Wednesday, September 30, 2009
Siapa MB Perak yang sah akan didengar mahkamah 5 Nov depan
Kesahihan MB Perak, Mahkamah Persekutuan dengar 5 Nov
Mahkamah Persekutuan akan mendengar pada 5 November depan, kes pertikaian berhubung siapa menteri besar Perak yang sah.
Leong Cheok Keng, seorang daripada peguam Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin memberitahu Bernama, firma itu telah menerima sepucuk surat bertarikh 3 September yang difakskan dari Pendaftar Mahkamah Persekutuan di Putrajaya, memaklumkan mereka bahawa mahkamah itu telah menetapkan tarikh itu untuk mendengar rayuan Mohammad Nizar.
Mohammad Nizar membuat rayuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah.
Pada 9 Julai, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan Mohammad Nizar untuk rayuan selepas responden, Zambry melalui peguam belanya Datuk Cecil Abraham dan pencelah, kerajaan Malaysia yang diwakili oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Ghani Patail tidak membantah berhubung permohonan itu.
Pertikaian bagi jawatan Menteri Besar Perak Menteri bermula selepas tiga anggota dewan undangan negeri meninggalkan pakatan pembangkang DAP-PKR-PAS dan memberikan sokongan kepada Barisan Nasional pada Februari.
Mohammad Nizar, 52, kemudian memfailkan semakan kehakiman menuntut writ "quo warranto" dikeluarkan terhadap Zambry untuk tunjuk sebab berhubung atas asas apa atau hak beliau (Zambry) adalah Menteri Besar yang sah.
Pada 11 Mei, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkan Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah tetapi keputusan itu diubah oleh Mahkamah Rayuan pada 22 Mei.
Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Sultan Perak Sultan Azlan Shah tidak boleh memecat Mohammad Nizar atas alasan beliau tidak boleh memegang jawatan itu tanpa perkenan Sultan, dan sebaik seorang menteri besar dilantik, beliau dan Ahli Majlis Mesyuaratnya hanya bertanggungjawab kepada Dewan Undangan Negeri dan tidak kepada mana-mana pihak yang lain.
Mahkamah Rayuan pula memutuskan bahawa Sultan Azlan Shah, adalah betul dalam melantik Zambry sebagai Menteri Besar yang baru mengikut Artikel 16(2) Undang-undang Tubuh Negeri Perak, selepas berpuas hati Zambry mendapat sokongan majoriti daripada Dewan Undangan Negeri Perak.
Peguam bela Sulaiman Abdullah adalah peguam utama bagi Mohammad Nizar.
Dadah mainan terbaru pemuda Umno Terengganu
KUALA TERENGGANU – Sudah tiba masanya rakyat ngeri Terengganu khususnya dan satu Malaysia amnya menolak UMNO dan Barisan Nasional kerana kepimpinannya korup, rosak akhlak dan moral.
”Saya menerima SMS dari seorang penduduk, kemudian saya mengesahkan dengan beberapa jawatankuasa DUN Chukai,
”Memang sah, kepimpinan utama pemuda UMNO Bahagian Kemaman ditangkap kerana menagih dadah,”ujarnya.
Menurut beliau, mereka yang ditangkap adalah Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian, Ahmad Tarmizi Johar dan Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Japilus Ismail.
Katanya abang Japilus yang turut ditangkap disyakki menjadi pengedar dadah tersebut dan ketiga-tiga mereka merupakan pimpinan pelapis yang telah dididik oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said, yang juga adalah Ketua UMNO Bahagian Kemaman.
Haji Hanafiah menyifatkan Ahmad Said turut gagal melahirkan kepimpinan UMNO yang bersih kerana menurutnya Ahmad sendiri turut dikaitkan dengan masalah-masalah sosial yang berkenaan.
Oleh yang demikian, beliau menyeru semua rakyat Terengganu dan Malaysia supaya bersama-sama kepimpinan Pakatan Rakyat yang bersih dari masalah korupsi, bebas keruntuhan akhlak dan tinggi moralnya.
”Sudah masanya Terengganu dan Satu Malaysia di pimpin oleh kepimpinan yang dapat menjadi contoh dan tauladan dan melaksanakan amanah dengan penuh ikhlas,
”dan juga sudah sampai waktunya rakyat membuat perhitungan yang betul dengan menolak UMNO dan Barisan Nasional,”jelasnya.
Sehubungan itu, agensi Bernama turut melaporkan, polis telah menahan dua orang pemimpin Pemuda Umno bahagian setelah disyaki mengambil dadah dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Tengah, Kijal, Terengganu malam tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri Supt Roslan Abdul Wahid berkata, kedua-duanya yang berumur 41 tahun itu, merupakan antara 74 orang yang diberkas dalam Ops Sepadu yang dijalankan oleh jabatan berkenaan dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun dan Kemaman.
"Seorang daripada mereka ditahan di ruang tamu di rumah tersebut pada pukul 9 malam, manakala seorang lagi ditahan bersama abangnya dalam sebuah bilik di rumah yang sama.
"Kita merampas satu tiub straw yang mengandungi dadah jenis heroin daripada seorang daripada mereka," katanya.
Beliau berkata pemeriksaan air kencing yang dijalankan mendapati ketiga-tiga mereka positif dadah.
Seorang daripada mereka kemudian dilepaskan dengan jaminan polis setelah kenyataan diambil manakala seorang lagi bersama abangnya telah dibawa ke Mahkamah Majistret Kemaman sebelum dilepaskan dengan jaminan RM3,000 seorang.
Operasi itu dijalankan oleh 100 anggota dan pegawai dari cawangan narkotik di kawasan-kawasan panas di daerah Dungun dan Kemaman dalam usaha untuk membersihkan kawasan berkenaan daripada kegiatan pengedaran dan penagihan dadah.
Parti pengganti MIC ditaja BN
Menurut aktivis Gerakan Tindakan Hak Asasi Hindu atau Hindraf, M. Murugan, Makkal Sakthi dikatakan mengikat perjanjian untuk menerima lebih RM30juta daripada tabung Barisan Nasional untuk melengkapkan dirinya sebagai parti pilihan kaum India, menggantikan MIC.
