Saturday, February 27, 2010

Beli buku

Kemana santai anda bercuti Maulidur Rasul semalam? Apa pun aktivitinya diharapkan tidak sampai terlupa berselawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad SAW serta keluarga dan sahabat baginda sekalian.

Bagi saya sekeluarga, kami ke kedai buku mencari bahan bacaan agar waktu tidak tersia-sia berlalu tanpa penambahan ilmu. Mentelah pula, gaji baru saja menjengah. Ada berbaki nampaknya untuk melabur ke arah ilmu.

Anak-anak perlu ditertib agar sentiasa bersama dengan buku. Gedung ilmu yang bisa digenggam ditelapak tangan dan mudah dibawa kemana saja tidak mengira masa. Dan semua ini perlu bermula daripada kita, ibu bapa.

Ada beberapa buah buku yang telah saya sasarkan untuk membelinya. Tetapi sayang sekali telah kehabisan. Terpaksa menambah waktu untuk mencari-cari tajuk yang menangkap minda.

Beberapa buah tajuk berjaya saya pilih dan sudah seakan 'wajib' bagi saya untuk membeli buku karangan Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebagai khazanah yang amat berharga.

Lima buah buku yang terpilih kali ini ialah:

1. Muhammad SAW, Jejak Junjungan Mulia - Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat
'Menilik buku ini samalah seperti kita cuba berpegang kepada makna dan semangat nas untuk memecahkan masalah-masalah kehidupan yang sulit. Hakikatnya seolah-olah kita membelek diari hidup Nabi Muhammad SAW yang siddiq dalam proses menyukat kualiti diri. Kita bagaimana? Siapa yang ingin rasa dekat dengan Nabi, bacalah buku ini. Pasti seolah anda berada di zamannya.'

2. Seksa Meninggalkan Solat - Mukhlas Syarkun
'Sembahyang itu tiang agama, sesiapa mendirikannya maka sesungguhnya ia telah mendirikan agamanya dan sesiapa meninggalkannya maka sesungguhnya ia telah merobohkan agamanya.'

3. Supaya Gelisah Bernilai Ibadah - Dr. Ibrahim Fiqhy
'Buku ini hadir sebagai inisiatif untuk membantu anda mengatasi kesedihan. Ada beberapa point penting yang patut anda baca:
-Bagaimana mengubah kesedihan menjadi ibadah?
-Bagaimana menghadapi kritikan pedas orang lain?
-Dan kaedah Islam untuk mengubati gelisah.'

4. Ajaibnya Sedekah, Semakin Bersedekah, Semakin Kaya - Muhammad Muhydin
'Sama ada percaya ataupun tidak, sedekah adalah ibadah yang ajaib.
Ia adalah ibadah yang tidak selari dengan hukum ekonomi moden.
Semakin banyak yang dikeluarkan tanpa kepentingan, semakin bertambah pendapatan dan semakin kaya.
Namun, itulah jutaan keajaiban, mukjizat, misteri dan rahsia keagungan ibadah sedekah yang diberikan Allah kepada Muslim yang sanggup bersedekah. Ajaibnya Sedekah membicarakan mengenai keajaiban dan mukjizat sedekah khususnya dalam meningkatkan kekayaan dan kebahagiaan. Ia juga memberikan penjelasan mengenai hubung kait antara sedekah dan rezeki dalam satu rumus matematik sedekah. Ia juga menjelaskan mengenai mukjizat sedekah dalam menghindar penyakit dan memanjangkan usia.'

5. Diari Sufi - Siti Munazakiah
'Setiap insan punya cara tersendiri untuk meluahkan rahsia hati, tidak kira pada sahabat, teman mahu pun keluarga. Tidak semua rahsia hati mampu diluahkan dengan kata-kata. Maka, lahirlah Diari Sufi yang diselitkan dengan doa, buat renungan untuk insan-insan kerdil yang selalu mengharapkan keredaanNya.'

Semoga pelaburan yang sedikit ini mampu memberikan pulangan yang berlipatkaliganda di dalam bentuk ilmu yang bermanfaat buat saya sekeluarga.

Tetapi yang lebih penting lagi ialah untuk menambah serta mencambah ilmu demi mencari keredaan Allah Maha Pencipta.

No comments:

Followers