Showing posts with label pendapat. Show all posts
Showing posts with label pendapat. Show all posts

Saturday, October 16, 2010

Bajet untuk Rosmah daripada wang rakyat

Intipati Bajet 2011
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak telah membentangkan Bajet 2011 di Dewan Rakyat.

Bajet 2011 bertema "Transformasi Ke Arah Negara Maju Berpendapatan Tinggi" dengan empat strategi utama.

Jumlah bajet - RM212 bilion, 2.8 preratus lebih tinggi daripada Bajet 2010

Perbelanjaan kos operasi - RM162.8 bilion

Perbelanjaan kos pembangunan
- RM49.2 bilion

Berikut petikan penting ucapannya:

  • Rizab negara RM310.8b = 8.5 bulan import tertangguh
  • Negara telah pulih dari kemelesetan ekonomi dunia dgn pertumbuhan KDNK 9.5% separuh pertama 2010
  • Defisit dijangka rendah pada 5.4 peratus pada 2011
  • Jumlah dagangan Malaysia dijangka meningkat 18.7 peratus kepada RM1.173 trilion tahun ini berbanding RM988.2 bilion tahun lalu
  • Jumlah dagangan Malaysia dijangka meningkat 18.7 peratus kepada RM1.173 trilion tahun ini berbanding RM988.2 bilion tahun lalu
  • Sektor perkhidmatan diunjur berkembang 5.3 peratus tahun hadapan dengan pelaksanaan program dan inisiatif di bawah tujuh Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) berkaitan perkhidmatan.
azlanWarisan Merdeka - Permodalan Nasional Bhd akan membangunkan projek bersepadu berharga RM5 bilion, yang membabitkan menara 100 tingkat, yang dijadual siap pada 2020.
  • Satu lagi pembaziran. Apa perlunya dibazirkan RM5 bilion hanya semata untuk bangunan pencakar awan yang hanya bisa dipandang oleh rakyat bawahan tanpa apa-apa faedah kepada mereka?

  • Pembinaan projek pembangunan bercampur termasuk kediaman mampu milik bernilai RM10 bilion di Sungai Buloh.
  • Pembangunan Zon Akuakultur Bersepadu di Pitas, Sungai Telaga dan Sungai Padas di Sabah serta di Batang Ai dan Tanjung Manis di Sarawak dengan peruntukan RM252 juta.
  • Peruntukan RM135 juta bagi persediaan prasarana asas menggalakkan petani menceburi bidang bernilai tinggi seperti industri sarang burung walit.
  • Melanjutkan galakan potongan cukai pendapatan bagi pelabur dan pengecualian cukai pendapatan bagi syarikat dalam aktiviti pengeluaran bahan makanan sehingga 2015.
  • Syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kini boleh melabur sehingga 20 peratus daripada jumlah aset yang diurus berbanding tujuh peratus sebelum ini.
Perlukah pelaburan yang sebegitu banyak dengan mempertaruhkan wang pencarum. Adakah pelaburan yang sedia ada sekarang mendatangkan keuntungan yang banyak kepada pencarum?
  • Suruhanjaya sekuriti (SC) akan menawarkan tiga lesen broker saham baharu kepada syarikat tempatan, asing dan usaha sama yang layak untuk meningkatkan penyertaan pasaran runcit.
  • Duti import kira-kira 300 barangan kegemaran pelancong dan rakyat tempatan di antara 3 dan 5 peratus dimansuhkan bagi menjadikan Malaysia syurga beli belah.
Barangan kegemaran pelancong? Jika ianya barangan impot, bukankah pelancong dengan mudah boleh mendapatkannya di luar? Adakah dikatakan syurga beli belah jika kita mengimpot barangan luar lalu menjualnya kepada pelancong luar?
  • Dana Pencen Swasta (PPF) tahun depan untuk memberi manfaat kepada pekerja sektor swasta dan mereka yang bekerja sendiri
  • Program Adunan Biobahan Api dengan Petroleum Diesel(Program B5) secara mandatori bermula di Putrajaya, Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka
  • Pengecualian cukai jualan ke atas semua jenis telefon bimbit.
Berapa sangatlah jumlah cukai jualan telefon bimbit jika dibandingkan dengan harga pelan broadband untuk melayari internet melalui telefon bimbit? Adalah lebih baik jika dikurangkan harga data internet telefon bimbit untuk kegunaan awam dimana saja, bila-bila masa.
  • RM850 juta bagi menyediakan infrastruktur sokongan untuk mempercepatkan pembangunan koridor dan wilayah.
  • RM411 juta untuk melonjak ekonomi ke arah sebuah negara berpendapatan tinggi, aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersilan sebagai landasan peningkatkan aktiviti nilai ditambah dalam setiap bidang ekonomi.
  • Penubuhan Unit Inovasi Khas (UNIK) di bawah Jabatan Perdana Menteri dengan peruntukan RM71 juta bagi tahun depan untuk mengkomersilkan hasil penemuan R&D oleh universiti dan institusi penyelidikan.
  • RM200 juta untuk perolehan hasil kreatif seperti filem, drama dan dokumentari keluaran tempatan yang berkualiti tinggi.
azlan
  • Gaji pokok minimum pengawal keselamatandinaikkan kepada RM500 hingga RM700 sebulan mengikut kawasan mulai Januari 2011
  • Penjawat awam wanita diberi pilihan tentukan sendiri tempohcuti bersalin bergaji penuh tidak melebihi 90 hari.
  • Skim Rumah Pertamakubantu golongan muda yang baru bekerja dengan pendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan untuk memiliki rumah
  • Kerajaan akan menaikkan kadar cukai perkhidmatan daripada 5 peratus kepada 6 peratus
Sebelum ini menangguhkan GST tetapi mengapa perlu dinaikkan cukai perkhidmatan sebanyak 1%? Bukankah ini akan membebankan rakyat dan dimasa yang sama barangan keperluan meningkat sejajar dengan cukai perkhidmatan yang dikenakan?
  • Elaun untuk JKKK, JKKKP dinaikkan kepada RM800 sebulan
Seperti yang kita semua tahu, JKKK dan JKKKP adalah orang-orang suruhan Umno dikampung- kampung untuk menjaga kepentingan parti dan pemimpin mereka.
Kenaikan elaun ini semata hanyalah untuk memberikan lebih imbuhan kepada mereka untuk terus kekal setia kepada parti.
  • RM6.9 bilion pula diperuntuk untuk bina infrastruktur seperti membina jalan luar bandar dan untuk membina jalan luar bandar
Lagu dongeng yang didendangkan kerajaan BN semenjak merdeka lagi. Hakikatnya, sehingga hari ini luar bandar kekal menjadi luar bandar (dalam erti kata yang sebenar). Infrastruktur hanya akan di 'make-up' setiap kali terbitnya pilihanraya.
  • RM2.1 bilion diperuntuk untuk bina dan menaik taraf jalan luar bandar di Sabah dan Sarawak, selain RM696 juta bagi tujuan sama di Semenanjung Malaysia
Sabah dan Sarawak. Apa lagi yang perlu dikatakan. Tanyalah wakil-wakil rakyat disana samada dari pihak pembangkang mahupun kerajaan sendiri betapa suara mereka tidak diendahkan sejak dahulu lagi. Mereka dianak tirikan oleh kerajaan BN sendiri.
  • Sistem Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) dimansuh dan diganti dengan sistem penilaian lebih sesuai dan diterima baik penjawat awam
Buatlah sistem yang bagaimana sekalipun, tahap kecekapan penjawat awam masih menjadi bahan ketawa rakyat Malaysia. Tiada kesungguhan dalam menerapkan nilai budaya kerja yang baik. Waktu pejabat, boleh didapati penjawat awam berkeliaran disana sini (terutamanya kedai- kedai kopi) sedangkan pelanggan setia menanti nombor giliran mereka untuk dipanggil.
  • Satu projek besar dirancang melibatkan pembangunan tanah Lembaga Getah Malaysia seluas 2,680 ekar di Sungai Buloh
  • Sistem pengangkutan MRT untuk Greater KL akan dilaksanakan bermula 2011 bertujuan meningkatkan penggunakan pengangkutan awam hingga 40 peratus
'Meningkatkan pengangkutan awam', rakyat telah muak dengan janji-janji tersebut. Berbilion wang rakyat telah dihabiskan tetapi hasilnya lebih teruk daripada negara-negara dunia ketiga.
  • RM100 juta diperuntukkan untuk melaksanakan program termasuk menyelesaikan isu berkaitan hak tanah Orang Aslidan sempadan penempatan
Selagi kerajaan BN memerintah, orang asli tetap menjadi orang asli dengan cara hidup yang takkan pernah berubah. Tanah-tanah mereka semakin dipinggirkan dan dirampas atas nama pembangunan.
  • Imbuhan guru KAFA dinaikkan daripada RM500 kepada RM800. Elaun bagi imam pula dinaikkan daripada RM450 dan RM750
Alhamdulillah. Berita baik yang selama ini dinanti-nantikan semua
  • Elaun pengerusi JKKK, JKKP, Tok Batin dan Pengerusi JKKK Orang Asli kpd RM800.
Pengerusi JKKK lebih dihargai berbanding imam.

