Showing posts with label Ulasan Buku. Show all posts
Showing posts with label Ulasan Buku. Show all posts

Sunday, April 18, 2010

Ulasan buku: Supaya Gelisah Bernilai Ibadah

Ingat lagi keluhan saya bulan lalu mengenai masalah kewangan yang senantiasa menghantui fikiran?

Alhamdulillah, kini fikiran saya kembali tenang. Bukan kerana masalah itu telah menghilang tetapi kerana ada teman yang sudi bertandang.

Teman yang saya maksudkan adalah sebuah buku yang saya beli sewaktu cuti Maulidur Rasul yang baru lalu iaitu buku 'Supaya Gelisah Bernilai Ibadah'.

Buku tulisan Dr. Ibrahim Fiqhy ini bersifat ringan dan mudah dihadam tetapi amat sarat dan padat dengan pesanan dan kupasan-kupasan mengenai kegelisahan dan kesedihan yang melanda umat Islam hari ini.

Beliau berjaya mengalihkan kegelisahan dan kesedihan yang berupa ujian lalu diubah di minda dan fikiran kita sebagai ibadah yang membawa nilai di sisi Allah Subhanahuwataala.

Penulis juga membentangkan sebuah inspirasi daripada ceramah Syeikh Aidh al-Qarny buat pembaca yang sedang dipeluk gelisah.

Antara inti ceramah tersebut adalah :-

  • Setelah kesusahan pasti ada kemudahan.
  • Berfikir dan bersyukurlah.
  • Apa yang berlalu tidak akan kembali.
  • Harimu...harimu.
  • Biarkanlah masa depan hingga ia datang.
  • Bagaimana menghadapi kritikan pedas?
  • Jangan pernah menunggu ucapan terima kasih daripada orang lain.
  • Berbuat baik kepada orang lain akan melapangkan dada.
  • Usirlah waktu luang dengan aktiviti.
  • Keputusan dan ketentuan.
  • Buatlah daripada lemon minuman yang nikmat.
  • "Atau siapakah yang memperkenankan (doa) orang yang dalam kesusahan." (an-Naml: 62)
  • Ganti daripada Allah.
  • Iman adalah kehidupan.
  • Ambillah madunya dan jangan rosak sarangnya.
  • "Bukankah dengan berzikir dapat mententeramkan hati." (ar-Ra'du: 28)
  • "Atau mereka dengki kepada manusia (Muhammad) lantaran kurnia yang Allah telah berikan kepadanya?"
  • Terimalah hidup apa adanya.
  • Menghiburkan orang yang ditimpa musibah.
  • Solat...solat.
  • "Cukuplah Allah menjadi penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik Pelindung." (Ali Imran: 173)
  • "Katakanlah: Berjalanlah di muka bumi." (al-An'am: 11)
  • "Maka kesabaran yang baik itulah (kesabaranku)." (Yusuf: 18)
Yang paling terkesan di hati saya apabila membaca buku ini sehinggakan terasa hati mula berair lalu mengalir dari celahan kelopak mata apabila membaca pandang sisi buku ini oleh idola saya, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Tuan Guru menulis:

Bagi orang yang beriman, dia kena tahu bahawa Allah jua yang mendatangkan ujian-ujian ini. Jika dirujuk kepada al-Quran, salah satu ujian adalah untuk menguji dan mengasingkan orang beriman dengan orang yang kurang beriman. Wahai orang yang beriman, tolong tengok-tengoklah maksud ayat ini:

"Apakah manusia itu menyangka bahawa mereka dibiarkan (begitu sahaja dengan) mengatakan: Kami telah beriman sedangkan mereka belum diuji lagi. Dan sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta." (al-Ankabut: 2-3)

Selaku orang yang beriman, apabila kita ditimpa musibah, kita kena cepat-cepat ingat kepada Allah Taala dan kembali kepada-Nya. Dengan kembali kepada Allah Taala, kita sudah berada di dalam sebuah hamparan bernama ibadah yang sangat luas. Mengambil kesempatan di atas kegelisahan musibah dengan menukar keadaannya itu adalah sebuah kebijaksanaan.

