Wednesday, November 4, 2009

Tingkatkan keefisienan Bajet 2010 - TERAS Perak

TERAS cawangan Perak menyambut baik pembentangan bajet 2010 oleh Perdana Menteri baru-baru ini dengan harapan bajet tersebut adalah satu pengaliran wang untuk kesejahteraan rakyat dan masyarakat bawahan. Erti kesejahteraan yang dimaksudkan adalah nilai kepuasan dan kenikmatan yang efektif yang berjaya dirasai oleh para rakyat secara umum serta bebas daripada segala pengaruh kroni, pembaziran serta gejala ‘mark-up’ wang oleh pihak-pihak tertentu yang semestinya bakal mengurangkan keberkesanan wang tersebut.

Bagi kami, erti kemakmuran dan pengutamaan rakyat seperti yang cuba digagaskan oleh Gagasan 1 Malaysia bukanlah dengan melihat jumlah atau peruntukan wang dan amaun yang digunakan untuk sesuatu sektor. Kemakmuran dan kesejahteraan ini hanya menjadi realiti apabila sejumlah wang tersebut diterjemah bersama manual operasinya yang cermat dan teliti demi memastikan pengaliran wang tersebut sahih serta berkesan.

TERAS Perak meneliti juga unsur kerosakan dalam negara yang sebenarnya telah lama membunuh sebarang sistem, bajet atau perancangan negara ini iaitu barah rasuah. Kami merujuk strategi kedua bajet 2010 iaitu memastikan pembangunan holistik dan mapan, kerajaan akan meningkatkan modal insan berkemahiran tinggi, memantapkan sistem perbankan dan kewangan, memerangi rasuah, pembangunan wilayah koridor, dan meningkatkan keberkesanan dan kecekapan pengurusan kerajaan.

Rasuah tidak boleh dibunuh atau ditangani hanya melalui stimulus wang yang besar. Rasuah adalah penyakit sosial yang berakar umbi dari sekecil-kecil perkara seperti guru, kerani atau pekerja am sehinggalah ke kerusi para menteri. Yang membezakannya hanyalah amaun wang yang dirasuahkan.

Rasuah adalah antara penyakit yang bakal menggagalkan sebarang perancangan yang telah kerajaan garapkan kerana umum masyarakat telah menyedari betapa wang yang disalurkan semestinya akan ditapis oleh pihak tertentu terutamanya apabila melibatkan projek-projek berpotensi komersial. Peruntukan besar untuk TNB, Projek Empangan Paya Peda di Terengganu, memodenkan industri akuakultur, Konsortium FELDA, FELCRA dan RISDA, peruntukan RM9 bilion untuk biayai projek infrastruktur, TEKUN dan bajet RM14.8 bilion untuk mengurus, membangun dan menaik taraf hospital dan klinik adalah antara projek yang berpotensi komersial dan perlu dikawal serta memiliki ketelusan (transparency) tinggi untuk diaudit. Gejala salah laku wang dan rasuah umpama kes mega PKFZ perlu diperangi habis-habisan serta dijadikan prioriti utama kerajaan.

Ketua Audit Negara juga perlu diberi hak istimewa dan diisytiharkan sebagai bebas dan beroutoriti untuk mengaudit sebarang pengaliran wang sepertimana yang terkandung dalam Bajet 2010. Pengupayaan sistem audit adalah antara perkara utama yang ingin dimaklumi oleh rakyat. Justeru itu, seiring dengan pengisytiharaan bajet 2010, sikap dan keagresifan kerajaan dalam dua perkara iaitu rasuah dan pengupayaan sistem audit negara adalah penting sekali.

TERAS juga tertarik dengan strategi ketiga iaitu , kerajaan akan berusaha mencegah jenayah, meningkatkan pendapatan dan taraf hidup rakyat, memperkasa prasarana luar bandar serta pedalaman, dan menambahbaik pengangkutan awam. Statistik IPKKL dari Januari hingga April tahun 2009 menunjukkan kes jenayah samun bersenjata meningkat sebanyak 2,254 kes berbanding 1,249 kes dalam tempoh yang sama tahun lalu manakala kes jenayah ragut juga mencatatkan peningkatan 1,206 kes tahun ini berbanding 606 kes pada tahun lepas. (sumber: http://mstar.com, 16 April 2009).

