Sunday, February 28, 2010

Teruja dapat bertemu penulis yang diminati, Pahrol Mohamad Juoi

Tengahari ini sewatu bertandang memenuhi jemputan perkahwinan anak lelaki Dr Zakaria di Sungai Rokam, pandangan mata saya tertumpu kepada sesusuk tubuh yang sedang tercari-cari tempat duduk untuk menjamah jamuan hidangan perkahwinan. Lelaki ini amat saya kenali, kata hati saya. Tetapi akal pula menerjah waspada kalau-kalau tersilap orang.

Lelaki yang saya maksudkan itu adalah Pahrol Mohamad Juoi, seorang penulis yang amat saya kagumi melalui tulisan-tulisannya di dalam majalah Solusi yang beliau juga bertindak sebagai Ketua Editor untuk majalah itu.

Sambil menikmati hidangan, lama juga saya memerhatikan pergerakan dan perwatakannya melayan sesiapa sahaja yang menegurnya. Tidak silap lagi, fikir saya. Itulah orangnya. Melalui gayanya yang penuh sopan dan berakhlak menyantuni semua sesuai dengan penulisannya yang membina jati diri seorang Muslim.

Seusai menikmati juadah, saya memberanikan diri mendekatinya. Tetapi saya perlu berhati-hati jika ternyata amaran akal saya benar belaka, takut tersilap orang. Kelembutannnya menyambut huluran salam saya sambil mengiyakan tekaan saya bahawa dialah penulis yang saya kagumi itu. Alhamdulillah!

Hari ini merupakan hari yang bertuah buat saya kerana baru pagi ini saya berjaya membeli buku 'Nota Hati Seorang Lelaki' karya Pahrol Mohamad Juoi (gambar, kiri)setelah puas mencari diserata kedai buku. Semuanya memberikan jawapan yang sama, HABIS.

Lebih bermakna hari ini apabila dapat bertemu dan bertentang mata dengan penulis itu sendiri apatah lagi layanan yang diberikannya menambahkan lagi rasa hormat saya kepadanya.

Ternyata segala penulisannya dipraktikkan secara sedar di dunia luar, bukan hanya sekadar kata-kata yang berbunga bahasa untuk menyedapkan rasa.

Pemikiran dan penulisan saudara Pahrol Mohamad Juoi boleh anda layari di blog beliau, Genta-Rasa.com

Terima kasih kepada saudara Pahrol Mohamad Juoi yang sedia melayani permintaan saya untuk bergambar bersama sebagai tanda kenangan di hari yang serba indah ini.

2 comments:

KASIHCIKGU said...

salam perkenalan, ana orang baru di bidang ini. bolehkan sgkasai juga dijaringkan di sini?TQ

Orang Tranung said...

Salam jom join jadi pengedar stormreaders.com, syarikat Ustaz Pahrol kita tolong jadi agen untuk buku diorang

Followers