Mukmin yang bijaksana adalah mukmin yang tidak terlalu cepat merungut dan mencari manusia untuk bercerita. Seorang mukmin adalah seorang yang cekal dan tabah mengharungi ujian yang sengaja dibawa di hadapan-Nya. Hatinya penuh tepu dengan Allah Taala kerana sebelum datangnya ujian, dia sudah lama mengenali sifat-sifat Allah Taala.

Allah Taala menguji bukan bermakna Dia membenci. Bahkan itu tandanya orang itu sedang dirahmati kerana diberi perhatian.

Memang tepat sekali. Manusia bukanlah tempat mengadu segala masalah kerana manusia juga tetap lemah seperti kita. Sebaliknya Allah Taala adalah sebaik-baik tempat mengadu dan tempat pengharapan bagi menyelesaikan segala bentuk ujian dan masalah.

Dapatkanlah buku ini sebagai panduan untuk kita menukarkan segala kegelihan supaya bernilai ibadah di sisi Allah Taala.

Wallua'lam.

Harga : RM15.00
Terbitan: Kemilau Publika Sdn Bhd

Saturday, February 27, 2010

Ulasan buku: Diari Sufi

Membaca buku ini begitu menyamankan hati. Menajamkan minda dan bisa menyemarakkan iman.

Itulah yang dapat saya rasakan apabila membelek helaian demi helaian buku ini sehingga tidak sedar bisa menghabiskan 110 muka surat dalam masa tak sampai sehari.

Kisah yang berlingkar tentang kehidupan seorang gadis (mungkin diri penulis ini sendiri) yang segalanya diluahkan di dalam sebuah diari. Bercerita tentang suka dukanya kepada diari yang padanya lebih memahami apa yang tersirat di hati berbanding dengan manusia yang tidak begitu ambil peduli.

Apa yang menjadikan buku ini lebih menarik apabila setiap penceritaan disaluti doa yang berkaitan dan dilapik dengan ayat-ayat Quran sebagai buah hujah membenarkan tindakan.

Saya petik sedikit ayat-ayat daripada buku ini yang dibawah bab 'Peliharalah Perjuanganku":

Perjuangan merupakan satu wadah yang sering disalahertikan. Definisi diberikan dengan merujuk kepada natijah yang belum terzahir tanpa menimbang dulu niat dan maksud yang mengiringi sesuatu perjuangan itu. Kita sebagai khalifah Allah SWT semuanya harus berjuang. Makna perjuangan juga tidaklah seharusnya disempitkan kepada pentafsiran yang kolot. Perjuangn boleh lahir dalam pelbagai situasi. Anak berjuang untuk mendapat keredaan Allah SWT melalui mentaati ibu bapanya. Guru berjuang membangunkan sahsiah anak bangsanya dengan ilmu. Majikan berjuang untuk memberikan keadilan dalam menangani para pekerjanya. Seorang Muslim selain memperjuangkan agamanya, berjuang menentang hawa nafsu. Semuanya merupakan para pejuang.

Melewati zaman yang berpintukan kecanggihan berjendela teknologi, menjadikan peranan perjuangan semakin sepi bunyinya. Malah pentafsiran negatif pula mengambil tempat seolah-olah perjuangan adalah sesuatu yang melanggar hukum alam dan buruk benar kesannya. Sebut saja perjuangan, maka kehancuran akan terpancar serta kemusnahan akan terbayang di benak kita sedangkan para rasul, sahabat dan tabiin tidak sudah-sudah berjuang hingga ke hembusan nafas terakhir mereka. Usah dituruti kesesatan yang tiada hujung pangkalnya. Yakin pada Allah SWT selagi kita memperjuangkan hak dan kebenaran kerana Allah SWT sentiasa bersama orang-orang yang benar.

"...Dan mereka yang bermujahadah pada jalan Kami nescaya Kami tunjuki jalan-jalan Kami itu." [Surah al-Ankabut:69]
Buku ini saya sarankan untuk anda miliki dan selamilah kata-katanya yang indah membuai dalam dakwah ringan tetapi membina. Amat sesuai untuk bacaan remaja sebagai bahan bakar menjalani kehidupan seharian dengan sulaman doa buat pemangkin jiwa.

