Saturday, September 19, 2009

Jangan cemari Idul Fitri dengan maksiat

Daripada Anas r.a berkata: Selepas Nabi s.a.w tiba di Madinah, baginda mendapati bahawa penduduk Madinah mempunyai dua hari yang mereka raikannya pada zaman jahiliah. Lalu baginda bersabda, “Aku sampai kepada kamu semua dan aku dapati ada dua hari yang kamu semua raikannya pada zaman jahiliah, dan sesungguhnya Allah telah menggantikannya bagi kamu dengan dua hari yang lebih baik daripadanya: hari raya korban dan eidul fitri”. (Hadis sahih, riwayat Ahmad, Abu Daud dan al-Nasa’ie) Hari Raya adalah ibadat. Bagaimanapun dalam keseronokan meraikannya ramai yang terlupa batasan yang ditetapkan oleh syarak.

Hari Raya adalah hari kebesaran Islam untuk kita bergembira dalam suasana ibadat. Bagaimanapun, jangan kita jadikan Hari Raya sebagai tiket menghalalkan apa sahaja. Kita kena jaga batasan yang ditetapkan oleh Islam.

Kita perlu menjaga adab bertamu ke rumah orang, masuk dengan ucapan salam dan menundukkan pandangan. Jangan terlampau ghairah melihat ke sana-sini.

Batas pergaulan dan aurat wajib dijaga. Jika yang datang itu lelaki bukan mahram, maka jangan pula si gadis bersalam dengannya atau pun membuka aurat.

Memadai hanya mengucap tahniah dan bermaaf-maafan tanpa bersalam. Rasulullah pun tidak pernah bersalam dengan wanita yang bukan mahram semasa baiah (membuat perjanjian).

Jangan pula timbul rasa bangga diri atau sombong kerana kita mempunyai kereta baru atau perabot yang baru.

Paling utama, hendaklah kita menjaga had atau batas dalam menikmati juadah hari raya. Jangan makan terlalu banyak. Ingatlah firman Allah, …makan dan minumlah dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan. (al-A’raf: 31)

Seperkara lagi, jangan pula kita dilalaikan dengan menyambut tetamu sehingga tidak menunaikan solat. Kalau kita beraya dan meninggalkan solat fardu maka kita melakukan maksiat dan ia tidak lagi menjadi ibadat.

Dalam Islam, Hari Raya Aidilfitri adalah sehari. Jadi amat rugi jika kita menghabiskannya dengan hanya menonton tv. Rancangan tv itu hari lain pun boleh kita tengok.

Lagipun bukan semua program tv pada hari raya sesuai ditonton pada hari yang mulai ini. Ini bukan pula bermakna kita tidak boleh berhibur pada hari raya.

Islam benarkan kita berhibur tetapi jangan sampai ia melalaikan. Umat Islam perlu memilih rancangan hiburan yang sesuai contohnya yang menyiarkan lagu-lagu raya tetapi filem atau rancangan yang lari daripada konsep hari raya tidak perlu ditonton.

Sepatutnya kita mengambil peluang hari raya untuk berziarah dan bermaaf-maafan. Bukan pula maknanya, hari raya sahaja masa untuk memohon maaf.

Cuma apabila pada hari lebaran ini kita dapat berkumpul beramai-ramai dengan sanak saudara maka ia seolah-olah menjadi masa paling sesuai bermaafan.

Bermaafan ini adalah sifat orang yang bertakwa. Malah Rasulullah juga adalah sangat pemaaf walaupun kepada kaum kafir Quraisy yang sentiasa menyakiti baginda.

No comments:

Followers