Peruntukan RM111 juta untuk program PERMATA yang dinaungi oleh Rosmah. Peruntukan itu meliputi projek pembinaan fasa II Kompleks Sekolah Permata Pintar, bagi membina 32 Pusat Anak Permata Negara (PAPN) serta membiayai operasi 52 PAPN yang telah siap. Peruntukan itu turut meliputi program Permata yang lain seperti PERTAMA Pintar, Seni, Insan dan Remaja.

Program Permata yang dahulu pun tak nampak bayangnya lagi. Tapi kali ini ditambah dengan lebih banyak lagi. Samalah seperti Najib memberikan anak patung mainan kepada Rosmah tetapi dengan menggunakan wang rakyat.

Komen-komen mengenai bajet 2011 ini adalah daripada pendapat saya sendiri.

Bajet kali ini memang jelas nyata merupakan bajet terakhir Umno/BN sepertimana yang dinyatakan oleh DS Anwar Ibrahim sebaik saja Najib selesai membentangkan Bajet 2011 semalam.

Sunday, June 13, 2010

Sihatkah jika begini?

Majalah i-sihat keluaran Utusan Karya yang membawa isu mengenai Kanser Servik mudah didapati terpampang dimana-mana kedai buku seluruh negara.

Bukanlah isi ataupun isu yang diutarakan oleh para editor dan pengarang majalah tersebut yang mengganggu emosi saya. Tetapi gambar kulit yang jelas tersergam gambar susuk tubuh seorang wanita berbogel digunakan sebagai penyampai maksud.

Apakah langsung tiada rasa sensitif dikalangan karyawan baik lelaki mahupun wanita di Utusan Karya mengenai implikasinya terhadap minda rakyat terutamanya anak-anak apabila didedahkan dengan gambar yang sedemikian rupa apabila mereka berkunjung ke kedai buku?

Tiadakah rasa malu para wanita apabila 'rahsia bentuk tubuh' mereka dijaja sebegitu rupa?

Sebelum ingin menjual info yang akan menyihatkan tubuh badan kita, apalah salahnya untuk berhenti sejenak bagi memberi masa berfikir tentang natijah yang bakal 'terjual' nanti?

Sihatkan akal, minda dan hati sepatutnya didahulukan agar tubuh badan turut merasakan kebaikannya kelak.

Tanggungjawab menyampaikan ilmu telah dipalitkan dengan nilai komersial yang memusnahkan peradaban agama juga budaya bangsa.

Tuesday, March 2, 2010

Menjawab Parpukari

Hari ini saya diberitahu bahawa blogger Umno, Parpukari (House PK) membuat entri mengenai artikel saya yang bertarikh 13/02/2010 tentang mohon bantuan untuk penyakit kronik jantung berlubang.

Jika tidak diberitahu, memang saya takkan tahu kerana blog parpukari bukanlah antara blog yang biasa saya kunjungi kerana isi kandungannya yang hanya penuh dengan maki hamun dan hamburan keta-kata kesat serta lucah, ditambah pula amat gemar mencantumkan gambar orang-orang tertentu supaya menjadi suatu suasana yang berbeza.

Lihat saja tajuk yang digunakannya untuk menghentam saya. Mengapa perlu diguna dan dikaitkan dengan nama Nizar? Ini adalah taktik biasa bagi blog-blog yang tidak mendapat sambutan untuk menarik minat orang berkunjung.

Berbalik kepada komen daripada Parpukari yang mahukan penjelasan daripada saya mengenai artikel tersebut, email mengenai artikel itu telah saya terima pada 7 Februari 2010. Sebagai seorang Muslim yang ingin membantu meringankan bebanan sesama Muslim, saya telah menaikkan artikel tersebut pada 13/02/2010 dengan harapan agar ada yang sudi untuk membantu setelah membaca artikel itu. Hanya itulah motif yang saya ada, untuk pengetahuan Parpukari.