Beliau mendakwa wang pendahuluan sebanyak RM8 juta telah pun diserahkan kepada salah seorang pemimpin utama Makkal Sakthi semasa pilihan raya kecil Bukit Selambau 7 April lalu.
"Saya difahamkan jumlah itu hanya sebahagian daripada RM30 juta yang dijanjikan oleh Najib kepada Makkal Sakthi untuk menarik kembali sokongan pengundi India kepada BN," Murugan memberitahu Suara Keadilan.
Beliau yang pernah ditahan polis semasa perhimpunan Hindraf di Kuala Lumpur 25 November 2007 mendakwa kemungkinan besar baki sebanyak RM22 juta akan dibayar secara tunai kepada Makkal Sakthi apabila Najib merasmikan parti itu 10 Oktober depan.
"Kita tahu latar belakang pemimpin-pemimpin Parti Makkal Sakthi Malaysia. Mereka dipecat daripada Hindraf dan sejurus dipecat terus bersengkongkol dengan pemimpin BN," kata Murugan yang mengenali rapat barisan pemimpin parti baru itu.
Pemerhati politik terkejut apabila Pendaftar Pertubuhan mengambil masa hanya dua minggu untuk meluluskan penubuhan Makkal Sakthi. Proses kelulusan untuk parti-parti lain lazimnya mengambil masa bertahun-tahun, contohnya Parti Sosialis Malaysia yang dipimpin oleh beberapa aktivis masyarakat.
Kelulusan segera yang diperolehi Makkal Sakthi adalah petanda jelas Najib mencari sekutu baru untuk meraih kembali sokongan kaum India yang berhijrah kepada Pakatan Rakyat pada pilihanraya umum tahun lalu.
Najib sudah pun mula memulau Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu pada majlis-majlis perjumpaannya dengan kaum India dan kini lebih mengaitkan dirinya kepada Makkal Sakthi.
Murugan menyifatkan parti itu sebagai "alat terbaru BN untuk mendapat sokongan kaum India."
Baca lagi disini
Perlukah dihebohkan pengharaman filem 'Bruno'?
Filem Bruno diharamkan di Malaysia
Filem Bruno, terbitan Universal Picture Production diharamkan penayangannya di Malaysia kerana ia didapati mengandungi adegan dan kata bual lucah.
Kementerian Dalam Negeri dalam kenyataan hari ini berkata hasil penelitian dan semakan Lembaga Penapis Filem (LPF) mendapati filem itu tidak melepasi etika budaya dan amalan hidup masyarakat di negara ini.
penggunaan peralatan seks.
"Filem ini juga dengan jelas telah menyentuh sensitiviti kepercayaan dengan mempersendakan agama Kristian," kata kenyataan itu.
Pengedar filem Bruno, Golden Screen Cinemas telah dimaklumkan berhubung keputusan pengharaman itu melalui sepucuk surat bertarikh 6 Ogos lepas dan pengedar juga dimaklumkan tentang asas-asas pengharaman berserta laporan penapis filem untuk filem itu.
- Bernama
Ajijoi ~ Adalah lebih baik jika diharamkan terus daripada tayangan dipawagam Malaysia tanpa perlu dihebohkan kepada awam kerana ianya hanya akan menarik minat orang awam untuk membeli dan menonton filem ini yang telah terjual secara meluas melalui dvd diserata negara.
'Bruno' mengisahkan tentang seorang model gay daripada Austria yang berpakaian dan berkelakuan lucah.
Pada 2006, pelakon yang sama telah terlibat didalam pembikinan filem 'Borat' yang mencetuskan kontroversi kerana wataknya sebagai seorang rakyat Kazakhstan yang terdedah kepada budaya di Amerika.
Saksikan sedikit sedutan daripada filem 'Bruno' di http://www.youtube.com/watch?v=BnSvUZ60nG4
Biodata calon Pas di Bagan Pinang
Biodata lengkap calon Pas ini adalah seperti berikut :
NAMA: ZULKEFLY MOHAMAD BIN OMAR
PROFESION: AHLI PERNIAGAAN
UMUR: 45 TAHUN
TARIKH LAHIR: 14/5/1964
KELULUSAN: MASTER SAINS (UPM) & IJAZAH KOMUNIKASI (UITM)
NAMA ISTERI: SAEIAH BINTI TARMIZI
ANAK: 6 ORANG
AHMAD FAKHRURAZI 20 TAHUN
FARAH WAHIDAH 18 TAHUN
MOHAMAD FADLI 14 TAHUN
MOHAMAD FADHIL 11 TAHUN
FADHLIN SAKINAH 8 TAHUN
MOHAMAD FAWWAS 4 TAHUN
JAWATAN DALAM PAS:
PESURUHJAYA PAS NEGERI SEMBILAN- 2 PENGGAL (2007 - HINGGA SEKARANG)
TIMBALAN PESURUHJAYA PAS NEGERI SEMBILAN - 1 PENGGAL - (2005 - 2007)
SETIAUSAHA BADAN PERHUBUNGAN PAS NEGERI SEMBILAN (2001-2005)
EXCO PEMUDA PAS PUSAT (2001 - 2005)
PEMANGKU KETUA PEMUDA PAS NEGERI SEMBILAN (2004 - 2005)
TIMBALAN KETUA PEMUDA PAS NEGERI SEMBILAN (2001 - 2004)
KETUA PENERANGAN PEMUDA PAS NEGERI SEMBILAN (1999 - 2001)
BENDAHARI DEWAN PEMUDA PAS SEREMBAN (1997 - 1999)
LAIN-LAIN JAWATAN:
1.PENGERUSI 'NO INCINERATOR' BROGA
2.TIMBALAN PENGERUSI TERAS KEUPAYAAN MELAYU NEGERI SEMBILAN
PENGALAMAN KERJA:
1.PENGARAH URUSAN, L & R ENTERPRISE SDN BHD.
