Monday, May 17, 2010

KPP jadi Dewan Himpunan Penyokong



KUALA LUMPUR: Lebih ramai calon bukan Islam berpeluang untuk bertanding dalam pilihan raya atas lambang PAS apabila parti itu kini menempa sejarah dalam perjuangan politiknya dengan menaik taraf Kelab Penyokong PAS (KPP) menjadi Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) sebagai sayap baru parti.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, selaras dengan matlamat penubuhan sayap baru berkenaan bagi meluaskan pengaruhnya di kalangan penyokong bukan Islam, dewan itu boleh mengemukakan nama calon bukan Islam untuk bertanding dalam pilihan raya.

"Kita tak ada masalah, calon yang dicadangkan oleh dewan ini juga boleh bertanding pilihan raya atas tiket PAS.

"Ini adalah sejarah yang PAS lakarkan secara rasmi apabila kita miliki satu sayap baru," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PAS Pusat di sini hari ini.

DHPP akan dilancarkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 23 Mei ini.

Selain itu Salahuddin berkata, penubuhan DHPP adalah bagi membolehkan KPP yang ditubuhkan sejak 2004 bergerak aktif dan bebas dalam PAS sebagai sayap parti seperti mana Dewan Pemuda, Ulama dan Muslimat.

Bagimanapun beliau menegaskan keanggotaan ahli bukan Islam dalam DHPP tidak bermakna mereka menjadi ahli PAS secara langsung.

"Ahli DHPP terdiri daripada mereka yang bukan Islam, oleh itu mereka bukan ahli PAS kerana dalam perlembagaan parti jelas menyatakan bahawa syarat untuk menyertai PAS mestilah beragama Islam.

"Bagaimanapun aturan yang terkandung dalam penubuhan DHPP ialah mereka perlu menerima dan mematuhi perkara-perkara yang terkandung dalam Perlembagaan PAS," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat, Dr Mujahid Yusuf Rawa berkata, PAS tidak perlu membuat sebarang pindaan kepada perlembagaan parti itu dengan penubuhan DHPP.

"Dewan ini dibuat berdasarkan fasa 26 Perlembagaan PAS yang menyebut tentang PAS Pusat boleh menubuhkan mana-mana peraturan untuk melicinkan dan mengembangkan parti.

"Atas fasa itu kita telah mengembangkan peraturan ini di mana kita tubuhkan DHPP dan sekaligus status dewan ini diiktiraf oleh perlembagaan parti, ia berbeza dengan KPP yang hanya merupakan inovasi daripada lajnah atau biro sahaja," katanya.

Katanya lagi, DHPP akan mempunyai struktur seperti sayap parti lain iaitu seorang ketua, timbalan, tiga naib ketua, setiausaha, penolong setiausaha, pengarah pilihan raya, ketua penerangan dan juga jawatankuasa.

Menurut beliau lagi, kira-kira 20 ribu ahli KPP di seluruh negara akan diserapkan kepada dewan berkenaan.

Dalam pada itu, ditanya sama ada DHPP boleh memberikan pandangan serta mempengaruhi keputusan PAS diperingkat pusat, beliau berkata memang menjadi tujuan utama penubuhan dewan berkenaan bagi membolehkan mereka menyalurkan pandangan serta pendapat secara lebih berkesan.

"Dengan adanya dewan ini bermakna kita sediakan saluran pandangan kepada mereka, mereka juga boleh hadir mesyuarat parti di semua peringkat.

"Bukan itu sahaja, seramai 15 orang dari dewan ini akan dipilih menyertai Muktamar Tahunan PAS yang akan diadakan Jun ini," katanya.

Ucapkan selamat tinggal kepada MCA, MIC dan Gerakan. Katakan kepada mereka bahawa kini anda mempunyai ruang perjuangan yang baru.

No comments:

Followers

Video ajijoi

Loading...