Nabi S.A.W bersabda : ” Sesungguhnya Allah suka orang yang membantu orang dalam kesedihan.” ( Riwayat Abu Yu`la Dailami dan Ibnu Asakir dari Anas sebagaimana tersebut dalam kitab Faidul Qadir : 2 - 287 ). Dalam hadis sahih tersebut : ” Sesiapa melepaskan dari orang mukmin satu dari kesusahan- kesusahan dunia maka Allah melepaskannya satu dari kesusahan- kesusahan di Hari Akhirat.” ( Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari hadis Ibnu Umar sebagaimana terdapat dalam kitab Al-Luqlu Walmarjan nombor 667 ).

Sebelum menjawab kepada isu yang dinaikkan oleh Parpukari ini, saya telah menghubungi Puan Fazirah Bt Sidek, ibu kepada pemohon bantuan tersebut untuk mendapatkan maklumat yang lebih lanjut. Menurut Puan Fazirah, anaknya Adrianna Alysya telahpun meninggal dunia pada 1 Ramadhan 2008 lagi dan beliau meminta bantuan saya untuk menghebahkan agar rantaian email memohon bantuan untuk arwah anaknya dihentikan.
Akaun bank yang tertera di dalam email itu pun telah ditutup.

Saya juga mengambil kesempatan itu untuk memohon maaf daripadanya kerana email yang datang kepada saya telah disebarkan oleh orang-orang yang tidak tahu menahu duduk perkara yang sebenarnya.

Mungkin pada masa ini Parpukari tiada isu yang hendak dimainkan sehingga terpaksa membesarkan isu ini. Adalah lebih baik jika Parpukari menjawab ISU PANAS yang INI.

Thursday, December 31, 2009

Pengurusan jual buku sekolah lebih teruk daripada pasar borong

IPOH 30 DIS Hari ini saya ke Sekolah Menengah Rapat Setia, Ipoh untuk membelikan buku sekolah buat anak saudara saya yang akan naik ke tingkatan dua tahun hadapan.

Setiba di sana jam 11.15 pagi (selepas pendaftaran Azizul Hakim di Sek Keb Rapat Setia disebelah), orang ramai telah memenuhi tempat membeli buku. Lebih kurang 70 orang sedang berbaris didalam 4 barisan.

Penjualan buku sekolah hanya dibuka 3 hari (30 Dis, 31 Dis dan 1 Jan) bermula jam 8.00 pagi hingga 12.00 tengahari. Sepatutnya buku dijual lebih awal kerana mereka mempunyai sebulan setengah bercuti.

Berbanding dengan Sek Ren Rapat Setia yang membuka jualan seawal cuti sekolah (setiap hari), tiga hari yang diperuntukkan kepada ibu bapa untuk membeli buku anak-anak mereka agak suntuk dan kehadiran yang ramai untuk membeli buku-buku itu pada masa yang sama sudah boleh dijangka.

Persediaan dan pengurusan yang rapi daripada pihak sekolah yang menyelia dan mengurus penjualan buku melalui koperasi sekolah amatlah diharapkan oleh ibubapa yang terpaksa mengambil cuti untuk membeli buku-buku anak mereka.

Namun begitu, harapan ibubapa kepada pihak pengurusan sekolah hancur berkecai sepertimana gambar-gambar yang dipaparkan disini.

Ibubapa terpaksa beratur panjang dan lama

Guru-guru mengambil pesanan manakala murid-murid
mencari buku-buku tersebut

Suasana yang tidak terurus. Lebih teruk daripada pasar borong.
Penjual buku-buku bundle dipasar malam lebih teratur daripada
pihak sekolah yang sepatutnya berpelajaran tinggi

Sepatutnya, kesemua buku-buku untuk jualan telah tersedia rapi mengikut tingkatan. Tidak perlu lagi tercari-cari sebuah demi sebuah.

Ibubapa hanya perlu memberitahu anaknya ditingkatan berapa dan guru terus mendapatkannya.

Bayangkan, saya terpaksa berdiri dan beratur selama satu setengah jam untuk membeli hanya 20 buah buku latihan dan 3 buah buku kerja.

Setiap wang jualan buku juga tiada direkodkan dan diberi resit kepada pembeli. Bagaimana pihak sekolah membuat audit diatas setiap harga buku yang terjual? Siapa yang perlu menjawab kepada koperasi jika didapati jumlah buku yang terjual melebihi wang yang dikutip?

Jika beginilah pengurusan pihak sekolah berhadapan dengan ibubapa, bayangkan bagaimana mereka menguruskan anak-anak anda disekolah setiap hari selama setahun.

Saturday, December 5, 2009

Kisah masjid dan qurban

Masjid 1:
Lembu dibeli dalam 8 ekor. Harga dipersetujui RM16,000. Hari dijanji, lembu dihantar cek dihulur.

Malangnya, cek RM16,000 yang diberi tu cek tendang.Penjual lembu tuntut duit lembunya, cek lain pula diganti. Kesian pada penjual lembu, cek kedua pun tendang juga. Bank pun dah syak semacam pada penjual lembu ni sebab dua kali cuba tunaikan cek tendang.

Setelah dituntut, akhirnya pihak masjid berikan cek lain yang kali ni memang ada duit.

Rupa-rupanya, bendahari dan pengerusi masjid dah pakai duit lembu qurban tu. Kena le masjid keluarkan duit lain pulak. Duit RM16,000 tu dah dikira sebagai hutang bendahari dengan pengerusi kepada tabung masjid.

Disebabkan kejadian ini yang berlaku tahun lepas, tahun ini penjual lembu tu dah taubat tak nak terima cek lagi daripada mana-mana masjid dan surau. Semuanya perlu dibayar dengan tunai. Siapa yang malu? Dan siapa pula yang memalukan nama Melayu dan Islam?
Kalau duit masjid untuk buat ibadah pun boleh dibuat macam tu, duit yang lain apa lagi.

Masjid mana....Cari sendiri.

Masjid 2:
Buat ibadah qurban berbelas-belas ekor lembu. Tapi untuk sembelihnya kena upah orang luar.

Orang tu pulak memang dah jadikan sumber cari duit tiap kali tiba musim raya haji. Dia pulun ambil upah sembelih lembu merata kampung merata pekan.

Janji mula sembelih pukul 8 pagi. Orang yang masuk qurban dengan petugas dah ramai penuh di masjid. Lembu-lembu tu pun dah boring kena ikat sejak semalam. Tapi sampai tengahari pun tukang sembelih tak tiba.