2.PENGURUS KANAN, IS TECHNOLOGIES TELECOMMUNICATION SDN BHD.
3.PERANCANG PEMASARAN, TELEKOM MALAYSIA BERHAD.
4.EKSKUTIF PERHUBUNGAN KORPORAT, PUSAT ZAKAT SELANGOR.
5.PEGAWAI PERHUBUNGAN, KOPERASI CELCOM BERHAD.
6.PEGAWAI PERHUBUNGAN, BIRO ANGKASA.
Selain daripada itu, Zulkefly adalah seorang profesional yang mampu mengangkat umat dan bangsa.
Beliau dijangaka akan menaikkan maruah orang Melayu di kawasan Bagan Pinang.Peluang Pas cerah di Bagan Pinang
Ucapan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada Malam Pengisytiharan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkifli Mohd Omar sebagai Calon Pakatan Rakyat bagi Pilihanraya Kecil N 31 Bagan Pinang Negeri Sembilan di Batu 9, Teluk Kemang pada 29 September 2009.
Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan calon terbaik di Bagan Pinang
Pemilihan Zulkefly diumumkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di pusat penyelarasan DAP bagi pilihanraya kecil berkenaan dekat Port Dickson.
Petang tadi, Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan pemilihan bekas menteri besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad sebagai calon BN.
Dewan Harian PAS bermesyuarat petang tadi untuk memuktamad pemilihan calonnya di Bagan Pinang.
Kerusi DUN Bagan Pinang kosong ekoran kematian penyandangnya, Azman Mohamad Noor dari BN yang menang dengan majoriti 2,333 dalam pilihanraya umum Mac tahun lalu.
Azman yang juga naib ketua bahagian Teluk Kemang, menewaskan Ramli Ismail dari PAS yang mendapat 4,097 undi.
Serah pada pengundi
Sementara itu, ketika bercakap kepada pemberita, Zulkefly berkata Pakatan Rakyat (PR) akan membuat perubahan bersama dengan kehendak rakyat.
“Kita bertanding untuk membela rakyat,” katanya.
Ditanya mengenai peluangnya untuk menang, Zulkefly berkata, terpulang kepada pengundi untuk memilih wakil rakyat mereka.
Beliau yakin pengundi bijak untuk memilih wakil rakyat yang dapat berkhidmat untuk membela mereka.
Ditanya harapannya dalam piliharnaya kecil kali ini memandangkan beliau bukan anak tempatan, Zulkefly yang pernah tiga kali bertanding sebelum ini berkata:
“Saya anak watan Negeri Sembilan, cuma lain daerah sahaja. Kita boleh capai kemenangan untuk bawa perubahan kepada rakyat.”.
Ditanya mengenai calon BN - Tan Sri Isa Samad yang merupakan calon popular dan mendapat sokongan akar umbi - Zulkefly sekali lagi mengulangi bahawa terpulang kepada rakyat untuk memilih wakil rakyat mereka.
Calon terbaik
Sementara itu, Hadi pula berkata, PAS memilih Zulkefly kerana beliau merupakan calon terbaik, muda dan berpendidikan tinggi.
Kepimpinan PAS, tegasnya, sebulat suara memilih Zulkefly bertanding dalam pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang.
Ditanya mengenai isu-isu yang bakal dibangkitkan dalam kempen dalam pilihanraya kecil tersebut, Hadi berkata: “Tunggu dulu”.
Hadi juga ditanya mengenai kemungkinan masalah dalaman Pakatan Rakyat di Selangor - ekoran teguran pesuruhjaya PAS negeri itu, Datuk Dr Hasan Ali supaya Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) dirombak kerana didakwanya telah 'memalukan' pegawai kerajaan - akan dijadikan isu di Bagan Pinang.
Menjawab soalan tersebut, Hadi berkata: "Masalah dalaman yang ditimbulkan oleh media akan diselesaikan. Tidakjadi masalah."
Hadi juga ditanya mengenai peluang PAS menang dengan meletakkan pesuruhjaya negeri itu sendiri bertanding di Bagan Pinang, memandangkan dalam pilihanraya umum tahun lalu, parti itu tewas di 12 daripada 13 kerusi DUN yang ditandinginya di Negeri Sembilan.Dalam jawapannya, presiden PAS itu berkata: “Kita melihat perubahan, tujuh daripada lapan pilihanraya kecil (sejak pilihanraya umum tahun lalu) kita menang, ini satu perubahan, adanya anjakan paradigma di kalangan pengundi di Semenanjung.”
Ditanya mengenai pengundi pos yang berjumlah lebih 4,000 orang dalam pilihanraya kecil Bagan Pinang, Hadi berkata, terserah kepada pemilih yang mempunyai hak untuk mengundi.
Tuesday, September 29, 2009
Calon 'Recycle' taruhan Umno/BN di Bagan Pinang
Terang lagi nyata Umno/BN tidak mementingkan agama, bangsa dan negara apabila memilih Isa Samad sebagai calon BN bagi pilihanraya kecil Dun Bagan Pinang pada 11 Oktober ini.
Dengan pemilihan Isa Samad, Umno/BN dilihat bagaikan tidak serius dengan masalah rasuah di dalam parti itu. Seolah-olah perbuatan rasuah dibenarkan berleluasa dan penglibatan pemimpin mereka bagaikan sesuatu yang biasa.
Isa Samad yang pernah digantung keahlian Umno selama 6 tahun (kemudiannya dikurang kepada hanya 3 tahun setelah membuat rayuan) oleh Majlis Tertinggi (MT) Umno kerana didapati bersalah terlibat didalam amalan rasuah.
Pengumuman pemilihan Isa Samad dibuat oleh Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin di bilik operasi BN di Port Dickson hari ini.
Sungguhpun sebelum ini, Tun Dr Mahathir telah memberi amaran agar Umno tidak mencalonkan Isa Samad kerana ini akan memberikan gambaran bahawa Umno tidak serius dalam menangani masalah politik wang (rasuah) di dalam negara.
