Tuesday, August 25, 2009

Nizar jadi tenaga penting kempen PAS

PERMATANG PAUH, 25 Ogos: Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin menjadi tokoh penting kempen PAS di Permatang Pasir.

Ke mana-mana sahaja beliau pergi, sambutan yang diterima amat menggalakkan termasuk di kalangan orang Cina Permatang Pasir.

Nizar bukan sahaja memberikan ceramah, bahkan juga diheret untuk menyertai pelbagai program termasuk mengunjungi orang ramai di pasar-pasar.

Dewan Muslimat PAS kawasan Permatang Pauh, misalnya, telah menganjurkan majlis khas 'Sepetang Bersama Menteri Besar Pakatan Rakyat' Datuk Seri Nizar Jamaluddin baru-baru ini.

Majlis anjuran bersama Dewan Muslimat kawasan Permatang Pauh dan PAS cawangan Permatang To'Kandu itu berjaya menghimpunkan ahli-ahli muslimat dan kepimpinan cawangan dan kawasan yang ada bagi merapatkan ukhwah sesama muslimat.

Majlis yang diadakan di Dewan Haji Zabidi, Kampung Pertama, Permatang Pauh itu telah dihadiri oleh Datuk Seri Nizar Jamaluddin bersama-sama dengan kepimpinan PAS cawangan dan kawasan Permatang Pauh.

Dalam ucapannya Datuk Seri Nizar menyeru muslimat sebagai salah sebuah sayap penting dalam PAS untuk meneruskan kesinambungan perjuangan yang ada supaya penglibatan dalam politik itu dilihat sebagai satu ibadah dan pengorbanan untuk kesejahteraan ummah selaras dengan moto 'PAS FOR ALL' atau PAS untuk semua. Image

"Bagi memastikan Dewan Muslimat sebagai salah sebuah organisasi yang penting bermatlamat untuk memperjuangkan tuntutan agama dan kesejahteraan ummah maka pengorbanan yang dibuat oleh kita semua diharapkan mendapatkan keredhaan Allah.

"Setiap perjuangan kita haruslah berasaskan dan bersandarkan pada perjuangan Islam yang akan membawa kerahmatan kepada semua umat manusia di muka bumi ini," katanya.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu telah berjaya memeriahkan suasana apabila berucap dalam Bahasa Mandarin kepada sebahagian daripada hadirin bangsa Tionghua yang turut hadir dan mendapat tepukan gemuruh daripada hadirin.

Menurut Setiausaha Dewan Muslimat PAS kawasan Permatang Pauh, Rafidah Abd Razak, program jamuan teh ini adalah bertujuan bagi merapatkan hubungan antara ahli dan pimpinan muslimat yang terdapat dalam kawasan Permatang Pauh.

"Apa yang kami hasratkan berjaya apabila digabungkan cawangan dan kawasan.Ternyata yang hadir amat menggalakkan kerana ia bukan sahaja dihadiri oleh ahli-ahli muslimat malah turut disertai oleh muslimin daripada cawangan dan kawasan.

"Ini membuatkan kami merasa kepimpinan dan khidmat kami dihargai apabila ada penyertaan yang sedemikian," katanya.

-harakahdaily.com


No comments:

Followers