Thursday, April 25, 2013

PANAS! Zambry perkenal calon di masjid



IPOH: Jawatankuasa Strategik dan Isu PAS Perak hari ini mendedahkan bahawa BN telah menggunakan masjid atas tujuan politik kepartian.
 
Koordinatornya, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss berkata, Pengerusi BN Perak, Dato’ Dr Zambry Kadir telah hadir dalam satu program di Masjid Kampung Jeliang, Kuala Kangsar untuk merasmikan peralatan baru di masjid tersebut.
 
Namun katanya, dengan berselindung dibelakang program perasmian peralatan masjid, Zambry telah mengambil kesempatan itu untuk berpolitik dan memperkenalkan calon-calon BN yang akan bertanding di Dun dan parlimen Kuala Kangsar pada Pilihanraya Umum ke-13 (PRU13) ini.
 
“Beberapa minit sahaja beliau gunakan untuk berucap perasmian dan selepas itu ucapannya penuh dengan kempen dan memburuk-burukkan Pakatan Rakyat serta memperkanalkan calon-calon mereka,” katanya dalam sidang media di Pejabat PAS Perak, hari ini.
 
Hadir sama ialah ahli jawatankuasanya, Dr Ahmad Nuri Al-Amin, Mohd Fitri Asmuni, Ustaz Fakhrulrazi Mokhtar dan Safarizal Saleh.
 
Beliau yang juga Yang Dipertua PAS Kuala Kangsar menjelaskan, PAS mengutuk sekeras-kerasnya tindakan itu yang jelas melanggar titah Tuanku Sultan Perak yang melarang segala program yang berunsur politik kepartian dibuat di dalam institusi masjid.
 
Katanya, tindakan tersebut menggambarkan sikap beliau yang bermuka-muka kerana sebelum ini beliau lantang mengutuk tindakan sedemikian.
 
“Zambry ternyata bermuka muka, sebelum ini dia yang marah dan menuduh PAS menggunakan masjid untuk berpolitik tetapi sebaliknya dia yang melakukan sedemikian
 
“Rakyat khusnya di Perak dapat menilai sikap sebenar Zambry yang bercakap tidak serupa bikin,” jelasnya lagi.
 
Beliau turut menempelak tindakan Umno yang menggunakan Dewan Pejabat Agama Islam Kuala Kangsar untuk perjumpaan jentera wanita dengan Ketua Wanita Umno, Dato’ Seri Shahrizat Abdul Jalil .
 
Katanya, tindakan tersebut sekali lagi membuktikan betapa Umno tidak menghormati titah Tuanku Sultan dengan mencabuli institusi agama Islam yang sepatutnya bebas daripada sebarang campur tangan serta unsure politik kepartian.
 
“Tindakan ini jelas menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab BN sehingga sanggup menodai institusi agama demi kepentingan mereka sendiri,” jelasnya.

- PerakiteDaily

No comments:

Followers