Mungkinkah Umno/BN terpaksa memilih Isa Samad sebagai calon walaupun sedar akan akibatnya kepada parti kerana terdapat ugutan untuk memboikot daripada penyokong kuat Isa.
Monday, September 28, 2009
Umno/BN amal demokrasi zalim - Pesuruhjaya Pas Perak
Beliau berkata demikian dalam kenyataan media terbarunya disini semalam.
"BN dan Umno sepatutnya sudah mengundurkan diri sebagai pemerintah dalam negara ini. Ini adalah kerana selagi mereka memerintah negara maka amalan demokrasi yang mereka amalkan banyak menzalimi rakyat,
"Akta seperti ISA adalah satu sistem lapuk penjajah yang masih lagi diguna pakai walaupun negara sudah mencapai kemerdekaan melebihi daripada 52 tahun," katanya.
Ujarnya, Akta tersebut katanya jelas bercanggah dengan Islam yang melarang penggunaan sistem zalim dan menganiayai rakyat seperti yang diamalkan oleh BN dan Umno ini. "Amalan memenjarakan rakyat tanpa bicara ini adalah satu sistem zalim yang menzalimi rakyat kerana tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya," kata beliau.
Lihat pula bagamana, umno/bn amat cekap dan bijak membazirkan wang rakyat. Menurut beliau rakyat masih ingat bagaimana, umno/bn juga berjaya membazirkan wang rakyat dalam isu pembinaan Zon Bebas Niaga Pelabuhun Klang (PKFZ). Projek yang diselubungi oleh pelbagai kontroversi tersebut menyaksikan pertambahan kos yang meningkat sebanyak RM3.5 billion daripada kos asal.
Tambah beliau lagi “Bukan sahaja Kerajaan gagal menyiasat kegagalan projek tersebut, ia sebaliknya bersetuju pula untuk memberikan pinjaman (soft loan) sebanyak RM4.681 billion kepada Port Klang Authority (PKA). Pesuruhjaya PAS Perak itu juga menyatakan episod ini adalah satu daripada banyak contoh daripada kerajaaan yang mendedahkan konflik kepentingan, rasuah, dan salah pengurusan yang melibatkan ahli politik, ahli perniagaan dan penjawat awam.
Jelas Ustaz Abu Bakar lagi, rakyat disarankan supaya mengundurkan BN-Umno dengan tangan mereka melalui keputusan pilihan raya yang akan datang sekiranya Umno masih tidak mahu berundur.Tambahnya, beliau yakin dengan kuasa yang ada pada rakyat, BN dan Umno dapat diundurkan dari terus memerintah negara dalam pilihan raya DUN Perak tidak lama lagi dan pilihanraya umum ke-13 yang akan datang.
"Hanya dengan mengundurkan mereka secara paksa oleh rakyat sahaja maka kestabilan politik, ekonomi dan sosial dapat dipulihkan kembali tanpa melalui proses-proses kezaliman, korupsi dan penganiayaan yang diamalkan oleh mereka," tambahnya.
Ganesan tiada hak panggil sidang dun - Pesuruhjaya Pas Perak
Beliau menegaskan bahawa “Kedudukan Ganesan hingga kini masih lagi tidak sah dan tidak jelas. Dan beliau telah melanggar Perlembagaan Negeri yang melarang seseorang memegang dua jawatan dalam satu masa. Beliau masih jadi peguam sewaktu dilantik jadi Speaker Dewan. Sebenarnya yang bermasalah adalah Ganesan bukannya Yb V.Sivakumar.”
“Kita juga sedia maklum apa yang diputuskan dalam Sidang DUN 2 september baru-baru ini adalah sah dan sama statusnya dengan sidang yang diadakan dibawah pokok kerana dihalang oleh umno/bn untuk adun-adun PR masuk bersidang secara baik di dalam dewan sebelum ini dan ianya adalah sah kerana pada satu-satu masa hanya boleh ada satu DUN sahaja. DUN di pengerusikan Ganesan tidak sah kerana kuasa mempengerusikan sidang DUN masih di bawah Yb V.Sivakumar,” katanya.
Tambah beliau lagi “ Seluruh rakyat Perak mengetahui bahawa Yb V. Sivakumar masih lagi Speaker Dewan kerana ia diangkat keluar dari Dewan secara paksa pada Mei lalu dalam cubaan rampasan kuasa Umno-BN, sememangnya insiden mengusung keluar secara paksa speaker dari dalam dewan adalah tindakan ganas umno/bn yang telah memalukan seluruh rakyat Negeri Perak”
Saturday, September 26, 2009
Amalan bercukur rambut anak
Menurut Ibn al-Qayyim, amalan ini akan meningkatkan tahap kesihatan anak tadi, membuka selaput kepala dan mempertajamkan daya penglihatan, pendengaran dan deria hidu.
Haji Daud telah mengadakan kenduri cukur rambut cucu lelakinya sesuai dengan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan selainnya daripada Samrah r.a. katanya: Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: "Bayi itu tergadai (tergantung) oleh akikahnya, disembelihkan ia pada hari ketujuh, hari itu diberikan nama dan dicukur kepalanya."
Ustaz Abu Bakar Hussain yang diberikan penghormatan untuk menyempurnakan majlis bercukur cucu Haji Daud ini.
Ayah kepada bayi lelaki ini iaitu menantu kepada Haji Daud (kopiah putih berkaca mata di sebelah kiri)
Sdr Wafa juga tidak ketinggalan mengambil kesempatan untuk menggunting rambut bayi itu
Cucu Haji Daud telah ditahnik oleh Tuan Guru Haji Hadi Awang semasa lawatan beliau ke Ipoh awal bulan lalu.
Friday, September 25, 2009
Nik Abduh memisahkan diri dari Tok Guru?
