Monday, April 29, 2013

"Jangan turun Billboard Tun Musa Hitam" - Asmuni



 IPOH: Pengerusi Lajnah Undang-Undang PAS Pusat, Asmuni Awi menggesa semua jentera parti mengabaikan arahan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menurunkan billboard berkaitan kenyataan Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam.

Menurutnya, billboard yang memaparkan kenyataan Tun Musa Hitam yang mengatakan bahawa “Negara tidak akan bangkrap jika Pakatan Rakyat memerintah” itu tidak melanggar sebarang etika pilihanraya yang dikeluarkan oleh SPR.

Jelas beliau, PAS persoalkan etika mana yang SPR gunakan untuk menghalang PAS menaikkan billboard kenyataan Tun Musa Hitam tersebut.

Asmuni berkata, Peraturan 7.6 (a) Tata Etika Pilihanraya hanya melarang pemasangan billboard yang mengandungi slogan, karikatur atau apa-apa bentuk penyampaian mesej yang berbentuk sindiran dan mengejek sahaja.  

“Tetapi apa yang dinyatakan oleh Tun Musa Hitam itu merupakan satu kenyataan fakta. Kenyataan tersebut merupakan satu bentuk pengakuan dan pengiktirafan beliau terhadap kebaikan tawaran-tawaran yang kita tawarkan di dalam Manifesto Pakatan Rakyat”, jelas beliau.

“Kenyataan itu juga bukanlah satu kenyataan fitnah dan menyerang serta tidak menyakitkan hati mana-mana pihak kerana kita tidak paparkan pun nama UMNO dalam Billboard itu”, jelas beliau lagi.


Tegas Calon PAS Dun Manjoi itu, kenyataan Tun Musa Hitam itu merupakan satu sangkalan terhadap dakwaan pemimpin-pemimpin tertinggi Umno-BN termasuk Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyidin Yasin yang sebelum ini pernah menyatakan bahawa sekiranya Pakatan Rakyat diberikan mandat untuk memerintah, negara akan menjadi bangkrup.

Tambahnya lagi, SPR tidak mempunyai sebab untuk mengarahkan agar Billboard tersebut dicabut kerana kenyataan yang dipaparkan tersebut merupakan kenyataan ahli politik dan dibuat kepada awam.   

“Tun Musa Hitam adalah seorang ahli politik dan merupakan bekas Timbalan Perdana Menteri, maka kenyataannya itu boleh diambil oleh mana-mana pihak.

Tegas Asmuni, kenyataan Tun Musa Hitam itu bukanlah kenyataan yang dibuat secara tertutup tetapi dibuat dalam majlis umum yang dihadiri oleh orang awam dan telah disebar luas termasuk oleh akhbar Sinar Harian.

“Oleh itu, mana-mana pihak berhak untuk mengambil kenyataannya itu terutamanya Pakatan Rakyat kerana ia merupakan satu pengiktirafan terhadap Manifesto Pakatan Rakyat.

“Perkara seperti ini turut dilakukan oleh BN misalnya di pilihanraya kecil Galas dan Bagan Pinang yang mana BN telah menggunakan secara meluas gambar Najib menziarahi Tok Guru Nik Aziz di hospital sebagai bahan kempen pilihanraya mereka di sana. 

"Kita tidak boleh menghalang perbuatan mereka itu kerana ia merupakan kejadian yang benar,” jelasnya lagi.

Oleh itu, beliau yang juga AJK PAS Pusat mempersoalkan di bawah undang-undang dan peraturan mana pihak SPR mengarahkan agar billboard tersebut perlu diturunkan.

“Saya tidak nampak satu pun undang-undang dan peraturan yang memberi bidangkuasa kepada pihak SPR untuk mengeluarkan arahan tersebut. 

"Kuasa yang ada sekarang ini diberikan kepada pihak pemantau yang dibentuk oleh pihak SPR yang anggotanya terdiri daripada wakil-wakil parti, pihak polis dan PBT,” jelasnya lagi.

PAS katanya hairan kenapa pihak SPR boleh mengambil alih tugas pasukan penguatkuasa tersebut sedangkan tiada sebarang undang-undang dan peraturan yang membenarkannya.

- PerakiteDaily

No comments:

Followers