Tuesday, November 24, 2009

Tekad mendekati anak muda, PAS terus relevan

Ramai ahli PAS terutama daripada kalangan pemuda terkejut atau terkesan dengan pendedahan Dr Abu Hassan Hasbullah berkenaan kemerosotan sokongan anak muda sebanyak 70% terhadap PAS. PAS juga diramalkan bakal kalah dalam PRU ke-13 berdasarkan beberapa bukti emperikal.

Apa yang saya lihat daripada pelbagai reaksi spontan para pemuda, ada yang menolak mentah saranan agar pemuda PAS meneliti sudut cerapan politik persepsi yang kini mendominasi arena politik dunia.

Ada juga yang pada awalnya ‘merah telinga’ namun akhirnya akur dengan persepsi masyarakat terhadap PAS serta berusaha membangunkan beberapa aktiviti segera untuk mengatasi masalah ini.

Namun begitu, pada pandangan saya, terdapat terlalu banyak suara yang terus melihat aktiviti ‘orang muda’ hanya sekadar berekreasi atau beriadah seolah-olah muda mudi di luar parti hanya inginkan reakreasi dalam PAS. Benar budaya hedonisme telah menyelimuti rakyat Malaysia dengan pelbagai hiburan melampau. Namun jika sokongan anak muda dikatakan menaikan PAS pada PRU-12, adakah pada waktu sebelum Mac 2008, PAS banyak melakukan aktiviti riang-ria bersama muda mudi sehingga PAS menang besar?

Saya tidak melihat dengan hanya mengadakan Futsal, XPDC, berkhemah, bermotor konvoi sahaja berjaya menarik kembali sokongan anak muda.

Anak muda ‘hening’ dengan PAS adalah disebabkan isu.

Malah walaupun Dr Abu Hasan menyatakan skala umur yang mula hening dengan PAS adalah sekitar 21-40 tahun, pada pengamatan saya skala umur yang benar-benar memberi dampak kepada kemenangan PAS pada PRU-12 adalah sekitar umur 31-40.

Skala umur inilah yang mengubah haluan mereka untuk menyokong Pakatan Rakyat di sebabkan oleh beberapa isu major yang berlaku. Skala umur ini boleh dikatakan matang dan selesa berada dalam arena politik. Skala umur ini juga bukanlah muda mudi yang perlu dilayani dengan Futsal dan aktiviti konvoi motor semata-mata.

Dalam 21000 orang respondan yang dilakukan soalselidik oleh Zentrum Future Study antara isu major yang menyebabkan peralihan undi ialah, Rasuah (Korupsi) dan Kronisme sebanyak 3327 orang menyokong. Isu Menghalang kebebasan bersuara sebanyak 2673. Isu Penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa dipilih oleh 2411 respondan. Isu Ketidakcekapan pengurusan sumber kekayaan seperti petroleum pula sebanyak 2309 undi, manakala isu Pemimpin yang tidak amanah, tidak cekap dan pentingkan diri sendiri sebanyak 2304 undi. (Analisis “Strata Ketidakpercayaan Terhadap Barisan Nasional” - jumlah 10 pilihan masalah paling utama per 21000 responden).

Isu di atas tidak banyak mempengaruhi belia sekitar umur 20an sebaliknya ia cukup berkesan terhadap individu berumur 30 ke atas yang telah bekerja dan berkeluarga.

Lantaran itu, bagi PAS di Perak umpamanya, untuk menangani undi anak muda, perlu diadakan strategi jangka pendek serta jangka panjang. Hal ini kerana Pilihanraya kecil boleh diadakan pada bila-bila masa sahaja.

Bagi strategi jangka pendek semestinya isu yang membelenggu belia sekitar umur 31-40 diutamakan (kerana umur inilah yang banyak mempengaruhi undi PAS) dan program memperjelaskan ‘apa itu perjuangan PAS’ perlu diperlanjutkan.

Bagi strategi jangka panjang pula barulah diteruskan dengan aktiviti mengikat tunas muda yang bakal aktif berpencak di arena politik seperti golongan berumur 19-21 tahun serta 21-30 tahun.

PAS telah lama mendekati remaja dan PAS telah berusaha mendidik anak-anak seawal umur 5 tahun melalui PASTI. Pemuda PAS telah lama mengadakan aktiviti riadhah bersama remaja termasuk melalui aktiviti aktif Unit Amal.

Sokongan anak muda terhadap PAS pada pilihanraya yang lalu adalah berasaskan persepsi anak muda yang berubah terhadap PAS terutama melibatkan beberapa isu major yang dinyatakan tersebut, bukan semata-mata disebabkan PAS banyak beriadhah.

PAS perlu proaktif meneliti dan mengamat isu belia dan sosial. Belia dan sosial perlukan perhatian dan tunjuk ajar dari PAS. Masyarakat marhain perlukan pembelaan PAS dalam banyak isu. Lihat sahaja bagaimana aura isu minyak dan rentetan momentum demostrasi BERSIH yang inginkan keadilan berpilihanraya. Dua momentum ini termaktub juga dalam senarai 10 isu major yang dikaji oleh Zentrum Future Study.

Inilah fokus utama terhadap belia jika PAS ingin terus relevan. PAS sebagai ‘Duta Penyelamat dan kasih sayang’ pada PRU yang lepas cukup memberi kesan kepada rakyat baik yang tua mahupun anak muda. Aktiviti PAS sebagai penyalur harapan disamping memacu isu-isu besar di arus perdana adalah dua sinergi kekuatan PAS dalam pilihanraya dahulu dan semestinya 2 sinergi ini juga memaut sokongan anak muda sebelum ini.

Keheningan sokongan mereka dalam soal selidik rawak Zentrum Future Study adalah disebabkan beberapa isu polemik da kontroversi yang melibatkan PAS dan Pakatan Rakyat, bukan disebabkan PAS sudah kurang bersama anak muda. Penerangan perlu diperhebatkan dan anak muda amat bencikan hipokrasi atau kepura-puraan dalam penerangan yang bakal PAS jalankan.

Yang paling utama sekali ialah operasi PAS memperkenalkan perjuangan holistiknya terhadap remaja dan belia. Cara memperkenalkannya pelru dibezakan antara strata umur 21-30 serta 30-41 tahun. Jika dikatakan anak muda tidak kenal PAS, ianya benar kerana PAS masih berusaha memperkenalkan amalnya kepada anak muda. Proses ini sedang berjalan dan perlu diperhebatkan. Anak muda menyokong PAS mendadak pada PRU yang lepas bukan disebabkan ‘kenal PAS’, sebaliknya dimanipulaiskan oleh isu negara. Inilah realitinya.

Muhammad Nuruddin Bashah

Setiausaha Lajnah Perpaduan nasional PAS Perak

No comments:

Followers

Video ajijoi

Loading...