Tuesday, May 4, 2010

Agenda Kickdefella bukan agenda Islam, PAS

KUALA LUMPUR, 4 Mei: Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, berkata bukan menjadi agenda PAS untuk menjatuhkan mana-mana pemimpin Umno/BN secara peribadi sebagaimana yang blogger Kickdefella dedah kepada media sejak sebulan yang lalu.

“Untuk jatuhkan seseorang, bukanlah agenda PAS, tapi nak jatuhkan kerajaan (Umno/BN) jelas menjadi agenda PAS dan mana-mana parti dalam Pakatan Rakyat,” jelas beliau pada sidang media di Pejabat Agung PAS hari ini.

Menurut beliau, Islam yang diperjuangkan oleh PAS umumnya menentang dasar perkauman dan kezaliman yang di bawa oleh parti Umno dan BN.

Maka, sekiranya PAS hanya menentang peribadi Tun Abdullah Ahmad Badawi selaku Perdana Menteri, menurut beliau, pengganti Abdullah, Datuk Seri Najib Tun Razak tetap meneruskan agenda parti yang ditinggalkan oleh Abdullah.

“Dalam Islam, kita (PAS) menentang dasar parti pemerintah. Kalau Pak Lah jatuh, yang naik Najib, semacam sahaja kedua-dua mereka sebab dari parti yang sama,” jelasnya.

Disebabkan itu, PAS, menurut beliau, konsisten menggunakan pilihan raya dan sistem demokrasi untuk menggantikan Umno/BN, sejak PAS mula ditubuhkan 1951 lagi.

Tambahnya lagi, konsistensi PAS menyertai pilihan raya yang demokratik inilah yang membezakan politik kepartian PAS dan politik Umno/BN.

“Cara dia (BN) nak jatuhkan kerajaan lain seperti di Perak dan sebagainya, kita kalau nak jatuhkan mereka (BN) dengan cara demokratik,” ujarnya lagi.

Sehubungan itu, beliau menafikan bahawa PAS terbabit dalam agenda memburukkan Abdullah menggunakan dana RM4 juta seperti yang didakwa Kickdefella atau nama sebenarnya Syed Azidi Syed Abdul Aziz.

“Saya sudah semak di PAS Kelantan, PAS Malaysia, tidak ada RM4 juta yang dikeluarkan dari PAS.

“Jadi, saya menafikan dakwaan Syed Azidi. Syed Azidi kena buat penjelasan,” jelasnya lagi.

Ditanya tentang status Global Media Channel (GMC) yang dipercayai sebagai platform Kickdefella mendapatkan RM4 juta tersebut, Mustafa menegaskan bahawa beliau sendiri mengetahui tentang syarikat penyiaran tersebut dari media massa sejak beberapa hari lalu.

Melihat kepada serangan Kickdefella yangs seakan ditujukan kepada PAS, beliau menyifatkan blogger tersebut sebagai ‘orang upahan politik’ yang tiada integriti diri. -Hrkh



No comments:

Followers

Video ajijoi

Loading...