Perak, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss, Salman Saleh, Ustaz Fakhrulrazi Mokhtar dan Safarizal Saleh.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan, keputusan BN untuk menangguhkan pelancaran manifestonya terbukti apa yang didedahkan PAS sebelum ini adalah benar.

Jelasnya, sepatutnya BN berterima kasih kepada PAS kerana telah mendedahkan manifesto tersebut kepada umum.

Dengan pendedahan tersebut, Ustaz Nuri berkata, kepimpinan BN yang diketuai oleh Zambry itu sendiri dapat menilai respons masyarakat terhadap tawaran BN dan diubah suai sebelum ia dilancarkan.

“Isu PAS Perak tidak ‘gentleman’ seperti yang didakwa Zambry bukanlah perkara utama yang harus dibincangkan kerana PAS hanya mendedahkan perkara yang betul.

“Kami hanya dedahkan perkara-perkara yang benar iaitu janji yang belum ditepati yang dijanjikan semula kerana ini satu tindakan yang tidak wajar,” jelas Ustaz Nuri lagi.

Mengulas lanjut, BN perlu melihat dari aspek positif tentang pendedahan tersebut dan muhasabah kembali dengan meneliti semula.

“Gunakan respons yang membina daripada PAS itu untuk BN kemukakan tawaran kongkrit yang terbaik untuk rakyat.

“Selepas berpuas hati, barulah kita bersemuka atas satu pentas debat bagi membincangkan perbandingan manifesto Pakatan Rakyat dan BN,” tegasnya.

Beliau turut mengulas kenyataan Zambry yang mengatakan tidak mustahil Manifesto Pakatan Rakyat Perak diciplak daripada manifesto BN.

Sambil ketawa sinis, Ustaz Nuri berkata, kenyataan tersebut ternyata melucukan kerana pendedahan manifesto BN itu dibuat selepas pelancaran Manifesto Pakatan Rakyat Perak.

Pada 16 April lalu, PAS Perak melalui Jawatankuasa Strategik dan Isunya telah mendedahkan draf manifesto BN Perak yang diberi oleh pihak-pihak tertentu.

Dalam 11 janji utama BN, terdapat banyak tawaran yang dianggap basi kerana ianya adalah janji lama yang masih belum dilaksanakan sehingga hari ini.

Dalam kenyataan di akhbar Berita Harian hari ini, Zambry mengumumkan BN Perak terpaksa menangguhkan pengumuman manifestonya kerana ia telah dibocorkan pihak tertentu.

- Perakitedaily

No comments:

Followers