Sdr Mohd Saad Ismail
IPOH 14 MEI: Dewan Himpunan Penyokong PAS akan dilancar dan dirasmikan oleh Presiden PAS, Tuan Guru Haji Hadi Awang pada 23 Mei nanti di Klang, Selangor.
Demikian dinyatakan oleh YB Dr Mujahid Yusuf Rawa, Ahli Parlimen Parit Buntar dan juga selaku Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat pada sidang media beliau di Pejabat Perhubungan PAS Perak, Ipoh petang tadi. Bersama-sama dengan beliau ialah beberapa orang pimpinan daripada Lajnah Perpaduan Nasional Perak serta pemimpin Kelab Penyokong PAS Perak.
Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) ini yang merupakan satu penaikan taraf daripada Kelab Penyokong PAS yang ditubuhkan sedikit masa lalu. Keahlian buat masa kini sekitar 30,000 orang penyokong PAS daripada kaum Cina dan India akan diserapkan secara automatik ke dalam Dewan Himpunan Penyokong PAS yang kini berperanan sebagai salah satu sayap kepada parti PAS.

Peranan dewan ini sepertimana juga dewan-dewan yang lain di dalam PAS akan mempunyai beberapa jawatan penting bagi menggerakkan aktiviti dewan dan ahli-ahlinya.
Beberapa keistimewaan kini bakal diperolehi oleh ahli-ahli DHPP termasuklah dapat bersama-sama hadir di dalam mesyuarat kawasan mahupun muktamar. Cuma masih ada sedikit kekangan sebagai ahli DHPP iaitu salah satunya ialah tidak dapat mengundi di dalam mana-mana pemilihan kuputusan mahupun jawatan di dalam PAS.

YB Dr Mujahid begitu optimistik bahawa keahlian di dalam DHPP akan bertambah berlipat kali ganda di dalam masa yang terdekat kerana kini pimpinan di dalam DHPP ini dapat bergerak lebih aktif dan secara terbuka bagi menyampaikan misi DHPP kepada kaum Cina dan India yang kini lebih bersikap positif di dalam menyatakan sokongan mereka kepada parti PAS.

Selepas daripada ini, beliau akan menjelajah ke setiap negeri bagi mengadakan taklimat dan mesyuarat bersama-sama pemimpin DHPP untuk menjayakan lagi misi ini.

No comments:
Post a Comment