Assalamu ‘alaikum wa rahmatullah,
Adalah saya dengan ini memaklumkan bahawa mulai Ogos 2009, saya dan Maahad Tahfiz NikmatiLlah, Pulau Melaka, Kota Bharu, telah KELUAR daripada syarikat Saffron Integrated Marketing, sebuah entiti perniagaan yang mengeluarkan dan memasarkan produk atas jenama ‘TOK GURU’ sebagai penasihat dan penaung kepada projek sumbangan dana kepada Maahad dan beberapa sekolah ugama yang lain di seluruh negara.
Dengan ini, saya dan Maahad Tahfiz NikmatiLlah tidak boleh lagi dikaitkan dengan perniagaan dan jenama tersebut.
Demi meneruskan kelangsungan usaha murni ini yang telah mendapat sokongan penuh kedua – dua tuan guru ( TGNA dan TGHH ) melalui kesudian melancarkan produk syarikat di Pulau Melaka dan Rusila suatu ketika dulu, serta sokongan padu segenap lapisan masyarakat, di samping kejayaan membantu sekolah – sekolah ugama berkaitan, saya dan rakan – rakan yang prihatin akan memulakan pemasaran produk di atas nama syarikat dan jenama yang baru dalam masa terdekat, insya Allah.
Semoga diberkati Allah. Semoga diperkenan khalayak.
Adalah saya dengan ini memaklumkan.
( nik mohamad abduh bin nik abdul aziz )
Ajijoi ~ Nama produk tok guru kini begitu menjulang tinggi semenjak duta produk, Ustaz Fauzi giat mempromosikan produk tersebut melalui iklan di tv dan juga jualan bergerak bersama SureHeboh dan juga SuaRasa anjuran TV3 dan TV9.
Saya juga sebagai pengguna produk tok guru sekian lama kerana niat bersedekah untuk madrasah-madrasah di Pulau Melaka, Kelantan merasa bangga dengan pencapaian yang diraih oleh produk tok guru ini.
Tetapi, mengapa tiba-tiba sahaja Ust Nik Abduh dan juga rakan-rakan yang lain keluar daripada bersama-sama dengan Saffron Integrated Marketing dalam membangunkan produk tok guru?
Tentu ada sesuatu yang tidak kena tetapi tidak dijelaskan oleh Ustaz Nik Abduh. Menjaga aib orang lain, agaknya.
Jika kisah di bawah ini benar, mungkin persoalan tersebut terjawab dengan sendirinya.
DI PETIK DARI DETIK DAILY- Di post kan oleh – kabinetdabpurNajib Detikdaily.Net Forum Index-BOIKOT produk Tok Guru !!!
syarikat saffron intergrated marketing (SIM) ni dulu sebelum tertubuhnya dia mintak kebenaran ustaz nik abduh utk guna nama TOK GURU’ dan nak salurkan dana sebagai perjanjian dgn madrasah pulau melaka dan madrasah2 yg lain, sekarang syarikat tu dok buat untung gila2…dah lebih RM500,000.00 royalty, dia enggan bayar kepada sekolah2 agama tu..tu yg ramai org marah.syarikat penipu!!!tu pasal ustaz nik abduh keluar dari syarikat tu. semua ahli pengarah jemaah produk tok guru pun turut keluar termasuk 3 lagi sahabat mereka. kita tunggu lah ustaz nik abduh akan keluar produk nya sendiri.Perlukah kita turut memboikot produk tok guru tersebut dan beralih kepada produk yang lain? Terpulanglah kepada budi bicara anda semua.
Serban idaman
Salah seorang anggota Unit Amal Perak yang lebih dikenali dengan gelaran BOB telah dihadiahkan oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sehelai kain serban yang dipakai oleh Tuan Guru sendiri semasa menghadiri Program Badar Al-Qubra di Kampong Manjoi, Perak pada 5 September 2009 lalu.
Bob yang telah bertugas sebagai Pengawal Peribadi semasa program tersebut diadakan telah menjaga keselamatan Tok Guru dari tengahari sehinggalah ke malam hari tersebut.
Bob sememangnya telah menanam azam untuk meminta kain serban yang dipakai oleh Tok Guru sejak dahulu lagi namun tak berkesempatan dan tak tergamak nak memintanya. Hajat tersebut telah terkeluar apabila Bob berbual dengan Ustaz Akmal..Tak disangka-sangka hajat Bob itu disampaikan kepada Tok Guru.. Akhirnya Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah membuka serbannya dan menghadiahkan kepada Bob.
Alangkah gembiranya Bob sampai tak terkata sehingga hari ini kain serban tersebut tak pernah lekang dari kepalanya..
Syabas dan Tahniah Bob.. Semoga Allah akan membalas segala pengorbanan kita semua dengan kemuliaan di dunia dan akhirat.. Bagi kami di Jabatan Amal Perak sememangnya hadiah yang paling berharga adalah hadiah yang dihadiahkan oleh pimpinan kami..walaupun sehelai sapu tangan sekalipun..
sumber: http://jabatanamalperak2009.blogspot.com
Thursday, September 24, 2009
Pulut periuk kera
Berlainan pula dengan hidangan gambar di atas. Pulut di isikan di dalam bunga periuk kera lalu direbus.
Rasanya lebih kurang sama dengan ketupat dan sungguh enak bila dimakan bersama-sama dengan rendang daging.
Jarang kedapatan sajian sebegini. Mungkin kerana susah untuk mendapatkan periuk kera agaknya.
Bertunang di hari raya kedua
Semoga berbahagia menantikan saat untuk menjadi raja sehari.
Amalan ziarah masih diteruskan
Begitulah juga dengan kebiasaan sambutan raya penduduk Kampung Meranti Lapan, Lahat yang kebanyakannya bersaudara.
Selesai solat sunat Aidilfitri, kesemua jemaah di Surau Al-Ehsaniah akan dijemput berziarah kerumah disekitar kampung. Giliran rumah untuk diziarah terlebih dahulu akan diatur dan kesemuanya akan bersama-sama mengunjungi bagi mengeratkan lagi silaturrahim sekaligus menjimatkan masa untuk berziarah secara individu.
Pelbagai juadah masakan dan juga kuih akan disediakan tuan rumah. Selain merasai makanan yang dijamu, takbir raya serta doa akan dihadiahkan para jemaah kepada tuan rumah.
