Saturday, February 27, 2010

Ulasan buku: Diari Sufi

Membaca buku ini begitu menyamankan hati. Menajamkan minda dan bisa menyemarakkan iman.

Itulah yang dapat saya rasakan apabila membelek helaian demi helaian buku ini sehingga tidak sedar bisa menghabiskan 110 muka surat dalam masa tak sampai sehari.

Kisah yang berlingkar tentang kehidupan seorang gadis (mungkin diri penulis ini sendiri) yang segalanya diluahkan di dalam sebuah diari. Bercerita tentang suka dukanya kepada diari yang padanya lebih memahami apa yang tersirat di hati berbanding dengan manusia yang tidak begitu ambil peduli.

Apa yang menjadikan buku ini lebih menarik apabila setiap penceritaan disaluti doa yang berkaitan dan dilapik dengan ayat-ayat Quran sebagai buah hujah membenarkan tindakan.

Saya petik sedikit ayat-ayat daripada buku ini yang dibawah bab 'Peliharalah Perjuanganku":

Perjuangan merupakan satu wadah yang sering disalahertikan. Definisi diberikan dengan merujuk kepada natijah yang belum terzahir tanpa menimbang dulu niat dan maksud yang mengiringi sesuatu perjuangan itu. Kita sebagai khalifah Allah SWT semuanya harus berjuang. Makna perjuangan juga tidaklah seharusnya disempitkan kepada pentafsiran yang kolot. Perjuangn boleh lahir dalam pelbagai situasi. Anak berjuang untuk mendapat keredaan Allah SWT melalui mentaati ibu bapanya. Guru berjuang membangunkan sahsiah anak bangsanya dengan ilmu. Majikan berjuang untuk memberikan keadilan dalam menangani para pekerjanya. Seorang Muslim selain memperjuangkan agamanya, berjuang menentang hawa nafsu. Semuanya merupakan para pejuang.

Melewati zaman yang berpintukan kecanggihan berjendela teknologi, menjadikan peranan perjuangan semakin sepi bunyinya. Malah pentafsiran negatif pula mengambil tempat seolah-olah perjuangan adalah sesuatu yang melanggar hukum alam dan buruk benar kesannya. Sebut saja perjuangan, maka kehancuran akan terpancar serta kemusnahan akan terbayang di benak kita sedangkan para rasul, sahabat dan tabiin tidak sudah-sudah berjuang hingga ke hembusan nafas terakhir mereka. Usah dituruti kesesatan yang tiada hujung pangkalnya. Yakin pada Allah SWT selagi kita memperjuangkan hak dan kebenaran kerana Allah SWT sentiasa bersama orang-orang yang benar.

"...Dan mereka yang bermujahadah pada jalan Kami nescaya Kami tunjuki jalan-jalan Kami itu." [Surah al-Ankabut:69]
Buku ini saya sarankan untuk anda miliki dan selamilah kata-katanya yang indah membuai dalam dakwah ringan tetapi membina. Amat sesuai untuk bacaan remaja sebagai bahan bakar menjalani kehidupan seharian dengan sulaman doa buat pemangkin jiwa.

No comments:

Followers