Rupa-rupanya dia sibuk sembelih lembu merata tempat dari pagi. Bila sampai ke masjid tu, dah tengahari. Mula la kelam kabut sembelih lembu-lembu tu.

Penyudahnya hari dah nak gelap daging-daging lembu tak siap lagi. Sebab lambat disembelih.

Takkanlah dah takde orang yang boleh sembelih lembu dimasjid tu? Sampai nak kena upah orang luar pulak. Dan tukang sembelih tu pulak janganlah disebabkan duit, orang nak ibadah pun tertangguh sebab janji tak ditepati.

Masjid mana....cari sendiri.

Masjid 3:
Permit sembelih diambil untuk 3 ekor lembu saja.

Tapi, hari qurban tu pegawai pejabat veterinar datang la pulak. Cek punya cek, permit untuk 3 ekor tapi sembelih 4 ekor.

Disebabkan lembu yang keempat tu takde permit, pegawai veterinar tu tahan daging-daging qurban untuk lembu tu daripada diagihkan.

Habis tu, macamana dengan ibadah qurban untuk lembu yang keempat tu? Dagingnya tak dapat diagihkan.

Bincang punya bincang, akhirnya daging-daging tu diagihkan juga dengan jaminan permit untuk lembu yang keempat akan dibayar keesokan harinya.

Sampai macam tu punya ketat peraturannya untuk nak buat ibadah ni. Permit lebih penting rupa-rupanya.

Masjid mana....cari sendiri.

Masjid 4:
3 ekor lembu akan diqurbankan. Memang dah konfem.

Last minute, ada pulak seorang peserta yang tarik diri dengan alasan nak balik kampung. Bagi tau kawan-kawan tak jadi nak masuk qurban tahun ni. Yang kawan-kawan pulak, lepas sorang-sorang tarik diri jugak. Pasal apa? Tak tau la.

Penyudahnya, ketiga-tiga ekor lembu tu tak jadi. Masjid punya la besar. Orang kaya-kaya pun ramai. Orang miskin, lagi la ramai. Tapi nak qurbankan 3 ekor lembu pun boleh tak jadi.

Tak nak malu sebab tahun ni takde lembu qurban, mintak la tolong dengan ketua kampung (be end) sediakan lembu untuk qurban.

Ketua kampung pun cari dan dapat la 3 ekor lembu untuk qurban masjid tu tahun ni. Tapi ada orang kata lembu tu lembu politik. Pihak pengurusan masjid tak kisah. Asalkan ada lembu qurban tahun ni. Free pulak tu.

Masjid mana....cari sendiri.

Iktibar daripada kisah-kisah benar ini adalah untuk melakukan ibadah qurban, kita sendiri yang perlu berkorban untuk menjalankan ibadah yang dituntut agama kita. Bukannya memalukan dan mempergunakan agama dalam menjalankan ibadah qurban ini.

Thursday, October 29, 2009

Tangga pemangsa




Gambar-gambar diatas begitu ngeri untuk ditatap terutamanya kepada ibu bapa yang mempunyai anak kecil.

Tetapi itulah hakikatnya apabila malang tidak berbau. Perhatian dan pengawasan yang lebih perlu diberikan semasa membawa anak menggunakan tangga bergerak (escalator) dipusat-pusat membeli belah ataupun dimana sahaja.

Keadaan dan kedudukan tangga itu terkadang amat merbahaya walaupun kita kerap menggunakannya. Ianya akan bergerak tanpa henti dan mempunyai gerigi yang tajam serta sudut-sudut yang sempit.

http://www.dillatutta.com/Immagini_articoli/image/crocs_escalator.jpg

Begitu juga halnya dengan penggunaan kasut getah (crocs) yang begitu mudah untuk tersangkut dicelah gerigi tangga ini jika kita terlalai ataupun terlambat.

Lebihkan tumpuan jika memakai kasut getah sebegini terutamanya anak-anak kita semasa menggunakan tangga pemangsa ini.

Matahari dikelilingi pelangi?

IPOH (29.10.09) Keadaan yang berlaku tengahari ini (jam 1.oo tengahari) agak menarik apabila matahari kelihatan dikelilingi oleh bulatan pelangi.

Jika ianya gerhana matahari sudah tentu hari menjadi gelap gelita tetapi suasana ketika itu panas terik.

Pelbagai tanda-tanda aneh mula ditunjukkan Maha Pencipta agar manusia yang berakal kembali berfikir akan tujuan diciptakan dan kekuasaan Allah Taala.

Semoga kita dapat melihat kejadian ini dengan mata hati kita agar insaf akan akhir zaman yang menjelang.

Keadaan matahari yang dilihat menggunakan filter.

Wednesday, October 28, 2009

Penjelasan kredit Mat Saman Kati


Mula-mula, baca apa yang Mat Saman Kati tulis pasal saya disini.

Dah baca? Ok. Sekarang saya nak jawab.

Hari kejadian, Alhusseyn telefon minta tolong masukkan gambar dan sedikit cerita mengenai kejadian jambatan gantung runtuh di Kuala Dipang. Dia berada diluar kawasan, katanya. Tak dapat nak uploadkan gambar tersebut.

Saya yang sedang bersiap untuk bersarapan sebelum pergi kerja, buka laptop, buatlah seperti apa yang diminta Alhusseyn. Masukkan gambar yang pertama bersama sedikit laporan daripada blognya. Kemudian round-round blog kawan-kawan untuk mengetahui dengan lebih lanjut sebab pagi tu baru saya tahu pasal kejadian tu melalui tv. Akhbar online pun tak banyak maklumat yang diberi.

Dalam kelam kabut bersarapan sebelum berangkat ke tempat kerja, (ya..saya bekerja tetap dan blogging hanya bila ada masa lapang. Bukannya blogger sepenuh masa dan juga sebagai profesyen tetap sepertimana sesetengah orang), terdetik hati untuk mengumpulkan kesemua maklumat dan gambar-gambar didalam satu post buat pengunjung blog saya nanti.

Maka saya pun cut and paste daripada blog Alhussyen (Pas), Sendiri Mau Ingatlah (Pas), Anak Sengat (Pas) (didalam post yang kedua) serta blog Perakexpress (PKR).

Saya rangkumkan sekali dalam satu dan tak sempatlah nak labelkan part ni blog ni punya, part ni pulak blog ni yang punya. 2 keping gambar kecik je daripada perakexpress kalau nak dibandingkan dengan gambar-gambar lain daripada bloggers Pas.

