Monday, August 31, 2009

1 MALAYSIA :RETORIK MENYATUKAN RAKYAT, TETAPI BN SENDIRI SEMAKIN BERPECAH – PESURUHJAYA PAS PERAK

1 Malaysia adalah istilah yang digunapakai oleh Perdana Menteri hari ini. Sudah pasti ia akan terus berubah apabila berubahnya perdana menteri. Tetapi, apa yang dilihat hari ini, rancangan untuk menyatukan rakyat pelbagai bangsa ini, gagal dilaksanakan di peringkat dalaman BN itu sendiri. Sesama pimpinan BN sendiri sudah berpecah sesama sendiri.

Mengulas tentang hal ini, Ustaz Abu Bakar Hussain, Pesuruhjaya PAS Perak berkata, “BN mengajak kita supaya bersatu, tetapi mereka sendiri berpecah sesama mereka”.

Dalam masa yang sama, beliau menyifatkan bahawa kesatuan dan perpaduan yang didakwa oleh BN hanyala retorik semata-mata. BN hanya pandai berkata dan berteori, tetapi mereka sendiri bertentangan dengan teori yang mereka bawa. Contohnya apa yang terjadi di kalangan pimpinan BN sendiri.

Beliau berkata lagi, ketika zaman Nabi Muhammad SAW, orang Yahudi di Madinah pada mulanya tinggal dalam keadaan berpuak-puak. Demikian juga apa yang diamalkan oleh orang Musyrikin Mekah. Mereka hidup berpuak-puak, dan berperang sesama mereka dan kerap berlaku persengketaan sesama mereka.

“Walaupun mereka itu Yahudi, mereka tetap mempunyai suku-suku tertentu. Begitu juga Kaum Musyrikin Mekah. Mereka kesemuanya berbangsa Arab, tetapi masih lagi mengamalkan puak”, katanya.

Beliau berkata lagi, walaupun mereka itu hidup berpuak dan berperang sesama mereka, namun mereka bersatu apabila menentang Islam. Contohnya ketika usaha pembunuhan Nabi Muhammad SAW. Seramai 10 wakil daripada pelbagai puak dipanggil untuk melaksanakan usaha membunuh Nabi SAW. Mereka sanggup bersatu untuk menghapuskan Islam, walaupun pada mulanya mereka bergaduh sesama mereka.

Demikian juga Yahudi di Madinah. Walaupun mereka hidup berpuak, tetapi mereka bersatu menentang Nabi Muhammad SAW ketika Perang Ahzab. Mereka berpecah sesama mereka, tetapi bersatu apabila cuba menjatuhkan Islam.

Beliau berkata lagi, hari ini kita perlu melihat bahawa di sana terdapat iktibar yang perlu diperhatikan. Saya tidak kata UMNO itu Yahudi atau Musyrikin Mekah, tetapi kesatuan yang dicanang oleh BN hari ini, adalah bertujuan menolak Islam terlaksana di Malaysia. Dalam masa yang sama, mereka sendiri bertelagah sesama sendiri.

Perpecahan yang terjadi di dalam BN semakin membarah hari ini. Tetapi apabila mereka cuba untuk menafikan kedudukan Islam di Malaysia, mereka boleh bersatu. Hari ini kita melihat bahawa perkara ini semakin terserlah. Kerajaan memperjuangkan 1 Malaysia, akan tetapi sesama pimpinan BN sendiri tidak sekepala. Mereka mengatakan PKR, DAP dan PAS mempunyai kepentingan masing-masing, sedangkan MCA, MIC dan UMNO sendiri yang berbuat demikian.

Beliau berkata lagi, memang benar, 1 Malaysia hari ini hanyalah retorik semata-mata, tidak lebih melainkan teori yang dicipta oleh PM semata-mata. Sedangkan sesama pimpinan mereka sendiri berpecah dan memperjuangkan kepentingan masing-masing.

Selain itu, BN sering mendakwa bahawa PR semakin berpecah, sedangkan tohmahan ini lebih terpalit ke muka mereka sendiri. Mereka mendakwa bahawa PR hanya memperjuangkan kepentingan semata-mata, sedangkan tohmahan ini lebih terpalit ke muka mereka. Mereka memfitnah PR itu dan ini, sedangkan fitnah itu terpalit semula ke muka mereka sendiri.


Beliau memperingatkan bahawa Allah SWT Maha Adil. Kalau manusia hari ini menafikan keadilan Islam, maka mereka dipersilakan untuk mempersembahkan sebuah sistem yang lebih adil daripada Islam. Kalau mereka cuba mereka-reka fitnah, maka tunggulah fitnah yang lebih besar yang akan terpalit ke muka mereka semula. Kalau mereka cuba memecahbelahkan rakyat hari ini dengan perjuangan mereka, maka hari ini kita melihat mereka sendiri semakin berpecah.

No comments:

Followers