Thursday, October 22, 2009

Ulasan Buku: Bertemu Janji Allah 2

Membicarakan alam akhirat adalah percubaan untuk menjangkau segala yang misteri di belakang tabir keduniaan. Tiada siapa yang layak untuk membimbing segala apa yang terkandung di alam itu melainkan apa yang di khabarkan oleh Pemilik, Pencipta dan Penguasanya melalui wahyu yang diturunkan kepada NabiNya. Tanpa pergi terlalu jauh, dalam pengertian wahyu yang terkandung di dalam surah al-Fatihah ayat 4 sahaja, kita sudah dipandu dengan sebuah proklamasi berbunyi, “Dialah (yakni Allah) penguasa hari akhirat.” Mungkin William Shakespeare juga termakan dengan tempias firman Allah ini dengan kata-katanya yang pernah direkodkan di dalam skrip teaternya King Henry V111 3 berbunyi, “heaven is above all yet; there sits a judge that no king can corrupt.”

Buku yang bertungkus lumus menggali pelbagai rahsia akhirat, yang sedang berada di tangan pembaca sekarang ini adalah sebuah catatan. Ia bukan memo sembarangan. Ia memunggah kandungan dan pengertian alam ghaib yang akan sama- sama kita lalui lambat launnya. Bagi mereka yang sudah pergi, mereka sudah dan sedang berada sebahagiannya di alam itu. Sekarang, soalnya masih adakah pilihan kita untuk tidak cuba memahaminya sedangkan kita memang perlu ke sana – sememangnya akan ke situ? Dalam gugur hari yang beralih minggu ke minggu, masih adakah khilaf bahawa kita sedang mendekati satu tarikh kematian yang tidak pernah berganjak? Sebaliknya, kita pula yang semakin mendekat!

Karya: Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat
Harga: RM17.00

Ajijoi ~ Buku ini adalah kesinambungan daripada buku Bertemu Janji Allah yang pertama. Perkara-perkara yang PASTI akan berlaku sesudah kita mati dan bagaimanakah nasib kita di Padang Mahsyar nanti.

Agak menarik apabila Tuan Guru Nik Aziz menghuraikan kejadian-kejadian yang bakal kita tempuhi satu persatu termasuklah keadaan orang-orang yang kedudukannya berada di tengah-tengah diantara syurga dan neraka.

Timbalah ilmu yang dititipkan Tuan Guru buat persiapan kita sebelum kita dijemput KESANA.

Monday, September 7, 2009

Ulasan buku: Bertemu janji Allah

Buku ini memfokuskan sorotannya kepada persoalan akhirat. Ia mengajak kita untuk cuba menjenguk misteri alam akhirat berpandukan wahyu yang diterima oleh Nabi besar Junjungan kita Muhammad S.A.W.

Buku setebal 190 halaman yang mengandungi 38 bab ini cukup jujur memunggah apa saja yang berkaitan dengan alam yang sama-sama kita akan berada tidak lama lagi. Dengan perbincangan Mashyar yang detail, buku ini mengembangkan sayap rahmahnya kepada hal-hal yang menyentuh persoalan berkaitan kehidupan seharian di dunia, yang mana akan di bawa ke Mashyar.

Ia sebuah pengembaraan ilmu yang dipimpin oleh seorang yang arif, berpandangan jauh, ikhlas lagi bijaksana. Tuan Guru Nik Abdul Aziz adalah diantara segelintir ilmuan Islam yang layak ditumpangi suluh bimbingannya. Izinkan buku ini mengambil tempat dalam rak buku khalayak. Semoga kami tidak mengecewakan anda kerana ia membawa persoalan yang cukup penting untuk persiapan kita semua: bersiap-siap untuk ke sana.

Karya: Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat
Harga: RM17.00

Ajijoi ~ Buku yang dikupas oleh Tuan Guru Nik Aziz tentang bagaimana keadaan dan suasana apabila kita dibangkitkan di Padang Mahsyar nanti.

