Kenyataan Media
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) bertegas untuk mendesak pihak Polis melakukan siasatan dan membuat pendakwaan terhadap pegawai khas Perdana Menteri, Datuk Nasir Safar yang terang-terangan menghina kaum India dan Cina dinegara ini.
PAS sesekali tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang mempertikaikan hak mana-mana kaum yang sah taraf sebagai warganegara ini. Selagi Umno, MIC dan MCA masih wujud, isu perkauman akan sentiasa menjadi bahan pertikaian.
PAS melihat tindakan Nasir ini sebagai natijah penglibatannya yang sekian lama bergelumang dengan parti perkauman Umno. Nasir perlu dibicarakan kerana jelas pandangannya itu telah menghina intitusi Perlembagaan negara ini yang menjamin hak setiap warganegara tanpa mengira kaum.
Walaupun Nasir menafikan itu pendirian Perdana Menteri, namun jelas Perdana Menteri telah gagal untuk mengajar pegawainya untuk memahami gagasan 1 Malaysia yang dicanangkannya. Jika Pegawai yang rapat dengan beliau boleh menganggap gagasan itu sebagai remeh, bagaimana rakyat mahu percaya keikhlasan Najib terhadap dasar berkenaan.
Jika apa yang Nasir lontarkan itu disebut oleh pimpinan Pakatan pasti mereka sudah dipenjarakan dengan akta ISA. PAS tetap menolak akta ISA dan akta Hasutan. PAS mahu Nasir didakwa segera di Mahkamah.
Jika para Blogger yang menghina Institusi Beraja dinegara ini bioleh dibicarakan, maka Nasir juga berhak untuk menerima tindakan yang serupa walaupun beliau sudah meletakkan jawatan sebagai Pegawai Khas Perdana Menteri.
Ust Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat
No comments:
Post a Comment