Rumah mertua saya juga tidak ketinggalan diziarah walaupun kami sekeluarga masih di dalam suasana kesedihan akibat musibah yang menimpa kakak ipar saya 5 hari sebelum raya.
Semoga amalan yang baik ini akan diteruskan terutamanya kepada generasi baru agar tali persaudaraan dan kenal mengenal sesama penduduk kampung dapat di eratkan lagi.
Ucapan Indah di hari lebaran
Setiap kali tiba hari raya, pasti ada kiriman berupa ucapan selamat hari raya sampai kepada kita. Jika dahulunya, kad ucapan raya memainkan peranan yang cukup penting dalam mengeratkan silaturrahim sesama kita. Semenjak penggunaan telefon bimbit begitu meluas, sms telah mengambil peranan kad ucapan dengan capaian kepada sasaran cuma mengambil masa beberapa saat sahaja.
Hari ini, ucapan raya melalui sms berlegar diantara pengguna telefon bimbit sehingga membolehkan ucapan tersebut dihantar kepada ratusan penerima dengan sekali hantar sahaja.
Berikut saya senaraikan ucapan-ucapan indah sambutan lebaran tahun ini yang dikirimkan melalui sms kepada saya. Terima kasih kepada semua di atas ucapan indah tersebut.
Bulan Ramadhan pahala dihimpun, Aidil Fitri menjelang tiba, Jari disusun memohon ampun, Salah dan silap maaf dipinta.
Bulan Ramadhan berlalu pergi, bulan Syawal kini kembali, rasa sayu sudah pasti, namun bulan purnama tetap dihati.
Kata Imam Ghazali:- Yang jauh itu WAKTU, yang dekat itu MATI, yang besar itu NAFSU, yang berat itu AMANAH, yang mudah itu BERBUAT DOSA, yang panjang itu AMAL & SOLEH, yang indah itu SALING MEMAAFKAN.
Tangan dihulur tak kesampaian, senyum terukir tak kelihatan, sms di kirim tanda ingatan, di Aidilfitri kita bermaafan.
Sebening air wuduk, sesuci Al-Quran, semerdu alunan zikir, seindah solat 5 waktu, setenang hati yang tiada rasa benci dan dendam, andai hati pernah terguris, tutur yang terlanjur, laku yang melampau, janji tak tertunai, jika tangan tak berjabat, jika muka tak sempat bertatap, bukakanlah pintu maaf buat kami.
Keindahan Ramadhan disulami tarawih dan sedekah, keheningan Syawal disirami kemaafan. Semoga lebaran ini menyinarkan nur iman dan limpahan rezeki yang berterusan. Salam kemaafan dan Selamat Hari Raya Aidilfitri.
Jika ada langkah yang mengguris hati, ada tingkah membekas luka, ada kata yang tak terjaga, ada janji yang tak tertunai, ada hati yang berperasangka serta ucapan berbunga dusta, mohon dibuka pintu kemaafan hendaknya.
Biar renggang difana dunia, biar hina dimata manusia, biar semangat semakin tua, biar harta semakin tiada, biar akal semakin berusia, biar jauh kedudukan kita, biar jurang pangkat kita, jangan tergadai silaturrahim sesama kita.
Berlalu Ramadhan membawa keinsafan, hadirnya syawal mengukuhkan ukhuwwah, terima kasih atas ingatan, moga mendapat keredhaan Allah.
Saturday, September 19, 2009
Selamat Hari Raya Idul Fitri, Maaf Zahir Batin
Saya, Azizul Nizam Bin Zulkifli, pengendali blog ajijoi.blogspot.com serta keluarga ingin mengucapkan SELAMAT HARI RAYA IDUL FITRI kepada semua pengunjung blog saya tidak kira walau dimana anda berada.
MAAF ZAHIR BATIN juga saya hulurkan dengan menyusun sepuluh jari seandainya ada salah dan silap yang saya lakukan samada saya sengaja ataupun tidak, saya sedari mahupun tidak selama saya menulis di dalam blog ini.
Semoga anda semua bergembira dihari yang mulia ini bersama keluarga. Berhati-hatilah dijalanraya semasa menziarahi sanak saudara serta handai taulan.
Terima kasih yang tidak terhingga juga saya ucapkan kepada sokongan dan dorongan daripada rakan-rakan serta pengunjung-pengunjung setia blog saya ini. Semoga blog ini dapat menjadi wadah dalam MEMBONGKAR KEMUNGKARAN, MENYINAR KEBENARAN didalam menegakkan daulah Islamiyah dibumi tercinta ini.
Sekali lagi saya sekeluarga ingin mengucapkan SELAMAT HARI RAYA IDUL FITRI kepada semua pengunjung-pengunjung blog saya.
Jangan cemari Idul Fitri dengan maksiat
Hari Raya adalah hari kebesaran Islam untuk kita bergembira dalam suasana ibadat. Bagaimanapun, jangan kita jadikan Hari Raya sebagai tiket menghalalkan apa sahaja. Kita kena jaga batasan yang ditetapkan oleh Islam.
Kita perlu menjaga adab bertamu ke rumah orang, masuk dengan ucapan salam dan menundukkan pandangan. Jangan terlampau ghairah melihat ke sana-sini.
Batas pergaulan dan aurat wajib dijaga. Jika yang datang itu lelaki bukan mahram, maka jangan pula si gadis bersalam dengannya atau pun membuka aurat.
Memadai hanya mengucap tahniah dan bermaaf-maafan tanpa bersalam. Rasulullah pun tidak pernah bersalam dengan wanita yang bukan mahram semasa baiah (membuat perjanjian).
Jangan pula timbul rasa bangga diri atau sombong kerana kita mempunyai kereta baru atau perabot yang baru.