Suatu isu penting yang perlu diketahui oleh kita semua kerana setiap insan PASTI akan ke sana dan menempuh saat-saat yang mencemaskan ini.

Satu ilmu pengetahuan yang amat berguna dan bernilai sebagai persediaan untuk kita ke sana.

Saturday, August 22, 2009

Ulasan buku: Hafalan Solat Delisa

Delisa anak perempuan yang bermata hijau, bening, dan umurnya baru mencecah lima tahun. Dia hidup dalam keluarga yang sentiasa membuatnya tersenyum ceria. Dalam suasana keluarganya yang sebegitu, dia cuba menghafal bacaan dalam solat dengan bantuan ibu dan kakaknya.

Namun Tuhan lebih tahu apa yang lebih baik untuk HambaNya. Tsunami datang melumatkan senyuman pada wajah Delisa. Tsunami mengambil segala-galanya, keluarga juga kaki kecilnya. Yang tersisa, hanya dia dan ayahnya, dan dalam keadaan sebegitu apakah Delisa mampu tetap tersenyum seperti dahulu dan menyudahkan hafalanya?

Begitulah sinopsis buku 'Hafalan Solat Delisa' karangan Tere Liye ini. Satu kisah anak kecil yang berusaha bersungguh-sungguh menghafal bacaan di dalam solat. Berlatar belakangkan suasana kejadian tsunami, buku ini bisa mengalirkan airmata siapa sahaja yang membacanya.

Dikarang dengan penuh buaian emosi melalui hari-hari indah keluarga bahagia Delisa berumah ditepi pantai yang berayahkan seorang pekerja pelantar minyak. Dipertengahan kisah, kita akan dilambung suasana amukan tsunami yang menghempas siapa dan apa saja lantaran ganasnya menerjah ke daratan.

Di akhiran pula, airmata kita akan menitis tanpa dipaksa akibat kasihan akan nasib si kecil.

Berjayakah Delisa menghafal bacaan solatnya? Bagaimana dengan nasib keluarga serta ayahnya? Apakah yang terjadi selepas amukan tsunami mulai reda?

Ikuti kisah anak kecil ini dengan mendapatkan buku 'Hafalan Solat Delisa' hari ini.

"Buku yang indah ditulis dalam kesedaran ibadah. Buku yang mengajak kita mencintai kehidupan, juga kematian, mencintai anugerah juga musibah, dan mencintai indahnya hidayah." - Habiburrahman El Shirazy (Penulis best seller Ayat-ayat Cinta)

Tuesday, July 28, 2009

Ulasan Buku: Kompilasi Tafsir al-Quran, HIDAYAH

Hidayah adalah petunjuk atau disebut guidance jika dialih ke bahasa Inggeris. Diksi Hidayah banyak dirakam di dalam al-Quran, antaranya:


Maksudnya: Sesungguhnya Al-Quran ini memberi hidayah ke jalan yang amat lurus (agama Islam) dan memberikan berita yang menggembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar. (Surah al-Isra’:9)


Firman Allah SWT,

Maksudnya: “Tunjukkanlah kami jalan yang lurus(hidayah).” (Surah al-Fatihah :6)


Dikisahkan ketika Rasulullah SAW pernah menggariskan pada tanah suatu garisan. Kemudian Rasulullah membuat garis-garis yang bercabang daripada garisan induk tersebut. Lalu baginda membacakan ayat al- An’am ayat 153. Maksudnya: “Dan sesungguhnya inilah jalanku yang lurus maka ikutilah ia, dan janganlah kamu ikut akan jalan-jalan yang lain, kelak ia akan memecah belahkan kamu.”




Jelas di sini, hidayah adalah milik Allah dan ia diberikan kepada sesiapa yang Dia ingini. Setiap hamba wajar memohon dikirimkan hidayah agar setiap tindak tanduk sentiasa di dalam pimpinan dan rahmat Allah. Naskhah HIDAYAH adalah kompilasi tafsir al-Quran yang menautkan fikrah Tuan Guru Nik Abd Aziz.


