Monday, March 1, 2010

Bermula dengan Celik Mata Hati

Usaha memperbaiki diri bukan suatu suratan (destiny) tetapi suatu perjalanan (journey). Malah, tidak keterlaluan kalau dikatakan perjuangan memperbaiki diri adalah satu perjuangan nafas panjang (the long breath war). Kita akan sentiasa berubah, sama ada menjadi orang yang lebih baik atau sebaliknya. Jika tidak menaik, kita pasti sedang menurun.

Kata bijak pandai: "Orang yang berjaya ialah orang yang hari ininya lebih baik daripada semalam. Orang yang terpedaya, orang yang hari ininya sama seperti semalam. Dan orang yang celaka, ialah orang yang hari ininya lebih buruk daripada semalam."

Kita di golongan mana? Berjaya, terpedaya atau celaka? Terpulang pada kita untuk memilih.

Pintu kepada perubahan diri ialah kesedaran. Kesedaran (awareness) yang dimaksudkan ialah bila seseorang itu nampak dengan mata hati - pandangan hidup (worldview) yang sebenar. Celik mata hati inilah yang dinyatakan oleh Allah s.w.t. melalui firman-Nya:
"Sesungguhnya penglihatan (mata kasar) itu tidaklah buta, tetapi yang buta ialah hati yang ada di dalam dada (mata hati)." (Surah al-Hajj 22: 46)

Orang yang celik mata hati dapat melihat arah, tujuan, jalan, bekalan, dorongan, halangan dan akhiran hidupnya, yakni menurut pandangan Pencipta (Allah).

Seseorang yang telah sedar mempunyai satu dorongan yang menggelodak dalam fikiran, jiwa dan emosinya yang menuntut pada perubahan. Rasa menggelodak dalam jiwa itulah yang dikatakan "semangat".

Kesedaran adalah gerbang awal ke arah perubahan diri. Manusia umpama orang yang sedang tidur, tidak mungkin kita boleh terus mengajaknya bertindak tanpa mengejutnya terlebih dahulu. Kata Sayidina Ali k.w.j.: "Manusia kebanyakannya tidur, apabila mati barulah dia terjaga (sedar)."

Seseorang yang telah sedar, bermakna dia telah mendapat jawapan yang betul tentang dari mana ia datang, untuk apa dia dijadikan dan kemana dia akan pergi. Ia akan mendapat satu visi dan misi yang tepat dan jelas dalam hidupnya. Dia sedar hubungkait dan kesepaduan antara peranannya sebagai hamba dan khalifah Allah, kerohanian dan pembangunan, moral dan material, dunia dan akhirat, fardhu Ain dan fardhu kifayah, individu dan masyarakat. Pendek kata, di tahap kesedaran ini, seseorang itu sedar akan kebaikan perubahan dan betapa perlunya dia berubah!

Justeru, kita perlu kembali ke pangkal - back to basic. Bermulalah dengan diri sendiri. Mari kita selami dan kenali siapa kita yang sebenarnya? Kita hayati kata-kata hukama ini: "Untuk membaiki dunia, baiki manusianya. Dan untuk membaiki manusia, baiki hatinya."

Masalah manusia bermula dan berpunca daripada hati. Sabda Rasulullah s.a.w.: "Dalam tubuh anak Adam, ada seketul daging. Jika baik daging itu, baiklah seluruh anggota badan. Jika jahat, jahatlah seluruh anggota badan. Ketahuilah, daging itu ialah hati."

Justeru, suatu masalah yang bersifat tersirat mesti diselesaikan dengan kaedah yang bersifat tersirat juga. Jalan dan proses untuk berubah itu panjang. Walau apa pun, langkah pertamanya ialah celik mata hati!

Pahrol Mohamad Juoi
Ketua Editor
Majalah Solusi Isu #9

2 comments:

cikgu pencen said...

Orang PAS aje yang belum mau celik mata hati.

Azizul Nizam said...

Sebab orang Pas dah celik mata hatilah mereka menentang kezaliman dan menyeru kepada kebenaran.

Kalau dah sampai pencen pun masih belum celik-celik lagi, amatlah malangnya.

Followers

Video ajijoi

Loading...