Bukannya team perakexpress je yang turun cari berita, anak sengat pun ada disitu (gambar anak sengat duduk disebelah pelajar yang sedang ditemuramah wartawan). Dia berada disana semenjak jam 11 malam lagi.

Apabila ramai yang meminta izin untuk menyalin kembali rangkuman berita dan gambar tersebut melalui ruangan komen, tak sangka pulak ada yang terasa hati.

Dari dulu lagi saya dah nyatakan kepada sesiapa jugak yang minta izin daripada saya untuk menyalin kembali bahan dari blog saya ini, ambik aje lah. Kita kongsi bersama. Tak payah minta izin pun takpe. Tak bubuh nama blog saya sebagai kredit pun takpe. Saya bukannya gila glamer sepertimana dakwaan Mat Saman Kati tu. Kalau saya asyik ungkit orang copy tak bagi kredit tu, baru le dikatakan gila glamer.

Saya juga bukan jenis kejar hits. Tak heran pun berapa yang datang dalam sehari. Asalkan mesej sampai, sudah.

Bahan-bahan dalam artikel jambatan gantung runtuh yang dihebohkan tu pun diambil daripada 3 blog Pas dan 1 blog PKR, tapi yang berbunyi hanya satu. Nak kredit banyak mana lagi? Perakexpress dah cukup popular dah.

Nama bloggers Perakexpress sentiasa disebut bilamana ada ceramah PR. Terima kasih kepada bloggers Perakexpress...bla bla bla kata penceramah top PR. Kami bloggers Pas ni hanya terkedu dok kat depan tu. Tak bunyi pun. Apa nak heran.

Blog saya tu blog hobi je bukan blog cari makan. Perakexpress lain la.

Dulu Mat Saman Kati dengan BloggersNetwork@Perak. Sekarang ni mana perginya? Jangan tanya saya, tanya Mat Saman Kati.

Mat Saman Kati ni nak semua orang ataupun bloggers dengar cakap dia saja. Kalau tak, dia kutuk tibai cukup-cukup dalam blog dia (Perakexpress le). Alangkan pimpinan PKR dia pun dia balun semacam je [klik sini] dan [klik sini], inikan pulak blogger biasa macam saya ni.

Rasanya dah banyak kredit yang saya bagi kat Mat Saman Kati di sini.

Penutup kata, biarlah saya memohon maaf sekiranya saya telah membuat kesilapan dengan menyalin berita dan gambar daripada blog Perakexpress tanpa izin. Selepas ini, tiada lagi salinan berita daripada blog Perakexpress yang akan masuk kedalam blog saya.

Sebaiknya, Mat Saman Kati eloklah ikut pesanan daripada komen dalam blog Perakexpress seperti dibawah ini:

Mungkin dah sampai masa ngko kena pakai image hotlink protections dan anti copy kat blog ngko yang ekslusif .. hahhaha Malaysia memang kuat plagiat

Solutions dia mudah jer … pasang plugin nie http://www.thechetan.com/wp-copyprotect/ select text pun akan disable … padan muka diaorang lepas nie


Gunakan plugin tersebut supaya tiada blog lain yang boleh menyalin berita dan gambar daripada Perakexpress agar berita-berita tersebut hanya terperap di Perakexpress sahaja dan pastinya kredit itu juga tidak lari kemana-mana.

Wassalam.

Sunday, October 25, 2009

Iklan semakin melampau, apa tindakan pihak berkuasa?



Iklan Air Asia berunsur lucah, tiada tindakan?

KUALA LUMPUR, 23 Okt: Bulan ini sahaja sudah beberapa kali iklan Air Asia yang berunsur lucah itu, menggambarkan susuk tubuh pramugarinya disiarkan di stesen-stesen TV swasta namun tiada sebarang tindakan diambil oleh Kementerian Penerangan berhubung hal tersebut.

Malah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat juga dilihat tidak sensitif dengan eksploitasi yang dilakukan oleh syarikat penerbangan terhadap wanita dalam iklan itu sehingga tiada sebarang reaksi balas kementerian sehingga kini.

Lebih mendukacita, iklan terbabit menggunakan seorang kanak-kanak lelaki sebagai subjek atau watak utama untuk 'menghayati' bentuk badan pramugari wanita sebagai galakan untuk naik dan menggunakan khidmat syarikat penerbangan tambang rendah itu.

Ramai pembaca dan penonton telah menghantar email dan serta menghubungi Harakahdaily memberi reaksi marah atas siaran iklan tersebut yang dianggap begitu memalukan dan telah mencemarkan minda masyarakat khususnya kanak-kanak yang menonton bersama kaum keluarga.

Tinjauan Harakahdaily juga mendapati sejak minggu lalu, sudah begitu banyak blog, web dan pengguna internet yang mengkritik iklan tersebut dan kesal kerana tiada sebarang tindakan drastik untuk membendung unsur lucah yang mengeksloitasi wanita dan merosakkan minda kanak-kanak di bawah usia.

"Sungguhpun filem dan drama tv telah banyak memaparkan unsur yang tidak elok, tetapi kini berjangkit pula kepada iklan. Ini mesti dikaji semula," kata seorang pemanggil yang mahu dikenali sebagai Bakhtiar Musa.

Bagi Rozaili Sidin, sepatutnya iklan penerbangan Air Asia tu bercirikan idea tempatan, adab sopan dan budaya berbanding menonjolkan susuk tubuh wanita untuk meningkatkan promosi jualan.

"Malu jika ianya ditonton ramai terutama kanak-kanak. Ini bukan budaya kita," katanya melalui email yang dihantar baru-baru ini.

Iklan Air Asia itu memaparkan pengalaman seorang kanak-kanak bersama neneknya menaiki pesawat tersebut dan antara rakaman pengalamannya ialah melihat susuk tubuh pramugari yang digambarkan seolah-olah mengghairahkan dengan istilah 'Hot', seperti yang dinyatakan dalam bahasa latar iklan tersebut.

Dalam maklumanbalas yang diterima, ramai yang mahu, syarikat penerbangan tersebut dan stesen tv swasta memohon maaf sekaligus dikenakan tindakan oleh Kementerian yang berkaitan.

Begitu juga dengan iklan P1 Wimax: Sudah Potong?

Inikah yang kita mahukan?


Media arus perdana menangguk di air keroh dengan kemelut terbaru yang melanda Pas ekoran isu muktamar khas.

Sanggupkah kita menjadi penyumbang kepada keuntungan yang diperolehi umno dan bn dengan memperbesar-besarkan serta melontar pelbagai pendapat mengenai isu ini. Dan yang lebih dahsyat sekali sehinggakan membabit pimpinan utama Pas ke kancah perdebatan terbuka di ruang siber secara meluas.