Petikan dari Surah Yunus ayat ke-15 bermaksud: Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Kami yang jelas nyata berkatalah orang-orang yang tidak ingat bahawa mereka akan menemui Kami (untuk menerima balasan): “Bawalah al-Quran yang lain daripada ini ataupun tukarkanlah dia.” Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak berhak menukarnya dengan kemahuanku sendiri; aku hanya tetap menuntut apa yang diwahyukan kepada aku sahaja. Sesungguhnya aku takut jika aku menderhaka kepada Tuhanku akan azab hari yang besar (soal jawabnya).


Nah, ini adalah bukti bahawa hidayah itu kadang kala telah datang menyapa kita, namun kita tegar membuang dan menepisnya dengan mencipta pelbagai alasan. Betapa cintakan dunia telah memalingkan hati dan fikiran insan untuk mendakap hidayah. Atas rasa kesedaran dan ingin memberi peringatan kepada sesama muslim, tercetusnya kompilasi Tafsir al-Quran dari surah Yunus, al-Hadid dan Munafiqun untuk lumati lalu dicernakan melalui amal yang didasari ketakwaan.


Anda pasti tersentuh tatkala mencicip tajuk demi tajuk seperti Para Nabi Allah Bukan Tukang Sihir, Politik Lain, Agama Lain?, Rakyat dan Kerajaan Mukmin, Negara Stabil, “Bawakan Aku KItab yang Lain”, Selarikan Ilmu Dunia dan Ilmu Akhirat dan Perhimpunan Mega di Padang Mahsyar. Apa yang mengujakan, metod yang dibawa oleh Tuan Guru sarat hidangan pelbagai analogi yang bersesuaian dengan realiti semasa. Ia asas kefahaman yang menerajui setiap kupasan ayat-ayat suci al-Quran dengan sokongan sunah nabawiah.

Hidayah…Tuhan kurniakan kepada sesiapa yang Dia ingini! Raihlah hidayah, barangkali ia ada disekeliling anda…

Ajijoi ~ Buku ini merupakan tafsir Surah Yunus yang dikupas dengan begitu lunak sekali oleh Tuan Guru Nik Aziz.

Seperti mana kebiasaannya menyampaikan ilmu, segala yang berada disekeliling dan juga di dalam hidup kita akan dijadikan contoh yang paling hampir untuk memudahkan kita menghadam akan maksud yang ingin disampaikan.

Agak payah untuk berenggang dengan buku ini apabila kita sudah mula menyelaknya. Helaian demi helaian menyinarkan HIDAYAH yang menerjah masuk terus ke lubuk hati.

Milikilah buku ini sekarang. Sebuah lagi titisan ilmu daripada seorang ulama pejuang Islam.

Saturday, June 27, 2009

Ulasan Buku: Catatan Hati Nik Nur Madihah


Semasa kami sekeluarga di Popular Book Store sedang memilih buku untuk dibeli, isteri saya memanggil kearah saya sambil matanya digenangi air. Ditangannya, sebuah buku bertajuk 'Catatan Hati Nik Nur Madihah'.

"Kenapa?" tanya saya kepadanya.

"Baca sikit daripada buku ni tadi, sedih pulak kisahnya. Belilah buku ni. Bagi kat Suha. Suruh dia baca. Biar dia rasa berapa susahnya nasib orang lain berbanding dengan dia. Bagus kisah Madihah ni. Boleh juga dijadikan motivasi untuk dia" terang isteri saya.

"Baiklah. Katakan pada dia buku ni hadiah dari ayah untuk keputusan periksa dia hari tu." saya memberikan persetujuan.

Memang menyedihkan apabila membaca kisah Nik Nur Madihah ini. Catatannya ini tepat mengenai hati saya. Air mata mengalir sendiri bila membaca kisah keperitan hidup mereka sekeluarga.

Saya mengesyorkan agar anda memiliki buku ini untuk bacaan sekeluarga. Betapa amalan 'Hablu Minallah Hablu Minannas - Hubungan dengan Allah, Hubungan dengan Manusia' amat baik untuk diterapkan kepada anak-anak untuk menjadi pelajar yang berjaya.

