Monday, April 30, 2012
Video bukti polis tidak diapa-apakan ditengah lautan peserta Bersih 3.0
Jika para peserta Himpunan Aman Bersih 3.0 yang berjumlah 300,000 orang itu sememangnya ganas, adakah anda fikir yang pihak polis serta trak mereka boleh selamat melalui jalan ditengah-tengah lautan manusia itu?
Fikir-fikirkan...
Friday, April 27, 2012
Tuesday, April 24, 2012
Gangguan dan provokasi melampau di program pelancaran Bersih 3.0 peringkat Parlimen Gopeng
Ketakutan Umno/BN semakin menjadi-jadi, walau dengan apa cara sekalipun, program-program Pakatan perlu diganggu-gugat. Namun yang pastinya, sedar atau tidak, segala gangguan tersebut kini merupakan daya penarik untuk orang ramai bertumpu dan berasak-asak ke program Pakatan.
Pada malam pelancaran Bersih 3.0 peringkat Parlimen Gopeng di Desa Pakatan, Ipoh itu, pihak yang berada di seberang jalan sahaja daripada tapak ceramah Pakatan telah mengadakan upacara tarian naga, tarian amoi dan hidangan khinzir panggang dengan bunyi muzik yang begitu kuat sekali.
| Suasana tegang tersebut dapat diatasi dan disuraikan oleh UKP dan Unit Amal |
Diharapkan semoga segala gangguan dan provokasi sebegini dapat dihentikan demi kesejahteraan dan keharmonian penduduk setempat dan juga pengunjung yang datang beramai-ramai untuk mendapatkan penjelasan dan maklumat terkini di ceramah-ceramah yang dianjurkan oleh pihak Pakatan Rakyat.
Saturday, April 21, 2012
Monday, April 16, 2012
ISA undang-undang bercanggah dengan Islam, patut di ubah - Bekas tahanan
Seorang yang tenang, berjambang lebat dan sedikit beruban dijanggutnya, bertanda hitam di dahi, mulutnya kumat-kamit membaca potongan ayat Al-Quran sebelum memulakan bicaranya. Muhammad Fisol bin Ansan, 52, kini dikenali sebagai ustaz, bukanlah sembarangan orang. Beliau pernah didera, diugut, ditawarkan wang RM50,000 supaya beliau membuat pengakuan palsu di televisyen memuji dasar-dasar kerajaan pemerintah semasa menjadi tahanan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) ketika era Dr. Mahathir suatu ketika dahulu.Beliau yang sesekali berjenaka, adalah antara ramai di kalangan ahli PAS yang ditahan dalam usaha kerajaan pemerintah mengekang gerakan pro-Islam yang dianggap oleh Mahathir sebagai ancaman yang cuba menjatuhkan kerajaan pemerintah kononnya melalui gerakan “revolusi bersenjata” pada masa itu.
Akta Keselamatan Dalam Negeri digunakan untuk menahan orang-orang yang disyaki tanpa dibicarakan dan tanpa sebarang bukti yang boleh dikaitkan dengan tuduhan yang dikenakan.
Selain itu, beliau turut didera dengan dicabut misai, merangkak di bawah meja, dikapit kuku serta berdiri sebelah kaki hingga peluh menitis dan juga dilarang mengerjakan solat. Beliau juga menerima bermacam-macam jenis ugutan seperti membuatkan isterinya meminta cerai, ditarik balik biasiswa pengajian, dibuang kerja dan juga ditahan tanpa tempoh.
Kebanyakan masanya, beliau dikenakan hukuman kediaman terhad, dengan anggota polis sentiasa membuat kawalan ketat di hadapan rumahnya 24 jam sehari, dan setiap aktivitinya dipantau oleh pihak berkuasa.
Semua jenis tawaran, deraan dan ugutan itu tidak sedikitpun melemahkan imannya untuk terus mempertahankan prinsip perjuangan yang telah sebati dalam dirinya dan sudah tertanam jauh di dalam lubuk hatinya iaitu mahu hidup dan mati bersama-sama Islam, agama Tauhid. Biar sebesar mana sekalipun jumlah wang ditawarkan, beliau bukanlah mengejar kesenangan dan kemewahan hidup di dunia sebaliknya beliau hanya mahukan keredhaan Allah semata-mata. Biar sehebat mana ugutan diterima, beliau hanya takut kepada Allah sahaja.