Inikah yang kita mahukan? Tidakkah kita belajar daripada episod gelap isu kerajaan perpaduan tempohari. Pilihanraya kecil Manek Urai hampir mengorbankan Pas dengan isu itu, sanggupkah kita dikorbankan sekali lagi apabila dun negeri Perak dibubarkan kelak? Hentikanlah tarian ini yang mendapat tepukan gemuruh daripada umno dan bn dalam menghadapi pilihanraya negeri Perak sedikit masa lagi.

Tuesday, October 20, 2009

16 September dua versi


Hari ini :-


Ajak rakyat ingati sejarah penubuhan Malaysia: PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak semalam mengisytiharkan Hari Malaysia yang disambut setiap 16 September sempena penubuhan Persekutuan Malaysia dengan penyertaan Sabah dan Sarawak pada 1963, sebagai cuti umum di seluruh negara mulai tahun depan.

Dengan pengisytiharan itu yang diputuskan Jemaah Menteri, baru-baru ini, rakyat akan merayakan dua hari kebangsaan secara berkembar.

Perdana Menteri berkata, Hari Merdeka pada 31 Ogos mengingatkan rakyat mengenai perjuangan mencapai kemerdekaan daripada penjajahan yang dirayakan dengan pelbagai acara rasmi, seperti perarakan untuk mengingati detik sejarah itu.

"Hari Malaysia pula akan dirayakan dengan acara bersifat mengeratkan perpaduan, persefahaman antara kaum, kejayaan dan pencapaian masyarakat menerusi bidang sukan, sosiobudaya, kesenian dan lain-lain yang akan menyemarakkan semangat 1Malaysia," katanya pada sidang Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Dr Marcus Mojigoh (BN-Putatan) yang meminta penjelasan sejauh mana penerimaan rakyat ke atas seruan 'Kita berdiri, kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia' dan jenis program yang difikirkan berkesan bagi mencapai hasrat itu.

Perdana Menteri berkata, pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat adalah satu titik sejarah yang amat penting. Maka kita juga mahu suka duka rakyat di Sabah dan Sarawak dapat dirasai oleh rakyat di Semenanjung.

Menjawab soalan tambahan Marcus mengenai identiti rakyat Malaysia, Najib berkata, negara sejak dulu lagi memilih kaedah integrasi, bukan asimilasi seperti negara jiran, Filipina, Indonesia dan Thailand.

"Pemimpin kita dari dulu lagi bersikap terbuka dan inklusif kerana itulah jalan terbaik apabila dapat tampilkan satu kekuatan, `unity in diversity' dan tidak ada negara lain yang seunik Malaysia," katanya.


Tahun lalu :-

Tiada cuti umum 16 September - PM

16/09/2008 11:07am

PUTRAJAYA 16 Sept. - Kerajaan tidak bercadang menjadikan 16 September sebagai cuti umum, kata Perdana Menteti Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"Tidak ada, tidak ada, tidak ada...,’’ katanya kepada pemberita selepas menemui semua Ketua Setiuasaha Kementerian di sini hari ini. - Utusan

Ajijoi ~ Sapi punya minyak, lembu dapat nama. Tahun lalu bila kerajaan Pakatan Rakyat ingin memberikan cuti umum sebagai memperingati 16 September sebagai hari Sabah dan Sarawak bergabung dengan semenanjung dan membentuk Malaysia, kerajaan pusat mengkritik tindakan tersebut kerana hanya mahu memperingati 31 Ogos sebagai hari kemerdekaan.

Banyak idea-idea Pakatan Rakyat yang dahulunya dikutuk dan dikritik telah mula digunapakai oleh BN dengan memberikan penjenamaan baru sambil mendabik dada seolah-olah ianya adalah inisiatif mereka sendiri.

Monday, October 19, 2009

Beras Jawa

Agak menarik apabila terjumpa dengan beras yang mempunyai nama unik ini. 'Wes Mangan' tertulis besar sebagai jenama beras ini.

Setahu saya wes mangan bererti sudah makan. Tak tahu le betul ataupun tidak. Kena tanya pada rakan-rakan jawa pulak. Kalau bahasa banjar, senang aje. Boleh tanya pada Haji Daud di surau saya, dia tu Raja Banjar.

Tagline dia pulak "yok kito mangan sego". Pada pemahaman saya, maksudnya 'mari kita makan segar'.

Tak tau lah saya. Kena tunggu komen-komen daripada para Jawa untuk memberikan maknanya yang tepat.

Apakah rasa beras ini juga berbeza daripada beras-beras melayu ataupun siam? Sedap macam mee jawa ke?

Thursday, October 15, 2009

Solusi kepada kehidupan harian anda


Majalah Solusi yang diterbitkan oleh Telaga Biru Sdn Bhd, sesuai untuk bacaan sekeluarga kerana ianya sarat dan padat dengan pengisian dunia dan akhirat. Peluang keemasan buat kita menimba ilmu untuk amalan harian.

Artikel-artikelnya yang menyentuh tentang pelbagai isu seperti tafsir, hadis, hikmah, mahmudah, soaljawab solat dan fiqah, muamalat, cerna minda, mahir, munakahat, syiar, fitrah, tauhid, jinayat serta akhir zaman menepati citarasa tua dan muda. Gedung ilmu disatukan didalam sebuah majalah.

Para penulisnya pula bukan calang-calang orang. Siapa yang tidak kenal Ustaz Zahazan Mohamed, Dato' Dr Haji Fadzilah Kamsah, Ustaz Zaharuddin Abd Rahman, Ustaz Ismail Kamus, Dato' Dr Mahmood Zuhdi, Prof. Dr Sidek Baba, Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood, Dr. Irfan Khairi, Dr Zulkifli Al-Bakri, Ustaz Badli Shah Alauddin, Pahrol Mohamad Juoi dan ramai lagi.

Dengan harga hanya RM9, majalah Solusi bisa menambat hati anda untuk terus membaca. Keluaran terbaru No. 12 kini kian diminati ramai.

Dapatkan majalah Solusi dipasaran sekarang dan nilaikan sendiri kepadatan ilmu yang terkandung didalamnya.

"Mujahadah itu pahit, kerana syurga itu manis"
"Ilmu itu cahaya, jahil itu berbahaya"
"Hidupkan hati dengan mengingati mati"
"Beribadahlah sebanyaknya hingga kamu penat untuk berbuat maksiat"
"Allah mencintaimu dengan nikmat, mengapa membalasnya dengan maksiat?"