Jenayah ragut di ibu negara juga semakin membimbangkan dengan peningkatan 99 peratus kes dalam tempoh empat bulan pertama tahun 2009, berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Antara bulan Januari hingga April tahun 2009, sebanyak 600 kes jenayah ragut dicatatkan iaitu 1,206 kes berbanding 606 kes sepanjang tempoh yang sama tahun 2008. Justeru jenayah perlu ditangani secara mendasar dan perlu bermula dari akar umbi.

Keutamaan menangani jenayah dan pengupayaan sistem keselamatan bukan suatu isu yang bernilai ekonomi semata-mata seperti ingin menarik pelabur umpamanya walaupun isu ini jelas menjejaskan kehadiran pelabur asing. Menurut Laporan Daya Saing Global Forum Ekonomi Dunia (WEF) bagi 2009-2010 yang baru dikeluarkan, ranking keselamatan negara jatuh 25 tangga ke kedudukan ke-85. Isu keselamatan bukan sahaja menjadi kerisauan rakyat tetapi pelaburan dari luar juga menguncup dengan tahap daya saing Malaysia peringkat global jatuh tiga anak tangga ke kedudukan ke-24.

Isu jenayah perlu dilihat dari sudut punca dan sebab musababnya. Sikap kerajaan yang meliberalisasikan hiburan sekaligus mencambahkan benih hedonisme adalah antara punca berlakunya gejala sosial dan jenayah. Perlaburan tinggi untuk industri filem dan muzik yang kelihatannya enggan menerima nasihat dan teguran masyarakat telah membuahkan padah kepada sistem sosial kita hinggakan gejala kecil seperti sikap menghias motosikal mampu bertukar kepada sikap mat rempit, jenayah bunuh dan arak.

Kerajaan perlu menumpukan juga aliran wang untuk merealisasikan strategi ketiga Bajet 2010 melalui NGO-NGO sosial yang konsisten mendekati remaja dan belia yang bermasalah. NGO yang terbabit adalah seperti UNGGAS dan LANDAS, Persatuan Ulama’ Malaysia, Rumah Pemulihan Akhlak Raudhatus Sakinah, serta lain-lain NGO yang diperhatikan cukup komited berusaha menyelamatkan aqidah, moral dan akhlak para remaja dan belia negara ini. Bajet yang mendasar sebeginilah berupaya membuktikan bajet 2010 adalah untuk rakyat.

TERAS juga ingin menegur kerajaan agar mengurangkan retorik 1 Malaysia dalam setiap agenda yang ingin dilaksanakan umpama perlaksanaan Klinik 1 Malaysia. Jika Islam Hadhari menjadi propaganda Perdana Menteri terdahulu kini tersisih, adakah Klinik 1 Malaysia yang bakal berjasa kepada warga kota akan terlupus sebaik sahaja peralihan jawatan Perdana Menteri berlaku? Kerajaan seharusnya tulus dan berkhidmat terus kepada rakyat tanpa mengira jenama yang ingin dipaparkan. Jadikan keberhasilan khidmat dan pengurangan ketirisan wang sebagai KPI untuk menilai kejayaan Bajet 2010.

Kenyataan TERAS Cawangan Perak

Ustaz Wan Ahmad tarmizi Bin Abdul Aziz (Pengerusi TERAS Perak)

Muhammad Nuruddin Bin Bashah ( Setiausaha)

Haji Muhammad Saleh Bin Abu bakar ( Ketua Penerangan)

Muhammad Nuruddin Bashah

Metallurgist
Prima Metal Group
Ipoh Perak
nuruddin@primametals.com
017-6291368
http://primametals.com/

No comments:

Followers