Sunday, April 28, 2013

Hamidah kebal daripada sebarang tindakan polis?



IPOH: PAS Perak mempersoalkan adakah Dato’ Hamidah Osman kebal daripada sebarang tindakan daripada pihak Polis Di Raja Malaysia (PDRM).

Koordinator Jawatankuasa Strategik dan Isu PAS Perak, Salman Saleh berkata, sehingga hari ini bekas Exco Kerajaan Negeri Perak tidak disabitkan sebarang tindakan walaupun pelbagai insiden yang dilakukan olehnya sebelum ini.

Katanya, pihak Hamidah sering mengganggu ceramah yang dianjurkan Pakatan Rakyat dengan mengadakan program bersebelahannya sehingga menyebabkan kacau bilau dan huru-hara.

Jelasnya, walaupun pihak Hamidah tidak mempunyai permit namun tindakan mereka direstui tanpa sebarang sekatan oleh pihak Polis.

“Kami hairan tiada sebarang tindakan daripada pihak Polis walaupun beberapa kali membuat laporan,” katanya dalam sidang media di Pejabat PAS Perak, dekat sini, hari ini.

Hadir sama ialah ahli jawatankuasanya, Dr Ahmad Nuri Al-Amin, Salman Saleh, Mohd Hakim Mohd Nor dan Safarizal Saleh.

Setiausaha Jabatan Pilihanraya PAS Perak itu menjelaskan, pihak Polis berada ditempat kejadian dan merekodkan apa yang berlaku namun sehingga hari ini Hamidah tidak didakwa.

Jelasnya, pihak Polis sepatutnya memanggil Calon BN Dun Sungai Rapat itu bagi menjalankan siasatan lanjut.

“Baru-baru ini Hamidah didakwa menyerang Calon PKR parlimen Gopeng, Dr Lee Boo Chye dan kekecohan berlaku menyebabkan ada pihak polis yang berada di tempat kejadian turun dikasari.

“Pihak Polis ada di tempat kejadian, kenapa tiada tindakan selanjutnya? Soalnya lagi.

Tegasnya, PAS Perak mendesak pihak polis berlaku adil dalam menjalankan tanggungjawab mereka dengan adil tanpa menyebelahi mana-mana pihak.

“Adakah pihak Polis tidak mampu untuk mendakwa beliau (Hamidah) kerana ada kuasa lain lebih tinggi?

“Adakah Hamidah kebal daripada sebarang tindakan undang-undang,” soal beliau lagi.
 
- PerakiteDaily

No comments:

Followers