Thursday, May 13, 2010

Selamat Hari Guru 2010

16 Mei setiap tahun dikhaskan untuk memperingati dan menghargai jasa guru di Malaysia yang menjadi arkitek penting pembinaan sebuah negara.Seorang tokoh korporat berjaya di Kuala Lumpur, seorang hakim yang mempertahankan keadilan di Ipoh, seorang anggota tentera yang menjaga keamanan negara di Tawau, seorang petani berjaya di Pendang, seorang bakal Yang Berhormat di Sibu, seorang pemandu teksi di Segamat, pasti pernah di didik insan yang bernama guru.

Profesion perguruan yang satu masa dahulu dipandang mulia dan tinggi oleh masyarakat semakin getir melalui cabaran dan dugaan. Saban waktu dilaporkan perilaku anak-anak murid yang memijak kehormatan guru dengan moral sumbang dan biadap. Diburukkan dengan tingkah ibu bapa yang sering menuding jari menyalahkan guru pada setiap perkara malahan ada yang mengambil tindakan mahkamah terhadap guru yang hanya menjalankan amanah membentuk peribadi anak-anak mereka.

Guru juga saban hari ditimbuni tugas diluar makna seorang pendidik dan arahan-arahan dari atasan tanpa budi bicara untuk menolak, menjadikan tugasan guru semakin membebankan. Jika ada seorang menteri datang melawat, pastinya tenaga guru dikerah menjayakan majlis, setidaknya memenuhi dewan tatkala menteri beretorik tentang masa depan negara. Sedangkan anak-anak murid terlepas waktu belajar, kerana sang guru dipaksa menyenangkan hati menteri yang semakin gundah kehilangan sokongan. kalau seorang Yang Berhormat melawat kampung, pasti gurulah yang digesa menyambut dan meraikan ketibaan. Mujurlah Yang Berhormat jarang benar turun ke padang, maka beban itu tidak dirasa sangat. Malahan kalau ada sekumpulan pelumba basikal lalu di hadapan sekolah, guru juga ditugaskan menjaga anak-anak murid mengibar bendera sepanjang jalan. Begitulah erti menjadi seorang guru hari ini.

Kalau dahulu seorang guru bukan hanya mengajar di sekolah, malahan menjadi pendidik masyarakat. Guru dilantik menjadi pemimpin rakyat tidak kira dari fahaman politik mana, atas keyakinan bahawa guru seorang yang mulia dan bersih. Namun hari ini segala jasa dan sumbangan guru dipinggirkan dan tidak diberi penghormatan selayaknya. Guru yang dituduh terlibat dengan politik, khususnya yang bukan BN dan bukan Umno, ditindas dan dihukum seolah pelaku dosa besar. Tidak sedikit guru yang menghadapi tindakan tatatertib, ditukar ke kawasan pedalaman, disekat kenaikan pangkat hanya kerana keberanian menjalankan amanah sebenar seorang guru. Nasib anak-anak bangsa yang kehilangan guru yang komited dengan tanggungjawab langsung tidak dihirau dek serakah politik sempit dan tiada etika.

Dewan Pemuda PAS Kawasan Gopeng (DPPKG) merasakan 16 Mei setiap tahun bukan hanya disambut untuk menghargai jasa para guru, malahan lebih utama sama-sama berkongsi kepayahan dan kesukaran setiap guru di Malaysia. Soal kebajikan guru harus diutamakan dalam masa mengejar kecemerlangan dan kejayaan. Kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran digesa lebih prihatin terhadap kebajikan guru termasuk aspek psikologi dan motivasi yang menghadapi suasana semakin mencabar di sekolah. DPPKG juga berharap agar proses menaiktaraf kemudahan-kemudahan di sekolah khususnya di kawasan pedalaman akan dipercepatkan bagi membantu guru-guru memberikan khidmat terbaik kepada anak bangsa.

Saban hari guru mengukir masa depan negara dengan mendidik anak-anak bangsa yang bakal mewarisi negara dan sesungguhnya pembentukan sebuah negara yang berjaya pada masa depan ditentukan dengan kejayaan seorang guru mendidik anak bangsanya pada hari ini.

Buat seorang guru di Taman Mulia, Kuala Lumpur, seorang guru di Ulu Tembeling Pahang, seorang guru di Pulau Banggi Sabah, seorang guru di Balingian Sarawak, dan semua guru di Malaysia, SELAMAT HARI GURU.

HARIS BIN ALIMUDIN
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS
Kawasan Gopeng.

1 comment:

Unknown said...

Bagi guru-guru yang ditukarkan krn mempertahankan Perjuangan Islam dan menentang Pimpinan yang Zalim..Sesungguhnya setiap sesuatu itu ada Hikmahnya..Dan Yakinlah..!!Allah pasti menolong sesiapa yang menolong Agamanya..Takbirrr

Followers