Sinopsis:

Si ayah bergelut dengan gelombang. Si ibu bergelumang dengan perit harian. Lantas si anak menyemat tekad untuk terus berjuang melepaskan mereka dari kesengsaraan.

Kesempitan hidup yang menyesakkan nafas tidak pernah sekalipun mematahkan semangatnya untuk hidup. Malah itulah tangkal dan azimat yang menjadi bekalan untuknya mengatur langkah, mencari permata yang tak ternilai harganya - ILMU! Menyalin semula sebuah kamus dengan tulisan tangan sendiri kerana tak punya wang untuk membelinya. Sering berpuasa menahan lapar dan dahaga demi untuk menjimatkan belanja. Menahan keinginan hati untuk memiliki barang-barang sendiri. Bukan senang mencapai bintang. Namun, tiada yang mustahil dalam kehidupan. Kepada Allah dia menyandarkan harapan. Agar diberi kekuatan dan ketabahan untuk meneruskan cabaran hidup. Semoga diberi kesempatan untuk membalas keringat dan jasa ayah bonda.

Tekad si anak bukan mainan kerana dihujungnya adalah permulaan kepada sebuah KEJAYAAN!

Sunday, June 21, 2009

Ulusan buku: Ahmadinejad Singa Baru Dunia Islam


"Sekiranya dunia melihat nuklear ini keji dan kami tidak boleh menguasai dan memilikinya, mengapa kamu pula yang memilikinya? Sekiranya teknologi nuklear ini baik untuk kamu, mengapa kami tidak boleh juga menggunakannya?"

* Siapakah pemimpin negara Islam yang enggan tunduk kepada kuasa Amerika Syarikat dan Eropah?

* Siapakah pemimpin negara Islam yang dengan lantang dan berani mempertikaikan peristiwa Holocaust?

* Siapakah pemimpin negara Islam yang berdakwah kepada kuasa besar dunia melalui surat selepas Rasulullah?

Selepas tragedi 11 September yang membawa kepada kejatuhan pemerintahan Taliban di Afghanistan dan kerajaan Saddan Hussein di Iraq, dunia Islam seolah-olah 'tunduk dan patuh' kepada kuasa Barat. Segalanya berubah apabila Mahmoud Ahmadinejad memikul tanggungjawab sebagai Presiden keenam Republik Islam Iran pada 3 Ogos 2005. Dalam waktu yang singkat, Ahmadinejad menjadi pemimpin Islam yang disegani di seluruh dunia.

Buku ini adalah hasil penyelidikan empat orang wartawan bebas yang kebetulan pernah menimba ilmu di Iran dan menguasai bahasa Parsi. Digarap dengan bahasa yang mudah dan popular, buku ini membawa pembaca mengenali singa baru dunia Islam abad ini dengan lebih dekat.

Saya cuba memahami siapakah Ahmadinejad yang diangkat sebagai Presiden Iran yang sebenarnya. Dan buku ini berjaya menerangkan dari mana dan ke mana hala tujuan seorang yang bergelar Presiden namun beliau masih begitu rapat dengan kehidupan rakyat di negara pimpinannya.

Buku ini juga mengukuhkan sokongan saya kepada Ahmadinejad menerajui sebuah negara Islam.

Tuesday, June 16, 2009

Ulasan Buku: Telaga Budi - Tuan Guru Nik Abdul Aziz


"Ke arah menyempurnakan nikmat kehidupan, Allah SWT bekalkan pula manusia dengan nafsu. Di sana ada nafsu baik dan ada nafsu jahat.

Untuk kawal, pantau, imbang dan kendali perjalanan nafsu yang bercabang dua ini supaya sentiasa berada di titik tengah kesederhanaan, Allah SWT membekalkan pula manusia dengan Al-Quran. Khuatirkan kekeliruan, Allah lantik pula Nabi yang bernama Muhammad SAW yang bersifat dengan segala sifat siddiq, amanah, tabligh dan fatonah bagi menterjemahkan kehendak Al-Quran setepat-tepatnya dalam realiti kehidupan.