Paling utama, hendaklah kita menjaga had atau batas dalam menikmati juadah hari raya. Jangan makan terlalu banyak. Ingatlah firman Allah, …makan dan minumlah dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan. (al-A’raf: 31)
Seperkara lagi, jangan pula kita dilalaikan dengan menyambut tetamu sehingga tidak menunaikan solat. Kalau kita beraya dan meninggalkan solat fardu maka kita melakukan maksiat dan ia tidak lagi menjadi ibadat.
Dalam Islam, Hari Raya Aidilfitri adalah sehari. Jadi amat rugi jika kita menghabiskannya dengan hanya menonton tv. Rancangan tv itu hari lain pun boleh kita tengok.
Lagipun bukan semua program tv pada hari raya sesuai ditonton pada hari yang mulai ini. Ini bukan pula bermakna kita tidak boleh berhibur pada hari raya.
Islam benarkan kita berhibur tetapi jangan sampai ia melalaikan. Umat Islam perlu memilih rancangan hiburan yang sesuai contohnya yang menyiarkan lagu-lagu raya tetapi filem atau rancangan yang lari daripada konsep hari raya tidak perlu ditonton.
Sepatutnya kita mengambil peluang hari raya untuk berziarah dan bermaaf-maafan. Bukan pula maknanya, hari raya sahaja masa untuk memohon maaf.
Cuma apabila pada hari lebaran ini kita dapat berkumpul beramai-ramai dengan sanak saudara maka ia seolah-olah menjadi masa paling sesuai bermaafan.
Bermaafan ini adalah sifat orang yang bertakwa. Malah Rasulullah juga adalah sangat pemaaf walaupun kepada kaum kafir Quraisy yang sentiasa menyakiti baginda.
Adab-adab dan hukum-hakam berhari raya
Bertakbir pada pagi hari raya ketika keluar dari rumah menuju ke tempat mendirikan solat dan sehingga keluarnya Imam adalah suatu perkara yang benar-benar masyhur di sisi generasi Salaf, sekumpulan ulama yang menulis seperti Ibn Abi Syaibah, ‘Abdul Razak dan al-Firyabi dalam kitabnya Ahkam al-‘Iedain menukilkan perkara ini dari generasi Salaf, kerana itu Nafi’ bin Jubair sentiasa akan bertakbir (pada pagi hari raya) dan beliau menganggap pelik orang-orang yang tidak bertakbir (pada pagi hari raya) sambil berkata : “Apakah kamu semua tidak bertakbir?”
Adab-Adab dan Hukum-Hakam Berhari Raya
Oleh : Mohamad Abdul Kadir Sahak
1. Mandi sebelum keluar menunaikan solat Hari Raya.
Imam Malik r.h. meriwayatkan sebuah hadith di dalam al-Muwatto’ (الموطأ)
أَنَّ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عُمَرَ كَانَ يَغْتَسِلُ يَوْمَ الْفِطْرِ قَبْلَ أَنْ يَغْدُوَ إِلَى الْمُصَلَّى
Maksudnya : “Bawasanya ‘Abdullah bin ‘Umar seringkali akan mandi pada hari Raya al-Fitri sebelum beliau keluar ke tempat solat Hari Raya di pagi hari raya.”
Al-Imam al-Nawawi menyebut para ulama telah bersepakat atas sunatnya mandi untuk solat hari raya.
2. Makan sebelum keluar untuk menunaikan solat hari raya ‘Aid al-Fitri dan sebaliknya untuk ‘Aid al-Adha
Termasuk di dalam adab berhari raya al-Fitri ialah makan dahulu sebelum keluar untuk menunaikan solat hari raya. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari daripada Anas bin Malik katanya :
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لا يَغْدُو يَوْمَ الْفِطْرِ حَتَّى يَأْكُلَ تَمَرَاتٍ .. وَيَأْكُلُهُنَّ وِتْرًا
Maksudnya : “Adalah Rasulullah saw tidak keluar pada pagi hari Raya al-Fitri, sehinggalah baginda makan terlebih dahulu beberapa biji Tamar… dan baginda memakannya dalam jumlah yang ganjil.” (al-Bukhari : 953)
Al-Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani mengomentari hadith ini dengan berkata : “Demikian itu kerana untuk mengelakkan (anggapan) adanya tambahan dalam berpuasa, padanya juga (petunjuk) bersegera mentaati arahan Allah swt (untuk tidak berpuasa pada hari tersebut).” (Fath al-Bari : 2/446)
3. Bertakbir pada hari Raya
Takbir hari raya adalah termasuk sunnah yang agung berdasarkan firman Allah swt :
وَلِتُكْمِلُوا العِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللهَ عَلى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُوْن
Maksudnya : “Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengangungkan Allah atas petunjuknya yang diberikan kepada kamu, supaya kamu bersyukur.” (al-Baqarah : 185)
Daripada al-Walid bin Muslim katanya : “Aku bertanya kepada al-Auza’ie dan Malik bin Anas tentang menzahirkan takbir pada dua hari raya. Kata mereka berdua : “Ya, adalah ‘Abdullah bin ‘Umar menzahirkan takbir pada hari raya al-Fitri sehinggalah Imam keluar (untuk menunaikan solat raya).”
Sahih juga daripada ‘Abdul Rahman al-Salamiy katanya : “Adalah mereka (sahabat Nabi saw) pada hari Raya al-Fitri lebih bersungguh berbanding hari Raya al-Adha, Waki’ berkata : “Yakni (mereka lebih bersungguh) dalam bertakbir.” (Lihat Irwa’ al-Ghalil : 3/122)
Al-Daraqutni dan selainnya pula meriwayatkan bahawa Ibn ‘Umar apabila keluar pada pagi hari Raya al-Fitri dan hari Raya al-Adha, beliau bersungguh-sungguh bertakbir sehinggalah sampai ke tempat solat, kemudian dia bertakbir lagi sehinggalah Imam keluar (untuk mendirikan solat).”
