KUALA LUMPUR, 2 Feb: Laungan reformasi kedua bergema di perkarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini apabila perbicaraan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim bermula.
Anwar yang diiringi isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah dan anak-anak tiba di perkarangan mahkamah dengan disambut ribuan orang termasuk para pemimpin PKR, PAS dan DAP.
Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat turut tiba kira-kira jam 9.15 pagi sejurus selepas Anwar masuk ke dalam mahkamah.
Sejak jam 9 pagi tadi lagi, lebih dua ribu rakyat bersama-sama pemimpin Pakatan Rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat berhimpun di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur untuk memberi sokongan moral kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mereka yang hadir kelihatan mengangkat beberapa sepanduk bertulis Perhimpunan Bantah Fitnah ke-2, Bebas Anwar dan Rakyat Bersatu Tolak Fitnah Terhadap Anwar, sambil melaungkan reformasi’ iaitu suatu slogan keramat seperti era Reformasi 1998 lalu.
Mengisi pentas bantah, Bendahari PAS Pusat, Dr. Mohd Hatta Ramli menyeru rakyat yang hadir supaya bersedia menempuhi gelombang reformasi kedua.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai mengulangi ucapan yang pernah ditegaskan oleh bekas Presiden PAS, Almarhum Datuk Fadzil Mohd Noor, "bukan kerana dia Anwar, sesiapa pun yang difitnah, Islam menyeru kita menentang kezaliman".
Sebelum itu, Ketua Strategik PKR, Tian Chua menganggap tuduhan liwat Mohd Saiful Bukhari Azlan yang dialami Anwar mengulangi drama fitnah pada tahun 1997 lalu.
"Kita harap rakyat sekali kagi akan bangkit sama seperti 'drama 1997' lalu," jelasnya
Beliau yang juga Ahli Parlimen Batu tidak menolak kemungkinan bahawa perbicaraan kes Anwar yang bermula pada hari ini akan mencetuskan kesedaran rakyat dan reformasi kali yang kedua.
"Kita telah menyaksikan suatu kes dakwaan fitnah ke atas Anwar yang sudah tentu akan membangkitkan gelombang kesedaran rakyat kedua," jelasnya di lobi mahkamah.
Sejam kemudian, kelihatan Anwar keluar dari kandang perbicaraan lalu menuju ke anjung bantahan.
"Saya masih mempertikai motif polis memanggil isteri saya untuk memberi keterangan beberapa hari lalu, sedangkan dakwaan sudah berlangsung hari ini," kata Anwar.
Anwar turut merakamkan penghargaan kepada rakyat kerana sudi menyertai 'Gelombang Reformasi ke-2' bersama-samanya, sebagaimana waktu beliau disingkirkan sebagai Timbalan Perdana Menteri atas dakwaan liwat yang berunsur fitnah.
Jelasnya lagi, perbicaraan kesnya akan bersambung pada jam 2.30 petang ini.
Mendengar gelombang 'reformasi' tali menali oleh satu kelompok kepada satu kelompok yang lain, mengingatkan Harakahdaily pada peristiwa reformasi sedekad yang lalu.
-harakahdaily
No comments:
Post a Comment