Friday, August 28, 2009

Jangan mendedahkan aibkan orang - Pesuruhjaya Pas Perak

Ipoh, 28/8/09, Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar bin Husein mengingatkan kepada UMNO/BN supaya tidak mengulangi amalan mereka yang sengaja mencari dan mendedahkan keaiban orang lain. Ini kerana sekiranya mereka tidak mahu keaiban mereka didedah oleh Allah SWT sendiri. Beliau berkata demikian sebagai ulasan tentang kes Chua Soi Lek baru-baru ini.

Beliau berkata lagi, BN yang selama ini sengaja memburuk-burukkan identiti beberapa individu, seperti Elizabeth Wong, seharusnya menerima padah apabila keaiban mereka didedahkan oleh Allah SWT sendiri.

Usaha-usaha ini seharusnya dilihat sebagai satu perbuatan yang terkutuk, yang sepatutnya tidak dilakukan oleh sebuah parti yang memperjuangkan kemanusiaan. Oleh itu, terimalah balasan yang setimpal oleh Allah SWT di atas perbuatan yang telah mereka lakukan.

Beliau berkata lagi, selain itu, pemecatan Soi Lek ini mendedahkan bahawa BN sekarang sedang menghadapi situasi yang serius. Mereka (BN) asyik menghebahkan bahawa PR sekarang berada dalam kemelut, sedangkan mereka sendiri merasai sedemikian. Mereka sendiri sedang berada dalam keadaan tidak stabil untuk menghadapi beberapa kesalahan pimpinan tertinggi mereka.

“Mereka gemar menunding jari kepada orang lain, sedangkan keaiban sendiri tidak pernah diperhati” katanya lagi.

Apabila diminta mengulas tentang perpecahan dalaman BN hari ini, beliau berkata “Ya, BN sememangnya sedang berpecah. Berpecahnya BN hari ini disebabkan usaha mereka memecahbelahkan PR dan PAS itu sendiri. Mereka suka menyebarkan fitnah, akhirnya mereka sendiri memfitnah sesama sendiri. Allah itu Maha Adil”.

Dalam pada itu, beliau juga menjawab tentang beberapa isu sebat baru-baru ini. “Kenapakah baru sekarang keadilan itu dipersoalkan? Kenapakah hari ini tolak ansur baru dipermainkan? Sebelum ini kita melihat ISA begitu kejam melakukan kezaliman di merata tempat. Itu tidak zalimkah?”

Beliau berkata lagi “Hari ini orang mempersoalkan tentang keadilan undang-undang syariat di dalam menjatuhkan hukuman, tetapi kenapakah ISA itu sendiri tidak dipersoalkan? Kalau Kartika itu baru seorang perempuan, ISA sudah menzalimi ribuan orang yang tidak bersalah. Dimanakah keadilan?” Katanya.

Beliau menyifatkan bahawa UMNO selamanya tidak akan releven sekiranya masih meneruskan perjuangan jahiliyyah. Ini kerana jahiliyyah itu telah pun dihapuskan ketika zaman Nabi Muhammad SAW. Tetapi hari ini, ia telah dikembalikan semula oleh UMNO sendiri. Sebab itulah UMNO/BN akan terus berpecah, kerana mereka memperjuangkan perjuangan nasionalisme yang juga diperjuangkan oleh Jahiliyyah.

Sememangnya masyarakat Jahiliyyah itu berpecah, tetapi disatukan oleh Nabi Muhammad SAW. Tetapi, hari ini ia telah dipecahkan semula. Maka, siapakah yang memecahbelahkan masyarakat kalau bukan BN?

Sumber:

http://ustazabubakar.wordpress.com/

No comments:

Followers