Ibn Abi Syaibah pula meriwayatkan dengan sanad yang sahih daripada al-Zuhriy katanya : “Adalah manusia bertakbir pada hari raya ketika mereka keluar daripada rumah-rumah mereka sehinggalah mereka sampai ke tempat menunaikan solat dan sehingga Imam keluar, apabila imam keluar (untuk menunaikan solat), mereka semua senyap, Apabila Imam bertakbir, mereka juga bertakbir.” (Lihat Irwa’ al-Ghalil : 2/121)
Bertakbir pada pagi hari raya ketika keluar dari rumah menuju ke tempat mendirikan solat dan sehingga keluarnya Imam adalah suatu perkara yang benar-benar masyhur di sisi generasi Salaf, sekumpulan ulama yang menulis seperti Ibn Abi Syaibah, ‘Abdul Razak dan al-Firyabi dalam kitabnya Ahkam al-‘Iedain menukilkan perkara ini dari generasi Salaf, kerana itu Nafi’ bin Jubair sentiasa akan bertakbir (pada pagi hari raya) dan beliau menganggap pelik orang-orang yang tidak bertakbir (pada pagi hari raya) sambil berkata : “Apakah kamu semua tidak bertakbir?”
Waktu bertakbir bagi Hari Raya al-Fitri ialah bermula pada malam raya iaitu setelah tenggelamnya matahari pada hari akhir Ramadhan sehingga masuknya imam ke tempat solat untuk solat hari raya.
4. Lafaz Takbir Hari Raya
Di dalam Musannaf Ibn Abi Syaibah dengan sanad yang sahih daripada Ibn Mas’ud r.a. yang bertakbir pada hari Tasyrik dengan lafaz :
اللهُ أكْبَرُ اللهُ أكْبَرُ لَا إلهَ إلاَّ اللهُ وَاللهُ أكْبَرُ اللهُ أكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْد
Maksudnya : Allah maha besar, Allah maha besar, tidak ada ilah melainkan Allah dan Allah yang maha besar, Allah yang masa besar dan bagi Allah segala puji-pujian.”
Ibn Abi Syaibah juga meriwayatkan di kesempatan yang lain dengan sanadnya sendiri, dimana takbir itu diucapkan sebanyak 3 kali.
Al-Mahaamiliy (المحاملي) meriwayatkan dengan sanad yang sahih juga tentang lafaz takbir raya daripada Ibn Mas’ud :
اللهُ أكْبَرُ كَبِيْراً اللهُ أكْبَرُ كَبِيْراً اللهُ أكْبَرُ وَأجَلّ ، اللهُ أكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْد
Maksudnya : Allah yang maha besar sebesar-besarnya, Allah yang maha besar sebesar-besarnya, Allah yang maha besar dan yang maha agung, Allah yang maha besar dan bagi Allah segala pujian.” (Irwa’ al-Ghalil : 3/126)
Diangkat suara dalam melafazkan takbir bagi lelaki dan tidak bagi perempuan. Ia dilakukan di merata tempat di masjid, di rumah dan di pasa-pasar.Baca seterusnya disini
Friday, September 18, 2009
Juadah berbuka diagihkan Pas Perak di Stesen Bas Medan Gopeng
Pas kawasan Gopeng yang diketuai oleh YDP Pas Gopeng, Tuan Haji Abd Rahim Md Ariff bersama Timbalannya, Ust Radzi Zainon telah mengambil tanggungjawab untuk menyerahkan sumbangan tersebut di Hentian Bas Ekspress Medan Gopeng, Ipoh.
Program petang ini telah diserikan lagi dengan penyertaan Pesuruhjaya Pas Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain yang turut turun padang bertemu sendiri dengan penumpang-penumpang yang sedang menunggu ketibaan waktu berlepas dengan bas-bas ekspress untuk pulang beraya.
مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ غَيْرَ أَنَّهُ لاَ يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ الصَّائِمِ شَيْئًا . رواه الترمذي وابن ماجة وابن خزيمة وصححه الألباني
"Barang siapa yang memberi makanan untuk berbuka orang yang berpuasa, maka ia akan mendapatkan pahala seperti pahala orang tersebut tanpa mengurangi sedikitpun dari pahala orang yang berpuasa itu." (Riwayat At Tirmizy, Ibnu Majah, Ibnu Khuzaimah dan dinyatakan sebagai hadits shahih oleh Al Albani)
Hadis Nabi ini diaplikasikan dengan penganjuran program sumbangan juadah berbuka puasa yang dilaksanakan setiap tahun dengan membekalkan makanan kepada penumpang bas berbuka puasa semasa di dalam perjalanan ke destinasi mereka.
Ustaz Abu Bakar sedang mengagihkan juadah berbuka puasa kepada penumpang-penumpang.
Haji Abd Rahim sedang memberikan juadah kepada keluarga India yang juga sedang menunggu bas.
Sesuai dengan logo Pas iaitu Pas untuk semua, yang bukan beragama Islam juga diberikan juadah berbuka puasa agar mereka dapat merasai suasana berbuka bersama-sama dengan masyarakat Islam yang lain.
Ustaz Radzi Zainon sedang menyantuni segelap lapisan masyarakat dengan memberikan juadah berbuka puasa kepada mereka
Sungguhpun remaja lelaki ini beragama Kristian (berdasarkan subang lambang salib yang dipakainya), tetap gembira menerima sumbangan dan tanya khabar daripada Ustaz Abu Bakar.
Ustaz Radzi menyampaikan juadah kepada mereka-mereka yang telah bersedia menunggu waktu berlepas di dalam bas.
Lambang Pas yang memuatkan juadah berbuka puasa kelihatan dimana-mana di Stesen Bas Medan Gopeng, Ipoh. Ternyata jelas kegembiraan penumpang-penumpang bas yang menerima sumbangan juadah berbuka puasa daripada Pas Negeri Perak, yang menyediakan juadah nasi bukhari dan air mineral untuk keselesaan mereka berbuka puasa di dalam bas nanti.
Sebahagian petugas-petugas yang menyedia dan mengagihkan sumbangan juadah berbuka puasa bergambar bersama Ustaz Abu Bakar, Haji Abd Rahim dan Ustaz Radzi Zainon di Stesen Bas Medan Gopeng, Ipoh.