Sungguhpun zaman serba canggih lagi moden, namun sambutan hari raya masih lagi diamalkan seperti mana biasa dengan kunjung mengunjungi dan ziarah menziarahi sesama sanak saudara serta jiran tetangga.
Begitulah juga dengan kebiasaan sambutan raya penduduk Kampung Meranti Lapan, Lahat yang kebanyakannya bersaudara.
Selesai solat sunat Aidilfitri, kesemua jemaah di Surau Al-Ehsaniah akan dijemput berziarah kerumah disekitar kampung. Giliran rumah untuk diziarah terlebih dahulu akan diatur dan kesemuanya akan bersama-sama mengunjungi bagi mengeratkan lagi silaturrahim sekaligus menjimatkan masa untuk berziarah secara individu.
Pelbagai juadah masakan dan juga kuih akan disediakan tuan rumah. Selain merasai makanan yang dijamu, takbir raya serta doa akan dihadiahkan para jemaah kepada tuan rumah.
Rumah mertua saya juga tidak ketinggalan diziarah walaupun kami sekeluarga masih di dalam suasana kesedihan akibat musibah yang menimpa kakak ipar saya 5 hari sebelum raya.
Semoga amalan yang baik ini akan diteruskan terutamanya kepada generasi baru agar tali persaudaraan dan kenal mengenal sesama penduduk kampung dapat di eratkan lagi.
No comments:
Post a Comment