Penerapan dasar sekular yang semakin meluas didokongi oleh Mahathir ketika itu membuatkan PAS menentang sekeras-kerasnya ideologi terbaru ini. Dasar sekularisme meletakkan agama di suatu sudut, memisahkan perkara-perkara ibadah dan kepercayaan kepada Tuhan dari amalan-amalan kehidupan, malah Islam dibuang jauh-jauh dari nilai-nilai kehidupan. Apa yang kita lihat hari ini, sistem kehidupan kita sudahpun diterapkan dengan unsur-unsur sekularisme. Sistem pinjaman berbentuk riba yang tidak lagi boleh diamalkan oleh umat Islam kerana hukumnya tetap haram. Sistem pendidikan yang mengkesampingkan pendidikan kerohanian sebaliknya menjurus kepada kemajuan sains ciptaan dan inovasi. Sistem urusniaga yang berdasarkan spekulasi tidak lagi memandang sesuatu barangan itu berdasarkan nilainya.Ditambah pula dengan kempen propaganda melalui media cetak dan elektronik yang hanya membodek dan menjilat pemimpin pemerintah diserap ke dalam minda masyarakat, kebebasan bersuara disekat, pada masa itu teknologi internet belum ada, rakyat tidak mempunyai alternatif lain selain hanya menerima apa saja yang disogokkan di televisyen, radio dan akhbar yang dikongkong oleh kerajaan pemerintah.
Menurut Fisol yang begitu senang sekali berbicara, semua tuduhan yang dikenakan ke atas beliau adalah rekaan semata-mata dan tidak pernah dibuktikan. Malah beliau sendiri tidak pernah melihat mahupun memegang apa-apa jenis senjata yang dikatakan.
Suasana politik di negara ini tidak sama seperti apa yang sedang berlaku di Afghanistan ketika itu. Negara para pejuang Mujahid itu sedang menghadapi tentera kafir yang memiliki kelengkapan senjata moden dan terhebat mengebom kampung halaman mereka, membunuh wanita, kanak-kanak dan orang-orang tua serta sedang menghancurkan sebuah negara yang majoritinya adalah orang Islam. Mereka layak dibantu dan mereka juga amat memerlukan bantuan dari saudara seMuslim yang berada di seluruh dunia. Sedih dan kecewa melihat nyawa saudara-saudara Islam sedang melayang di Afghanistan, pemuda-pemuda bangkit untuk menentang kezaliman yang sedang dilakukan oleh orang kafir. Pemuda-pemuda PAS juga tidak terkecuali untuk turut menyertai perjuangan mempertahankan kesucian Islam maka mereka berhijrah ke negara yang sedang dihancurkan itu demi mempertahankan maruah dan kesucian Islam. Ini adalah ujian yang terhebat, berkorban jiwa demi agama adalah pengorbanan yang amat besar kerana itu Allah menjanjikan syurga kepada para syuhada.
Disebabkan itu juga, PAS dituduh sedang merancang suatu gerakan revolusi mengangkat senjata untuk menjatuhkan kerajaan pemerintah serta melancarkan operasi assasin untuk membunuh pemimpin yang mengamalkan dasar sekularisme. Operasi kerajaan pemerintah menangkap individu-individu yang disyaki untuk membendung gerakan yang kononnya membawa negara menuju ke arah revolusi ini. Oleh kerana terlalu takut dengan kemungkinan gerakan revolusi pro-Islam bertapak di negara ini, ISA digunakan dengan tidak perlu mencari bukti yang nyata untuk mendakwa orang-orang ini. Tidak cukup dengan tekanan ke atas individu yang ditahan, ahli keluarga tahanan turut menjadi mangsa disekat dari menikmati kehidupan seperti rakyat biasa, antaranya sukar mendapat pekerjaan, tidak berpeluang belajar di universiti, tidak dibenarkan lulus dalam peperiksaan dan sebagainya.
“ISA sepatutnya sudah lama dihapuskan. Ia adalah undang-undang ‘draconian’ yang menahan individu tanpa bicara. Mereka boleh menuduh sesuka-hati demi mengekang perkembangan Islam di negara ini,” menurut Fisol.
Menurutnya lagi, apa saja undang-undang yang menyekat kebebasan bersuara termasuk OSA juga patut dihapuskan. Undang-undang sebegini menafikan hak individu dalam menyuarakan pendapat.“Undang-undang yang bercanggah dengan Islam patut diubah, hanya satu saja undang-undang yang wajib kita laksanakan iaitu undang-undang Al-Quran.