Bahaya menanti

Bahaya bagaikan menanti pengguna jalanraya di Jalan Yang Kalsom apabila keadaan bangunan tingkat atas bersebelahan dengan Hong Leong Bank berkeadaan tidak selamat.

Jika hujan turun dengan lebat serta angin yang kuat, pasti membahayakan orang ramai dan juga kenderaan yang lalu dijalan tersebut.

Pihak berkuasa tempatan perlu lakukan sesuatu sebelum kejadian yang tidak di ingini berlaku sepertimana bangunan yang runtuh di Jalan Fair Park, 3 Okt lalu yang mengorbankan dua nyawa.

Keselamatan pengguna jalanraya dibawahnya adalah tanggungjawab bersama.

Wednesday, October 14, 2009

1Malaysia bermakna 1Agama?

Dengan penerapan konsep 1Malaysia yang begitu giat dijalankan sekarang, segala aktiviti perlu dilakukan secara bersama semua kaum dan bangsa.

Tetapi, perlukah ianya turut melibatkan sesuatu yang bersifat keagamaan? Mungkin bagi agama yang lain, ianya bukanlah satu perkara yang besar tetapi bagi agama Islam yang kita anuti, melakukan sesuatu secara bersama-sama sepertimana yang dilakukan oleh agama yang lain adalah sesuatu yang bertentangan dengan hukum syarak.

Seperti gambar diatas, perlukah seorang gadis Melayu Islam (bertudung putih) turut sama menyalakan api untuk upacara Deepavali? Mengapa alim ulama perlu membiarkan perkara seperti berlarutan?

Perlukah maruah agama digadaikan untuk 1Malaysia?

Thursday, September 24, 2009

Amalan ziarah masih diteruskan

Sungguhpun zaman serba canggih lagi moden, namun sambutan hari raya masih lagi diamalkan seperti mana biasa dengan kunjung mengunjungi dan ziarah menziarahi sesama sanak saudara serta jiran tetangga.

Begitulah juga dengan kebiasaan sambutan raya penduduk Kampung Meranti Lapan, Lahat yang kebanyakannya bersaudara.

Selesai solat sunat Aidilfitri, kesemua jemaah di Surau Al-Ehsaniah akan dijemput berziarah kerumah disekitar kampung. Giliran rumah untuk diziarah terlebih dahulu akan diatur dan kesemuanya akan bersama-sama mengunjungi bagi mengeratkan lagi silaturrahim sekaligus menjimatkan masa untuk berziarah secara individu.

Pelbagai juadah masakan dan juga kuih akan disediakan tuan rumah. Selain merasai makanan yang dijamu, takbir raya serta doa akan dihadiahkan para jemaah kepada tuan rumah.

Rumah mertua saya juga tidak ketinggalan diziarah walaupun kami sekeluarga masih di dalam suasana kesedihan akibat musibah yang menimpa kakak ipar saya 5 hari sebelum raya.

Semoga amalan yang baik ini akan diteruskan terutamanya kepada generasi baru agar tali persaudaraan dan kenal mengenal sesama penduduk kampung dapat di eratkan lagi.

Ucapan Indah di hari lebaran


Setiap kali tiba hari raya, pasti ada kiriman berupa ucapan selamat hari raya sampai kepada kita. Jika dahulunya, kad ucapan raya memainkan peranan yang cukup penting dalam mengeratkan silaturrahim sesama kita. Semenjak penggunaan telefon bimbit begitu meluas, sms telah mengambil peranan kad ucapan dengan capaian kepada sasaran cuma mengambil masa beberapa saat sahaja.

Hari ini, ucapan raya melalui sms berlegar diantara pengguna telefon bimbit sehingga membolehkan ucapan tersebut dihantar kepada ratusan penerima dengan sekali hantar sahaja.

Berikut saya senaraikan ucapan-ucapan indah sambutan lebaran tahun ini yang dikirimkan melalui sms kepada saya. Terima kasih kepada semua di atas ucapan indah tersebut.

Bulan Ramadhan pahala dihimpun, Aidil Fitri menjelang tiba, Jari disusun memohon ampun, Salah dan silap maaf dipinta.

Bulan Ramadhan berlalu pergi, bulan Syawal kini kembali, rasa sayu sudah pasti, namun bulan purnama tetap dihati.

Kata Imam Ghazali:- Yang jauh itu WAKTU, yang dekat itu MATI, yang besar itu NAFSU, yang berat itu AMANAH, yang mudah itu BERBUAT DOSA, yang panjang itu AMAL & SOLEH, yang indah itu SALING MEMAAFKAN.

Tangan dihulur tak kesampaian, senyum terukir tak kelihatan, sms di kirim tanda ingatan, di Aidilfitri kita bermaafan.

Sebening air wuduk, sesuci Al-Quran, semerdu alunan zikir, seindah solat 5 waktu, setenang hati yang tiada rasa benci dan dendam, andai hati pernah terguris, tutur yang terlanjur, laku yang melampau, janji tak tertunai, jika tangan tak berjabat, jika muka tak sempat bertatap, bukakanlah pintu maaf buat kami.

Keindahan Ramadhan disulami tarawih dan sedekah, keheningan Syawal disirami kemaafan. Semoga lebaran ini menyinarkan nur iman dan limpahan rezeki yang berterusan. Salam kemaafan dan Selamat Hari Raya Aidilfitri.

Jika ada langkah yang mengguris hati, ada tingkah membekas luka, ada kata yang tak terjaga, ada janji yang tak tertunai, ada hati yang berperasangka serta ucapan berbunga dusta, mohon dibuka pintu kemaafan hendaknya.

Biar renggang difana dunia, biar hina dimata manusia, biar semangat semakin tua, biar harta semakin tiada, biar akal semakin berusia, biar jauh kedudukan kita, biar jurang pangkat kita, jangan tergadai silaturrahim sesama kita.

Berlalu Ramadhan membawa keinsafan, hadirnya syawal mengukuhkan ukhuwwah, terima kasih atas ingatan, moga mendapat keredhaan Allah.

Saturday, September 19, 2009

Selamat Hari Raya Idul Fitri, Maaf Zahir Batin


Saya, Azizul Nizam Bin Zulkifli, pengendali blog ajijoi.blogspot.com serta keluarga ingin mengucapkan SELAMAT HARI RAYA IDUL FITRI kepada semua pengunjung blog saya tidak kira walau dimana anda berada.