Oleh kerana Al-Quran ini datang daripada Allah SWT yang Maha Mulia, turun dari langit kemuliaan dan hamba yang menyambut wahyu itu pula adalah semulia-mulia insan, maka dari sinilah Nik Abdul Aziz membuat penegasan.

Beliau mengatur ayat-ayat yang dipetik di atas ini dalam susunan yang sangat teliti. Beliau mewajarkan faktor ataupun logik kenapa Al-Quran itu penuh dengan kemuliaan.

Tidak berhenti setakat itu, kita lalu dihantar kepada mauduk ataupun persoalan hidup yang sangat penting iaitu punca yang boleh membawa seseorang kepada maqam kemuliaan atau kehinaan. Dalam hal ini, Nik Abdul Aziz lalu mengesahkan bahawa hanya orang yang mengamalkan Islam, memperjuangkan Islam, rela bersusah-payah untuk Islam, berkorban demi Islam, hidup kerana Islam; bahkan rela mati kerananya - ini sahaja orang-orang yang berkemuliaan. Hidup hamba Allah baik bertaraf individu ataupun pertubuhan ataupun parti, orang ataupun pihak seperti ini sahaja yang akan hidup dengan maruah dan kemuliaan. Sebaliknya, baik individu ataupun pertubuhan ataupun parti yang membenci Islam, tidak selesa dengan Islam bahkan menentang Islam, maka dia akan berada dalam kehinaan.

Walaupun dia mungkin berstatus tetapi dia hidup tidak bermaruah. Statusnya dan maruahnya cuma dibina atas saduran wang, emas dan gelaran. Dia boleh tertipu dan terus lagha dalam buaian gelaran pangkat, wang dan segala pakaian kebesaran. Rugilah dia kerana tidak berkesempatan mensucikan rohnya, bahkan terus leka mengotorinya. Beruntunglah orang-orang yang sebaliknya.

Pendek kata, sebagai Tuhan, Allah SWT tentunya mempunyai segala sifat yang cukup mulia. Siapa sahaja yang memuliakan-Nya, akan turut mulia dan segala apa yang dihina oleh-Nya akan turut hina.

Islam adalah agama yang mulia kerana Allah sendiri memuliakannya. Yang selain darinya semuanya hina. Tauhid adalah akidah yang mulia kerana Allah memuliakannya. Syirik dengan sendirinya hina, termasuklah fahaman sekular dan segala fahaman rekaan. Semuanya automatik menjadi hina. Di sisi Allah, pendukung dan pejuangnya sedang dan akan terus hina.

Untuk meninggalkan kesan renungan yang lebih menyerap dan mungkin lebih mendalam, mari kita tutup telaga budi 4 Nik Abdul Aziz ini dengan kata-kata beliau dalam bab yang sama di tempat yang lain dan waktu yang lain. Ia berbunyi:

"Saya takut orang yang diberi gelaran di dunia umpamanya dengan pangkat Yang Amat Berhormat tahu-tahu di akhirat kelak, gelaran itu menjadi terbaik. Daripada al-Aziz menjadi Yang Amat Hina. Daripada Yang Amat Setia menjadi Yang Amat Derhaka. Daripada Yang Amat Arif menjadi Yang Amat Bebal lagi Buta Hati. Daripada Yang Amat Berbahagia menjadi Yang Amat Berdukacita"


Petikan di atas adalah daripada buku 'Telaga Budi' tulisan Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang bertajuk 'Beruntunglah Orang Yang Mensucikan Jiwa' yang saya sunting untuk tatapan dan santapan minda kita bersama. Banyak lagi tajuk-tajuk yang sesuai untuk bacaan kita bersama.

Saya baru saja selesai membaca keseluruhan buku tersebut. Dan saya dapati ianya begitu menarik dan padat dengan ilmu yang menyuluh minda dan juga jiwa kita.

Saya sarankan agar anda dapatkan buku daripada garapan seorang yang bergelar ulama ini untuk menambahkan ilmu di dada.

Followers