“Mereka yang suka kepada maksiat, suka melakukan jenayah, rasuah, pecah amanah, salah guna kuasa, kerana itu mereka takut kepada Islam. Mereka terang-terang menolak hukum Allah. Menolak hukum Allah bererti berperang dengan Allah,” jelas Fisol lagi.
Beliau yang masih terus bersama PAS sehingga hari ini tetap yakin dengan perjuangan parti itu biarpun senario politik hari ini jauh berbeza dari dahulu di mana PAS kini sudahpun mempunyai sekutu parti politik bukan Islam iaitu DAP dan parti latar belakang berbilang kaum PKR. “Biarpun PAS kini bekerjasama dengan parti-parti lain, apa yang paling penting, PAS tidak berganjak dari dasar perjuangan yang asal iaitu meletakkan Islam sebagai teras dalam perjuangan,” ujarnya.
PAS sebagai sebuah parti politik yang memperjuangkan Islam tidak pernah menggunakan pendekatan keganasan revolusi, sebaliknya menggunakan pendekatan aman tanpa senjata, mengembangkan dakwah serta berpegang kepada prinsip demokrasi yang diamalkan di negara ini.
Walaupun dasar perjuangan menegakkan sebuah negara Islam yang mengamalkan ajaran-ajaran dari Al-Quran dan Hadis, menurut hukum-hukum yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T, perjuangan parti politik di negara ini perlu diterjemahkan melalui kertas undi. Itu yang telah diputuskan dan disepakati bersama oleh setiap anggota parti.
Ini bercanggah sekali dengan tuduhan yang dilemparkan oleh pihak pemerintah. Ketakutan Mahathir ke atas gerakan pro-Islam dengan membanteras, menangkap dan memenjarakan orang-orang yang disyaki tanpa dibenarkan membela diri tidak ubah seperti ketakutan Raja Firaun. Firaun raja zalim memerintahkan setiap bayi lelaki yang baru lahir mesti dibunuh kerana menurut kepercayaannya, akan lahir seorang lelaki dari kalangan rakyatnya yang akan menjadi orang yang menentangnya suatu hari nanti. Akhirnya Allah mengutuskan bayi lelaki yang dipelihara oleh permaisurinya yang satu-satunya tidak dibunuh oleh Firaun, bayi itulah yang membesar sehingga apabila dewasa menjadi utusanNya menyampaikan dakwah dan membawa kebenaran kepada Raja Firaun itu. Kerana keangkuhan Firaun, Allah menenggelamkannya di Laut Merah dan jasadnya sehingga hari ini menjadi tatapan dan bukti kebesaran Allah. Mungkin kerana itulah, Mahathir dahulunya digelar Mahafiraun – gabungan namanya dengan nama Firaun, kerana tindak-tanduknya serupa dengan Raja Firaun.
Bahawa sesungguhnya jalan kebenaran itu tetap berada pada tempatnya yang paling tinggi, ia tidak dapat ditandingi oleh kebathilan. Kerana itu, setiap orang Muslim berdoa di setiap rakaat dalam sembahyangnya “ihdinas siratal mustaqim” – tunjukilah aku ke jalan yang benar!
sumber: warispanglima.wordpress.com
Friday, April 13, 2012
Ceramah YB Salahuddin Ayub di Taman Song Choon
Setelah mendengar ceramah daripada YB Salahuddin Ayob yang penuh dengan informasi dan fakta, mari kita dengar sedikit sedutan daripada ceramah Hamidah Osman yang membawa tajuk 'Kesesatan Syiah' yang penuh dengan emosi dan auta, sebagai timbal akal bagi kita memilih kebenaran daripada kebatilan.
Sunday, February 12, 2012
Menjawab ceramah Hasan Ali Selasa ini?

VS

Pada 10 Februari 2012 yang lalu, Datuk Dr. Hasan Ali telahpun turun berceramah di Kampung Pengkalan Pegoh, Ipoh. Pelbagai cerita dan HAlaSAN yang dihujahkannya. Penuh gah blog Sg Rapat Online (blog pro Hamidah Osman) mempromosikan ceramah tersebut sehingga sanggup mendakwa kehadiran malam itu mencecah sehingga 15 ribu orang.
Saturday, February 11, 2012
Zambry juga pernah 'gadai akidah' - Surat Terbuka buat Mufti Perak
Rakyat Satu Malaysia ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tan Sri diatas keberanian Tan Sri memberi teguran kepada Perdana Menteri Malaysia, YAB Datuk Seri Najib Tun Abd Razak yang telah hadir dalam perayaan agama lain baru-baru ini.Syabas Tan Sri!
