Sunday, February 21, 2010

Tok Guru Nik Aziz melawat ke Projek Padi Sri Organik, Baruh Tunjung

Khamis 18hb. Februari, 2010 jam 11:30 pagi, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat diiringi oleh EXCO Kerajaan Negeri Kelantan, Dato' Paduka Husam Musa berkesempatan mengadakan lawatan susulan ke tapak Projek Padi Sri Organik di Baruh Tunjung dalam DUN Salor.

Aktiviti berkenaan adalah acara bulanan bagi mengikuti perkembangan projek berkenaan (Padi Sri Organik) dari masa ke semasa.

Projek Tanaman Padi Sri Organik anjuran bersama antara ADUN Salor, Salor Care dan Sunnah Tani ini telah dimulakan pada awal bulan mei tahun 2009 ditanah seluas 8 hektar dan telah dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 22hb. Julai, 2009.

Penanaman Padi Sri Organik merupakan satu pendekatan penanaman yang baru diperkenalkan iaitu secara organik dan kaedah tanaman padi sebatang (bibit muda) yang dinamakan Sistem Memperhebatkan Hasil Padi (SRI).

Kaedah penanaman ini (organik) sebenarnya telah lama dipraktikkan di Madagascar iaitu pada penghujung tahun 80an dan Indonesia juga sedang giat mengembangkan kaedah penanaman ini kerana secara umumnya, padi yang ditanam dengan menggunakan kaedah ini akan memberikan hasil lebih 20-30% dari padi yang ditanam dengan menggunakan kaedah penanaman biasa.

Kaedah SRI yang digunakan untuk projek ini telah banyak membantu keseimbangan biologi tanah untuk projek ini, dan hasilnya ialah, ia tidak mencemarkan alam, tidak memerlukan air yang banyak dan juga dapat menjimatkan lebih banyak kos, disamping kualiti kesuburan tanaman pula lebih terjamin.

Dalam lawatan tersebut juga, Saudara Aep Saifudin selaku "pilot projek" telah menerangkan secara terperinci segala perkembangan projek tersebut kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan juga semua yang hadir dalam lawatan tersebut.

Diakhir lawatan tersebut, para tetamu telah dihidangkan dengan juadah dan lauk-pauk yang datang hasil dari projek tersebut.

Dato' Paduka Husam Musa menyambut ketibaan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Aeb Saifudin sedang menerangkan kegunaan mesin memproses padi kepada Tuan Guru Menteri Besar Kelantan. Tuan Guru Menteri Besar Kelantan meninjau tanaman padi. Aep Saifudin mencuba memancing belut cara tradisional Ini bukan Kambing Jamnapari. "Rumah Merpati". Tuan Guru Menteri Besar meninjau sistem pengairan berhampiran tapak projek tanaman. "Hari ini ialah hari yang paling menggembirakan saya" kata Tuan Guru Menteri Besar Kelantan. Berbagai spesis ikan air tawar dipelihara dikolam kecil ini termasuk belut.

No comments:

Followers