Monday, September 14, 2009

Pilihanraya Bagan Pinang hari Ahad 11 Oktober

Suruhanjaya Pilihan Raya hari ini menetapkan 11 Oktober depan sebagai tarikh pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang, Negeri Sembilan.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata tarikh penamaan calon pula ditetapkan 3 Oktober manakala tarikh keluar writ dan notis masing-masing pada hari ini dan esok.

Katanya, pilihan raya kecil tersebut akan menggunakan Daftar Pemilih Induk 2008 yang digabungkan dengan daftar pemilih tambahan suku tahun pertama 2009 dan daftar pemilih tambahan suku tahun kedua 2009 yang telah dikemas kini sehingga 4 September lalu.

"Daftar pemilih ini mengandungi 13,664 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 9,060 pemilih biasa dan 4,604 pemilih pos," katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat SPR di Putrajaya hari ini.

DUN Bagan Pinang mengalami kekosongan selepas penyandangnya Azman Mohammad Noor yang mewakili BN meninggal dunia pada 4 September lalu.

Menurut Abdul Aziz, daftar pemilih tersebut akan mula dijual pada 18 Sept.

"Para pengundi juga boleh membuat semakan menerusi laman web SPR iaitu www.spr.gov.my atau menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip SPR SEMAK NO KAD PENGENALAN ke 15888 pada tarikh yang sama," katanya.

Beliau berkata, 8,577 atau 62.77 peratus pengundi terdiri daripada kaum Melayu, 2,834 atau 20.74 peratus pengundi India, 1,498 atau 10.96 peratus pengundi Cina dan 755 atau 5.54 peratus terdiri daripada lain-lain bangsa (lihat carta).

"Daripada pecahan itu, 7,912 pengundi terdiri daripada golongan lelaki manakala bakinya, 5,752 pengundi ialah pengundi wanita," katanya.

Menurut Abdul Aziz, dewan Majlis Perbandaran Port Dickson akan digunakan sebagai pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi manakala proses pengeluaran dan pengiraan undi pos akan dibuat di bilik mesyuarat Pejabat Daerah Port Dickson.

"Untuk pilihan raya kecil ini, SPR akan membuka lapan buah pusat mengundi yang melibatkan lapan buah sekolah dan 18 tempat saluran mengundi," katanya.


No comments:

Followers