Friday, September 18, 2009

Perutusan Hari Raya Aidilfitri Dato Seri Nizar Jamaluddin


ALLAHU AKBAR
ALLAHU AKBAR
ALLAHU AKBAR
WALILLAHIL HAMD.

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Alhamdulillahi wasyukurillah, wasalatu wassalam 'ala Rasulillah SAW.

Segala kepujian kepada Allah SWT. Dihari raya aidil fitri ini kita kembali kepada fitrah asal-usul kita dicipta untuk menjadi khalifah di muka bumi ini.

Bagi memenuhi amanah yang dipertanggungjawabkan ini Allah SWT mewajibkan kita bersiyam(puasa) bagi memperolehi KPI sebagaimana yang telah dicapai oleh umat terdahulu (Rasul, Nabi, Aulia', Mujahidin dll) . Kesemua umat terdahulu berpuasa dan kesemua mereka menatijahkan perubahan rohani jasmani, sosio-budaya politik, perubahan minda serta peradaban. Kesimpulanya perubahan dari perhambaan kepada manusia kepada pengabbdian sepenuhnya kepada kehendak Allah SWT.

Terdahulu dari bulan Ramadzan, kita melalui Rejab yang dianugerahkan fardhu solat. Sembahyang sebagai tiang agama Islam mesti di laksanakan mengikut kaedah yang didirikan oleh nabi Mohammad SAW. Namun kepelikan berlaku dikalangan kita kaum muslimin masyarakat Malaysia, yang mana rukun puasa ini disambut, pelihara dan dilaksanakan bersungguh-sungguh sehinggalah menyambut raya aidil fitri. Segala amalan ramadzan seperti solat sunat tarawah dibuat bersungguh-sungguh. Ini bagus! Jika semangat dan sikap begini diaplikasi dalam melaksanakan tuntutan sembahyang , alangkah baiknya! Namun kaum kita sanggup mengabaikan sembahyang dalam memenuhi tuntutan puasa.


Sepatutnya dengan satu ayat sahaja (al-Baqarah: 183) perintah kita berpuasa, kita puasa sungguh-sungguh, tetapi dengan puluhan ayat yang memerintah kita solat dipandang sepi dan tidak ambil berat. Sikap begini berlaku oleh kerana sepanjang kita merdeka 52 tahun, puasa dijadikan ibadat khusus, sahor, buka, tarawih, tadarus dan raya dan tak lebih dari itu.

Walhal apabila Allah merujuk kepada (sebagaimana difardhukan orang-orang terdahulu dari kamu), bermakna mereka yang berpuasa terdahulu dari kita juga telah berubah. Bahkan kesemua insiden besar yang Allah muatkan didalam bulan Ramadzan (lailatul qadar, tambat syaitan, buka seluasnya pintu syurga, tutup serapatnya pintu neraka, tarawih, nuzul al-Quran, Badar al-kubra, fathul Mekah dll) semua mengajak kita berubah dan bertukar supaya lebih rapat dengan Islam. Bahkan isi kandungan takbir raya itu sendiri (yang turun dan diungkap oleh nabi Mohammad pertama kalinya dalam peperangan Badar setelah melihat mayat Abu jahal) mengajak kita buat perubahan besar-besaran. Malangnya takbir raya itu telah disensasikan, didayukan serta disyahdukan dikalangan masyarakat melayu sehingga hilang ruh dan semangat takbir itu sendiri. Semangat jihad pengorbanan, kembali kepada menegak kalimah Allah dan pensucian aqeedah telah tenggelam dek kerana alunan dayu sensasi takbir raya.


Sebagai ibadat tertua, puasa juga menuntut kita memperolehi ketaqwaan sebagai teket untuk bertemu dengan Allah diakhirat kelak. Tanpa taqwa ini, sesaorang itu tidak boleh mendapat pertimbangan Allah untuk ke syurga.

Sempena 1 syawwaal ini saya mengajak warga Perak untuk melakukan perubahan besaran dalam pilihanraya negeri yang akan terpaksa dilakukan dalam masa terdekat ini. Kemelut politik dan krisis perlembagaan yang berlaku akibat rampasan kuasa pada 5 Februari 2009 telah menyebabkan Perak dilanda malang dan krisis. Tolaklah mereka yang terbukti mengenepikan perintah keadilan dan amanah, zolim terhadap hak rakyat, menyalahgunakan agensi kerajaan SPR, SPRM, PDRM, Kehakiman dll. Tolak mana-mana yang berjuang diatas prinsip perkauman dan assobiyah kerana dia (perjuangan berteraskan perkauman) tiada tempat dalam Islam. Nabi Mohammad menyatakan dengan jelas bahawa bukan dari kalanganya mereka yang hidup-matinya, perjuanganya kerana bangsanya atau kaumnya.


Mari tolak perkauman dan terima nilai-nilai Islam dalam melaksanakan tugasan kita sebagai Khalifah dimuka bumi ini. Selamat hari raya maaf zohir batin. Saya mewakili keluarga dan seluruh warga Pakatan Rakyat menyusun jari sepuluh memohon keampunan atas segala kesalahan dan kelemahan tempoh hari.
Bertemu di Bagan Pinang!

Hidup, hidup , hidup Rakyat.!
Allahu Akbar, Allahu Akbar walillah hil hamd.

Dato Seri Ir Haji Mohammad Nizar Bin Jamaluddin
Ahli Parlimen Bukit Gantang & Adun Pasir Panjang

No comments:

Followers