Thursday, April 25, 2013

Bekas Naib Canselor pula sertai PAS



(Bekas Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral (B) Datuk Ir. Ismail Bin Samion [dua dari kanan] mengumumkan penyertaannya ke dalam PAS)

KUALA LUMPUR: Seorang lagi tokoh masyarakat mengumumkan penyertaannya ke dalam PAS hari ini sebagai penyataan sokongan kepada Pakatan Rakyat menuju Putrajaya.

Leftenan Jeneral (B) Datuk Ir. Ismail bin Samion, adalah bekas Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional (UPNN) menyerahkan borang permohonannya kepada Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali.

Turut serta di majlis yang diadakan di Pusat Media PAS itu adalah Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Mahfuz ketika mengalu-alukan kemasukan Ismail, berkata lonjakan ini akan memberi ruang kepada mana-mana bekas tentera untuk tampil berani bersama-sama menyokong Pakatan Rakyat.

(Datuk Ismail menyerahkan borang kepada Datuk Mustafa hari ini)

"Bukan sahaja bekas tentera, malah anggota tentera yang masih berkhidmat pun perlu bersama-sama berani membuat perubahan. Sehubungan itu, saya menyeru yang lain, khususnya TUDM untuk menjejaki langkah Datuk Ismail ini," kata beliau kepada wartawan.

Mustafa pula menyifatkan kemasukan Ismail itu merupakan satu gambaran kesedaran yang menyeluruh di kalangan rakyat yang mahukan perubahan.

"Saya melihat kemasukan daripada kalangan bekas pegawai kerajaan, sama ada tentera ataupun sivil, ia satu gambaran kesedaran yang menyeluruh untuk membuat perubahan," kata beliau.

Beliau juga berharap dengan kemasukan Ismail ini akan memperkemaskan lagi jentera kempen Pakatan Rakyat, khususnya di Kedah.

Dilahirkan di Kuala Nerang, Kedah pada 23 Nov 1951, Leftenan Jeneral (B) Datuk Ir. Ismail Bin Samion (TUDM) merupakan lulusan dari Universiti Reading, UK dalam bidang kejuruteraan mekanikal pada tahun 1980.

Beliau telah berkhidmat dengan Angkatan Tentera Malaysia selama 38 tahun sebagai seorang jurutera dengan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Komandan Akademi Tentera Malaysia (MAM) dan akhirnya sebagai Naib Canselor (VC) di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Kerjayanya dalam TUDM bermula sebagai seorang jurutera junior di skuadron pengangkutan (helikopter) dan semakin memuncak apabila dilantik ke jawatan Penolong kepada Ketua Tentera Udara (Kejuruteraan).

Beliau dilantik sebagai ketua jurutera TUDM (1997 hingga 2000) sebelum dilantik sebagai komandan MAM pada tahun 2001.
Apabila Akademi dinaik taraf kepada Universiti Pertahanan, pada tahun 2006, beliau telah dilantik sebagai Naib Canselor pertama. Beliau merupakan jurutera pertama yang dilantik sebagai Naib Canselor sesebuah IPTA.

Selain daripada itu, beliau juga pernah memegang beberapa jawatan penting lain di dalam berbagai sektor industri dan kejuruteraan Malaysia.

Beliau juga sangat aktif dalam menyokong aktiviti-aktiviti Industri Pembinaan dalam sebagai seorang penilai panel (2005 hingga 2010).

Beliau juga merupakan salah seorang daripada perintis bagi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dalam menilai dan mencadangkan penerima anugerah The CEO of the Year dan The Prominent Award.

Beliau pernah mewakili Institusi Jurutera (IEM) di dalam Lembaga Panel Tatatertib, Peguambela & Peguamcara (2010 hingga 2012) dan juga sebagai ahli PEMUDAH Selangor (2010 hingga 2012).

Mempunyai seorang isteri, Datin Khalijah Hashim dan dikurniakan 4 orang cahayamata. Ayah beliau, Samion bin Mohamad, adalah salah seorang bekas anggota tentera yang terkorban ketika Kedah diserang komunis pada tahun 1954. Ibu beliau bernama Aminah bt Ishak.

Penyertaannya ke dalam PAS hari ini melambangkan kesediaan Pakatan Rakyat untuk mentadbir dengan dengan baik dan mendapat sokongan dari teknokrat negara.

- HarakahDaily

No comments:

Followers