Tuesday, April 30, 2013

Isu Tanah RM10 juta : Bunga Raya Layu Sebelum Kembang


Saya membaca lontaran fitnah daripada calon Bebas di Parlimen Pasir Mas yang bertanding menggunakan logo Bunga Raya, Datuk Ibrahim Ali yang mendakwa kononnya Menteri Besar Kelantan, YAB Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat memiliki tanah bernilai RM10 juta di Bandar Baru Tunjong. Ia disiarkan di dalam akhbar Utusan Malaysia hari ini 30 April 2013.


Saya kira Ibrahim Ali tidak lebih nilainya daripada sekuntum bunga raya yang sedang layu sebelum berkembang. Ia sudah buruk di tangkai dan menunggu jatuh untuk dipijak-pijak sebelum dilupakan daripada kamus politik rakyat Malaysia. Dalam misi untuk menjatuhkan lawan di Pasir Mas yang merupakan anakanda kepada Menteri Besar Kelantan, Ibrahim Ali menggunakan strategi kotor yang semenangnya sudah sinonim dengan perjuangan politiknya semenjak zaman muda lagi. Generasi lama pastinya tidak lupa insiden demonstrasi di Kota Bharu pada akhir tahun 70-an yang melibatkan peristiwa bakar tayar yang mengakibatkan berlakunya peristiwa Mageran di Kelantan. Siapa lagi dalangnya jika bukan calon Bunga Raya ini?

Dalam isu pemilikan tanah yang dihebohkan ini, perlu dinyatakan kesemua 14 lot tanah tersebut adalah milik Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) yang mana ia dibeli oleh PMBK secara terus daripada orang perseorangan antara tahun 2006 sehingga tahun 2007. Kesemua tanah tersebut berada di dalam kawasan Tanah Rezab Melayu dan di atas pegangan hakmilik selama-lamanya (perpetuity).

Di dalam definisi ‘Melayu’ sebagai syarat untuk memiliki tanah Rezab Melayu di Kelantan, institute PMBK tidak ditakrifkan sebagai Melayu. Inilah yang termaktub di bawah Seksyen 13A Enakmen Rizab Melayu Kelantan 1930 dan Seksyen 104 Enakmen Tanah Kelantan 1938.

Dalam situasi pemilik asal tanah ingin mendapatkan segera bayaran daripada pembeli yang terdiri daripada pelbagai badan korporat, PMBK mengambil pendekatan untuk mempercepatkan proses pindah milik bagi memudahkan sebarang usaha memajukan tanah dapat dilaksanakan segera. Justeru pada tahun 2007, PMBK membuat keputusan agar Menteri Besar Kelantan selaku Pengerusi PMBK dinamakan sebagai Pemegang Amanah bagi kesemua 14 lot tanah tersebut bagi pihak PMBK.

Bagi mengesahkan keputusan tersebut satu Surat Ikatan Amanah (Deed Trust) bertarikh 5 November 2007 telah dimeterai antara PMBK dan YAB Tuan Guru Menteri Besar Kelantan. Surat ini mensyaratkan bahawa YAB Tuan Guru selaku Pemegang Amanah wajib melepaskan pegangan tanah tersebut pada bila-bila masa yang dikehendaki oleh PMBK. Ia berkuatkuasa sehingga ke saat ini. 

Berasaskan kepada fakta0fakta ini, YAB Tuan Guru bukanlah pemegang pemilik sebenar bagi 14 lot tanah seluas 4.4 ekar (1.76 ekar) sebagaimana yang didakwa oleh calon Bunga Raya. Beliau hanyalah pemegang amanah bagi pihak PMBK. Bila-bila masa hak pemilikan ke atas tanah tersebut boleh dituntut oleh PMBK.

Dengan penjelasan ini, saya kira kekeliruan yang cuba ditimbulkan oleh calon Bunga Raya tersebut dapat dijernihkan. Seeloknya saya nasihatkan calon Bunga Raya agar dapat mencari strategi yang lebih bersih dan jernih untuk menang. Janganlah pula kerana maruah jatuh di mata Tun Mahathir kerana hanya berjaya mengerah 200 orang sahaja dua hari lepas, beliau meracau bagaikan hantu raya mencari mangsa sehingga terlupa telur yang ditelan ialah telur buaya bukannya telur ayam.

Sekian.

Ahmad Fadhi bin Shaari,
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan.

Bertarikh : 30 April 2013

No comments:

Followers