Sunday, April 28, 2013

Billboard kempen dibakar: PAS Batu Gajah buat laporan polis



IPOH: PAS Kawasan Batu Gajah hari ini membuat laporan Polis berhubung tiga buah billboard besar kempen telah disabotaj oleh pihak-pihak tertentu.

Laporan tersebut dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Gajah, hari ini.

Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Batu Gajah, Rosdy Abdullah berkata, tiga buah billboard yang dinaikkan di Taman Tasek Permai, Batu Gajah berdekatan rumah Calon BN Dun Sungai Rapat, Dato’ Hamidah Osman itu telah dibakar serta dirosakkan oleh pihak tertentu.

Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 5.00 pagi tadi dan disedari oleh orang ramai beberapa jam kemudian.

“Saya bergegas ke tempat kejadian dan kelihatan api masih ada dan berasap. Ini bukan kejadian pertama disabotaj, sudah beberapa kali sebelum ini telah berlaku,” katanya selepas selesai membuat laporan polis.

Mengulas lanjut, Timbalan Ketua Penerangan PAS Perak itu berkata, insiden khianat daripada pihak yang tidak bertanggungjawab itu bukanlah perkara baru di kawasan itu.

Katanya, sebelum ini pihaknya telah membuat laporan polis beberapa kali tentang insiden seperti itu namun ianya tetap berlaku lagi.

“Kami sangat kesal dengan tindakan ‘bacul’ oleh pihak yang tidak bertanggungjawab ini, kami tidak mahu politik mundur ini berlaku dalam suasana politik baru ini,” jelasnya.

Jelas beliau, PAS menggesa pihak Polis dapat melakukan siasatan segera bagi mengenalpasti identiti yang melakan khianat itu.

Rosdy menjelaskan, PAS tidak mahu perkara sedemikian berulang lagi dan berharap pihak polis dapat membuat rondaan sekerap mungkin agar tindakan khianat itu dapat diatasi.

PAS katanya turut menggesa pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dapat menasihati semua parti bertanding agar tidak melakukan perkara sedemikian.

“Berhadapanlah dengan politik harmoni, kita berlawan dengan hujjah, bukan dengan emosi,” jelasnya lagi.

Sementara itu, Calon PAS Dun Sungai Rapat, Radzi Zainon ketika dihubungi berharap semua ahli dan penyokong PAS dapat bertenang dan bersabar dengan suasana berlaku ini.

Beliau berharap dengan kejadian itu akan membangkitkan lagi semangat jentera untuk melakukan gerak kerja dalam masa beberapa hari menjelang pilihanraya ini.

"Bersabarlah, kita teruskan kerja, mungkin itulah sahaja kerja mereka," ujar beliau lagi.

- PerakiteDaily

No comments:

Followers