MAAF ZAHIR BATIN juga saya hulurkan dengan menyusun sepuluh jari seandainya ada salah dan silap yang saya lakukan samada saya sengaja ataupun tidak, saya sedari mahupun tidak selama saya menulis di dalam blog ini.

Semoga anda semua bergembira dihari yang mulia ini bersama keluarga. Berhati-hatilah dijalanraya semasa menziarahi sanak saudara serta handai taulan.

Terima kasih yang tidak terhingga juga saya ucapkan kepada sokongan dan dorongan daripada rakan-rakan serta pengunjung-pengunjung setia blog saya ini. Semoga blog ini dapat menjadi wadah dalam MEMBONGKAR KEMUNGKARAN, MENYINAR KEBENARAN didalam menegakkan daulah Islamiyah dibumi tercinta ini.

Sekali lagi saya sekeluarga ingin mengucapkan SELAMAT HARI RAYA IDUL FITRI kepada semua pengunjung-pengunjung blog saya.

Sunday, September 13, 2009

Ketua kampung Ara Payung mengamuk?

BATU GAJAH (10.9.09): Ketua kampung Ara Payung, Batu Gajah dikatakan mengamuk apabila tazkirah disampaikan selesai solat tarawih di surau kampung tersebut. Surau dikampung itu memang kebiasaannya tiada tazkirah yang disampaikan sepanjang bulan Ramadhan ini. Apabila jemaah meminta tazkirah disampaikan selesai solat tarawih pada malam itu, ketua kampung tiba-tiba naik angin pulak. Apatah lagi penyampai tazkirah itu adalah seorang yang amat istimewa bagi jemaah surau tersebut pada malam itu.

Kisahnya bermula apabila surau tersebut mengadakan penyampaian sumbangan raya kepada fakir miskin dikampung Ara Payung oleh Dato Seri Nizar sebelum solat Isyak dimulakan.

Walaupun telah diumumkan bahawa Dato Seri Nizar telah diminta mengimami solat isyak dan tarawih, imam surau meluru laju kedepan untuk menghalang Dato Seri Nizar menjadi imam solat isyak.

Tapi, selessai solat isyak, Dato Seri Nizar telah sekali lagi diminta menjadi imam solat tarawih. Kali ini, tiada gangguan daripada mana-mana pihak.

Sebaik sahaja selesai solat tarawih, selawat dan salam terus dilagukan menandakan tamat solat pada malam itu. Sekali lagi diumumkan bahawa Dato Seri Nizar diminta menyampaikan tazkirah. Kesemua jemaah kembali duduk untuk mendengar tazkirah yang disampaikan oleh Dato Seri Nizar.

Dimasa inilah kedengaran ketua kampung mengamuk dibahagian belakang surau dan amukannya yang kuat dan mengugut untuk membuat aduan kepada pihak polis didengari oleh semua jemaah surau itu.

Atas dasar apa beliau hendak melaporkan perkara ini kepada pihak polis? Apakah pertuduhan yang hendak dibuat?

Mungkin juga kerana menghasut? Dato Seri Nizar telah menghasut para jemaah surau tersebut sehinggakan ketua kampung naik berang dan mengamuk.

Apa yang dihasut oleh Dato Seri Nizar kepada jemaah surau? Dato Seri Nizar telah dikatakan bersalah menghasut para jemaah untuk MENGINGATI ALLAH DAN MEMPERBANYAKKAN AMAL IBADAH DIBULAN RAMADHAN YANG MULIA INI.

Kepada ketua kampung Ara Payung tersebut, jika itulah alasan anda untuk membuat laporan polis, SILAKAN...











Yang mana satu ketua kampung tu pun, entah le. Ada ke sesapa yang kenai dia dalam gambo-gambo ni?

*foto-foto ehsan: sya-reformis

Friday, August 28, 2009

Tarian poco-poco menyesatkan?

Oleh : Adeq Best

Salam...pada kali ini penulis ingin kongsikan kepada anda tentang sesuatu yang menggemparkan kerana penulis sendiri pernah buat(masa dalam PLKN,secara paksa rela).Iaitu tarian Poco-poco. Secara jujurnya penulis tidak pernah tahu dan ambil tahu tentang tarian ini,asal-usulnya dan motif tarian ini.Namun segalaya berubah apabila satu kiriman emel daripada sahabat penulis,membuatkan penulis tersentak dan kaget sebentar. Mari sama-sama baca e-mel ini.

"Assalammualaikum.

Alhamdulillah kerana kita semua masih bernafas lagi dgn keizinanNya. Saya ingin berkongsi dgn rakan2 semua tantang tarian pocoh2 yang sedang hangat ditarikan oleh semua lapisan masyarakat,umumnya masyarakat kita yg beragama islam terutama suri2 rumah dan badan2 kerajaan ketika manghadiri kursus.

Sebenarnya tarian pocoh2 ini berasal dari Filipina bukannya dari Indonesia. Ia ditarikan oleh masyarakat yg berugama kristian ketika mereka menghadiri upacara sembahyang mingguan mereka.Lihatlah sahaja bagaimana pergerakannya, yg membentuk salib.

Mungkin kita tak perasan kerana kita suka mengikut2 sesuatu yg baru tanpa usul periksa. Inilah cara musuh2 islam mengenakan kita sedangkan kita tahu apabila kita melakukan sesuatu yg menyerupai sesuatu agama maka kita dikira merestui agama itu seperti amalan yoga yg telah difatwakan haram kerana menyerupai agama hindu. Cuma tarian pocoh2 ini belum difatwakan haram lagi. Marilah kita sama2 fikirkan."

Masya Allah...penulis pernah terfikir dulu,kenapa tarian itu dimulakan dari kiri?dan apa jenis senaman ini? relevankah tarian ini,yang kelihatan seperti tidak siuman? Dengan emel ini 'terungkailah' persoalan itu semua.

Jadi,penulis menyeru kepada diri penulis dan anda semua supaya mengambil inisiatif untuk tidak lagi 'menarikan' lagi tarian ini yang ternyata mensyirikkan Allah tanpa kita sedar.Dan paling utama memohon keampunan daripada Allah S.W.T atas kejahilan kita tentang perkara ini sebelum ini.

Semoga mendapat perhatian pihak berkenaan agar mengkaji secara terperinci tentang kesahihan perkara ini,asal usul dan kes anny a kepada akidah Umat islam dan mengeluarkan fatwa tentang tarian ini,agar Umat Islam tidak berterusan di dalam kelalaian dan 'keasyikkan' menarikan tarian ini.
WALLAHUALAM. ...

Followers