Tindakan berani menegur kesilapan pemimpin atau pembesar negara amat jarang berlaku kerana kebanyakan mereka yang ada disekeliling pembesar atau pemimpin kita hanyalah Tukang Ampu dan Tukang Angguk atau Pak Turut semata-mata.
Walau apa pun, bersama ini, ingin saya sertakan beberapa bukti penglibatan Menteri Besar Perak, Zambry Abdul Kadir dalam menyambut perayaan yang sama seperti laporan di sini dan juga yang ada di sini
Sukacita saya sertakan diakhir surat ini satu rakaman video clip lama menunjukan kehadiran Zambry menyambut perayaan tersebut 3 tahun yang lalu.
Dengan ini, atas kapasiti Tan Sri sebagai Mufti kerajaan negeri Perak, adalah menjadi tanggung jawab Tan Sri untuk menasihati Zambry supaya beliau selamat daripada tergelincir akidah.
Saya merayu kepada Tan Sri, agar dapat diusahakan satu kursus Pemulihan Akidah khas untuk Zambry kerana beliau kerap melakukan kerja-kerja penyelewengan akidah dimana sebelum ini Zambry pernah terlibat dalam melakukan upacara sesat ‘Ancak’.
Terima Kasih , Datuk!
Bob Lokman terbit filem pendek jawab tohmahan
| Akmal Abdullah, | 10 Feb 2012 |
IPOH, 10 Feb: Bekas pelakon, penulis lirik dan pelawak terkenal, Bob Lokman dengan kerjasama Semarak Production sekali lagi menerbitkan sebuah filem pendek kali ini bertajuk ‘Alahai Bob la Plak Menjawab’.
Filem pendek ini dihasilkan untuk menjawab satu filem pendek 'Alahai Bob' yang diterbitkan pihak tertentu bagi memburukkan imej Bob yang dimuat naik di Youtube beberapa minggu lalu.
Antara lain video itu membangkitkan isu Bob yang ditahan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ekoran mengajar agama tanpa tauliah di negeri itu.
Menurut Pengerusi Semarak, Ustaz Mohd Fakharudin Abd Aziz, filem pendek ini adalah filem yang ketiga berjaya dihasilkan selepas ‘Orang Kuat UMNO’ dan juga ‘Aduhai 1 Malaysia’.
Sambung beliau lagi, skrip filem ini adalah idea dari Bob Lokman sendiri dan ianya dijawab dan disampaikan secara santai.
“InsyaAllah filem yang keempat akan menyusul tidak lama lagi dimana filem keempat ini akan membicarakan tentang hudud pula," katanya.
Sementara itu, Ketua Penerangan Pemuda PAS Perak, Mohd Akmal Kamarudin pula menyifatkan sambutan terhadap filem pendek ini sungguh mengejutkan, ini kerana tidak sampai 24 jam dimuat naik ke Youtube filem ini sudah dikunjungi lebih 10000 orang.
“ini menunjukkan filem pendek ini adalah satu medium dakwah dan juga satu cara untuk menjawab isu-isu semasa, oleh itu kita mengharapkan agar jentera penerangan seluruh negara dapat mengoptimumkan penggunaan Youtube ini untuk menyebarluaskan dakwah dan menjawab isu-isu semasa," tegas beliau.
Monday, February 6, 2012
Saturday, February 4, 2012
Serahan Memorandum 3 NGO pada kerajaan negeri Perak
IPOH (3 Feb 2011): Lebih kurang jam 3.30 petang tadi, 3 memorandum daripada 3 wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah berjaya diserahkan kepada Menteri Besar 'mahkamah' Perak, Dato Seri Zambry Abdul Kader di Bangunan Perak Darul Ridzuan (SUK),Ipoh.
Memorandum yang sepatutnya diserah kepada MB 'mahkamah' itu, diterima oleh pembantu setiausaha yang mewakili Zambry, berikutan Zambry tidak ada di pejabat beliau pada waktu tersebut.
Antara NGO yang hadir menyertai penyerahan memorandum tersebut adalah dari Badan Bertindak Peserta Felcra Kebangsaan (BAPA), Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) dan Kebajikan Rangkaian Bekas Angkatan Tentera Malaysia Negeri Perak (KERABAT).
Memorandum tersebut disampaikan oleh Yang Dipertua Pas Lenggong, Ustaz Razman Zakaria dan Ketua Penerangan Dewan Ulamak Pas Perak,Ustaz Norazli Musa yang mewakili NGO, BAPA dan ANAK. Manakala Pertama (B) Tuan Haji Mohamad Imran Bin Haji Abd. Hamid mewakili KERABAT.
