Nah, tulah kredibiliti dia orang semua. Asalnya, mereka dari UMNO. Mereka mengutuk UMNO. Mereka bersumpah atas nama Allah bahawa mereka takkan kembali menyertai UMNO. Bahkan ibu mereka berjanji untuk mengutuk mereka jika mereka kembali ke pangkuan UMNO. Tetapi mereka kembali juga kepada UMNO.
NO HOLDS BARRED
Raja Petra Kamarudin
Rais Yatim adalah salah seorang pelopor Semangat 46, iaitu musuh UMNO baru pada tahun 1988. Pada waktu itu, Rais, Ibrahim Ali, dan ramai lagi pemimpin Semangat 46 berkata bahawa jika mereka mati hidup semula sekalipun, mereka takkan kembali kepada UMNO. Mereka kata bahawa mereka takkan jilat balik ludah mereka. Mereka juga kata bahawa apabila Tun Dr. Mahathir Mohamad meninggal dunia nanti, mereka akan kencing di atas kuburnya.
Rais adalah antara individu yang mengatakan semua ini. Tetapi dia kemudiannya menyertai semula UMNO di ketika Dr. Mahathir masih merupakan Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia. Nampaknya, si Rais menjilat kembali ludahnya sendiri dan dia tak pula perlu mati hidup semula sebelum kembali kepada UMNO.
Rais mendapat ijazah kedoktorannya berasaskan tesis yang menentang Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Apabila dia kemudiannya ditanya tentang sebab dia menukar pendiriannya dan menyokong ISA sedangkan pada mulanya, dia menentangnya, malah mendapat ijazah kedoktoran berasaskan tesis yang menentang ISA, dia menjawab bahawa tesis itu hanyalah suatu 'latihan akademik' dan tidak menggambarkan pendiriannya.
Sepanjang pembabitannya dalam Semangat 46, Rais dan gengnya pergi ke seluruh pelusuk negara dan menyampaikan ceramah yang menghentam UMNO dan Dr Mahathir. Mereka mengatakan bahawa UMNO dan Dr. Mahathir telah menghina Raja-raja Melayu dan menghakis kuasa mereka. Kata Rais, UMNO dan Dr. Mahathir adalah pengkhianat Raja-raja dan bangsa Melayu.
Bapa Kemerdekaan dan Perdana Menteri pertama Malaysia, Tunku Abdul Rahman membenci UMNO. Dia enggan menyertai semula UMNO dan meninggal dunia sebagai ahli Semangat 46. Begitu juga dengan Tun Hussein Onn, Perdana Menteri ketiga Malaysia yang juga enggan menyertai semula UMNO dan tidak meninggal dunia sebagai ahli UMNO.
Rais pun samalah, yang mana dia mengatakan bahawa dia lebih rela mati daripada kembali kepada UMNO. Walau bagaimanapun, hari ni, dia bukan saja ahli UMNO, tetapi juga adalah seorang menteri dan juga 'jurucakap' bagi parti itu.
Terdapat ramai orang dahulunya dalam Semangat 46 ataupun Parti Keadilan Rakyat yang mendendangkan retorik yang sama. Contohnya, Ezam Mohd Nor yang pernah menjadi Ketua Pemuda Keadilan dan juga keseluruhan EXCO Pemudanya pergi ke seluruh negara dan melakukan sumpah yang dipanggil Sumpah Keramat. Sumpah Keramat yang mereka ambil adalah sumpah atas nama Allah bahawa mereka TAKKAN menyertai semula UMNO dan bahawa misi mereka adalah menghapuskan UMNO.
Mereka bersumpah dengan nama Tuhan bahawa mereka takkan menyertai semula UMNO. Misi mereka adalah menghancurkan UMNO. Tetapi hari ni, mereka semua dah kembali ke pangkuan UMNO. Nampaknya, Sumpah Keramat mereka hanya sekadar sumpah kosong semata-mata.
Saya pernah melakukan rakaman video ke atas ibu Ezam, di mana dia mengatakan bahawa dia akan mengutuk anaknya jika dia menyertai semula UMNO. Saya menghasilkan VCD temubual tu dan mengedarkannya ke seluruh Malaysia.
Bagi orang Melayu, sumpahan seorang ibu adalah perkara yang sangat serius kerana mereka percaya bahawa syurga terletak di bawah tapak kaki ibu. Tetapi Ezam dan sebahagian besar daripada EXCO Pemudanya yang melakukan Sumpah Keramat itu akhirnya menyertai semula UMNO.
Nah, tulah kredibiliti dia orang semua. Asalnya, mereka dari UMNO. Mereka mengutuk UMNO. Mereka bersumpah atas nama Allah bahawa mereka takkan kembali menyertai UMNO. Bahkan ibu mereka berjanji untuk mengutuk mereka jika mereka kembali ke pangkuan UMNO. Tetapi mereka kembali juga kepada UMNO.
Bolehkah kita mempercayai kata-kata orang jenis macam ni? Penting sangatkah apa yang dia orang kata? Atau haruskah mereka diabaikan sebagai orang yang tidak berpendirian, yang mana kata-kata mereka tidak perlu diambil pusing?
-Malaysia Today
No comments:
Post a Comment