Penyerahan memorandum ini merangkumi tuntutan 3 NGO yang mahu menuntut kerajaan negeri bertindak menjaga kepentingan rakyat dan bukan hanya menabur janji-janji tetapi tidak menunaikan apa yang dijanjikan.
Tn Hj Razman Zakaria, selaku Timb. Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat, ketika dihubungi mengesahkan, penyerahan memorandum ini dimobilisasikan oleh Lajnah Tanah & Pembangunan Wilayah PAS Perak, bagi menuntut Zambry Abd Kadir, supaya tidak menyerahkan tanah-tanah Felda Plantation yang berada di negeri Perak kepada FGVB untuk disenaraikan di bursa saham.
Manakala NGO BAPA akan menuntut supaya hutang-hutang peserta yang telah tamat perjanjian, dihapuskan dan menuntut supaya tanah-tanah peserta yang di kaveat oleh Felcra dilepaskan tanpa sebarang syarat.NGO KERABAT juga akan turut bersama-sama menyerahkan memorandum bagi menuntut Kerajaan Negeri supaya menunaikan janji pemberian tanah lot tapak rumah, untuk bekas-bekas angkatan tentera seperti yang telah dijanjikan oleh DS Zambry baru-baru ini.
Sebelum memorandum itu diserah, pimpinan pakatan rakyat dan NGO sempat bersolat jumaat di Masjid Sultan Idris Shah 2 (Masjid Negeri Ipoh) sebelum berarak sejauh 1 kilometer menuju Bangunan SUK Perak.Mereka melaungkan "HIDUP HIDUP RAKYAT !!'' HANCUR HANCUR KEZALIMAN!!'sambil ketika itu anggota keselamatan polis cuba menghalang perarakan dan penyerahan memo tersebut namun ianya tidak diehdahkan pimpinan Pakatan Rakyat dan NGO serta rakyat yang dilihat terus menuju bangunan SUK Perak bagi menentang kezaliman umno dan Barisan Nasional!
Tuesday, January 31, 2012
Filem pendek terbaru dari Semarak Production, Aduhai 1Malaysia
IPOH, 31 Jan: Selepas mencapai kejayaan dalam filem pendek yang pertama Orang Kuat Umno (OKU), Semarak Production sekali lagi menerbitkan filem pendeknya yang kedua bertajuk 'Aduhai 1Malaysia'.
Filem tersebut telah dimuat naik di dalam youtube semenjak tiga hari yang lepas dan boleh ditonton melalui pautan http://www.youtube.com/watch?v=Pv5srEmNVGk.
Ianya antara lain menyentuh isu politik semasa termasuk skandal NFC yang sedang hangat diperkatakan.
Selain itu, filem ini juga menyentuh kisah 'panglima ludah' yang ada kaitan dengan isu mahasiswa yang menurunkan bendera gambar Datuk Seri Najib Razak di hadapan bangunan Umno tempoh hari.
Menurut Pengerusi Semarak, Ustaz Mohd Fakruddin Abd Aziz, filem ini adalah kesinambungan daripada filem "orang kuat umno" yang berjaya menarik seramai 100,000 pengunjung dalam masa 3 hari.
"Hasil daripada sambutan filem tersebut, kali ini kami terbitkan satu lagi filem yang dijangka akan mencapai jumlah pengunjung yang lebih tinggi," ujar beliau.
Sementara itu, pengarah filem pendek tersebut iaitu Ustaz Mohd Akmal Kamarudin pula menyifatkan filem ini adalah hasil kerjasama semua pihak yang bertungkus lumus untuk menjayakan filem ini terutamanya pihak Sekterariat Pakatan rakyat Perak dan juga pihak Lujnah Penerangan dan Dakwah Badan Perhubungan PAS Negeri Perak.
"Tanpa kerjasama dari pihak sekteriat pakatan rakyat perak dan juga lujnah penerangan dakwah ini mungkin filem ini agak sukar dihasilkan," katanya.
Dalam menerbitkan filem ini, pihak Semarak Production telah menjalinkan kerjasama dengan
beberapa selebriti terkenal antaranya bekas penulis lirik dan pelakon terkenal, Bob Lokman dan juga pelakon filem Hantu kak Limah Balik Rumah iaitu Man Kadir atau lebih dikenali sebagai Pak Jabit.