Sunday, December 6, 2009

Rekod cemerlang pengurusan kewangan Negeri Pakatan Rakyat diiktiraf

Benar, wang bukan segala-galanya. Perjuangan Pakatan Rakyat bukan untuk merebut wang, tambahan pula parti seperti PAS yang lebih berhasrat membina masyarakat yang adil, bermoral dan mengutamakan sahsiah berbanding pandangan materialistik semata-mata.

Namun begitu, sejurus sahaja menerima amanat rakyat untuk mentadbir di 5 buah negeri Pakatan Rakyat(PR), parti-parti PR mesti memikul obligasi mengurus kewangan dan ketelusan agensi kerajaan negeri untuk menerbitkan momentum ke arah negeri yang adil, bermoral serta menyenangkan rakyat.

Justeru, ekonomi merupakan nadi kuat untuk memastikan rakyat berada dalam keadaan sejahtera.

Allah mengajar kita,

Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu makan harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya) kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka...” ( Surat al-Nisa’, ayat 29)

"Dan sesungguhnya Kami telah menetapkan kamu (dan memberi kuasa) di bumi dan Kami jadikan untuk kamu padanya (berbagai-bagai jalan) penghidupan." (al-A'raf: 168)

Kuasa (sultoh) adalah kegunaan untuk mentadbir dan mengurus (as siyasah). Kuasa ini dinyatakan dalam Islam sebagai punca keharmonian hidup. M. Quraish Shihab , mengatakan “Pada dasarnya, pembahasan aspek hukum Islam yang bukan termasuk kategori aspek ibadah seperti solat, puasa dan haji, boleh disebut sebagai aspek muamalat. Ekonomi dan ikhtisas (muamalat) adalah suatu materi yang diurus (siyasah) oleh para pemimpin untuk kesejahteraan rakyat dan negara. Dalam Islam sejahtera bermaksud menjurus juga penundukan kepada Allah.”

PAS berpakat dengan komponen lain Pakatan Rakyat seperti DAP dan PKR adalah disebabkan sikap optimis parti-parti berkenaan terhadap ekonomi yang adil untuk kesejahteraan rakyat, sejajar dengan matlamat PAS dan Islam.

Lihat, dalam beberapa bulan sahaja (bermula Mac 2008 hingga Disember 2008), terbukti Pulau Pinang berjaya dianjak ke satu tahap selamat ekonominya melalui kesepaduan integriti dan akauntabiliti pemimpin Pakatan Rakyat yang memerintah.

YAB Lim Guan Eng Ketua Menteri berkata, terdapat dua perkara yang membolehkan peningkatan kepada jumlah pendapatan negeri iaitu amalan bersih, cekap dan amanah serta usaha penjimatan wang di bawah kepimpinannya sehingga mendapat kepujian bukan sahaja daripada Badan Transparensi Antarabangsa Malaysia malah termaktub juga dalam laporan Ketua Audit Negara 2008.

Di samping Pulau Pinang, Laporan Ketua Audit Negara juga meletakkan tahap pengurusan kerajaan negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat juga berada pada tahap yang amat memuaskan. Rentetan laporan ini, YAB Khalid Ibrahim (Menteri Besar) berkata Pakatan Rakyat telah meletakkan prinsip ketelusan, integriti dan ketanggungjawaban sebagai pemandu urustadbir kerajaan.

Mari kita teliti sendiri Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang 2008 (mukasurat 7 bermula bab Analisis Kewangan Kerajaan Negeri) yang dikeluarkan oleh Jabatan Audit Negara.

Pada tahun 2008, perbelanjaan Kerajaan Negeri Pulau Pinang secara keseluruhannya berkurangan sejumlah RM35.41 juta atau 11.1% daripada anggaran diluluskan. Pengurangan perbelanjaan ini berpunca daripada dasar penjimatan Kerajaan Negeri dan keutamaan kepada perbelanjaan untuk rakyat atau dasar people centric (perkara ini dinyatakan secara jelas dalam laporan berkenaan).

Baki Kumpulanwang Amanah Kerajaan pada akhir tahun 2008 adalah berjumlah RM302.29 juta dengan peningkatan sejumlah RM94.24 juta berbanding pada akhir tahun 2007 yang berjumlah RM208.05 juta.

Kumpulanwang Pembangunan pula diwujudkan mengikut Akta Kumpulanwang Pembangunan 1966 (Akta 70). Punca kewangan bagi Kumpulanwang ini terdiri daripada caruman Akaun Hasil, Terimaan Pemberian dan Pinjaman Dari Kerajaan Persekutuan dan juga Terimaan Bayaran Balik Pinjaman dari Agensi Kerajaan Negeri. Wang dalam Kumpulan wang ini hanya boleh dibelanjakan untuk maksud seperti yang ditentukan dalam Akta tersebut. Pada akhir tahun 2008, Kumpulanwang Pembangunan telah mencatat lebihan sejumlah RM87.43 juta berbanding lebihan sejumlah RM22.89 juta pada tahun 2007. Lebihan ini berpunca daripada penerimaan berjumlah RM239.37 juta berbanding perbelanjaan berjumlah RM151.94 juta. Dengan lebihan ini, baki terkumpul Kumpulanwang Pembangunan pada akhir tahun 2008 meningkat menjadi RM189.76 juta berbanding RM102.33 juta pada tahun 2007.

Pada keseluruhannya, analisis Audit mendapati kedudukan kewangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada akhir tahun 2008 adalah baik. Baki Akaun Hasil Disatukan pada 31 Disember 2008 telah bertambah dengan lebihan sejumlah RM88.02 juta atau 23.6% menjadikan lebihan terkumpul berjumlah RM461.61 juta. Hasil yang dikutip pada tahun 2008 telah meningkat sejumlah RM75.28 juta atau 25.4% berbanding tahun 2007 iaitu daripada sejumlah RM295.86 juta menjadi RM371.14 juta. Kedudukan aset yang terdiri daripada wang tunai dan pelaburan juga telah meningkat sejumlah RM178.45 juta atau 21.1% menjadi RM1,025.90 juta pada tahun 2008 berbanding RM847.45 juta pada tahun 2007. Dengan kedudukan kewangan yang baik, Kerajaan Negeri berupaya untuk memberikan perkhidmatan dan sumbangan kepada rakyat dengan lebih berkesan.

Lihat satu contoh negeri di bawah tadbiran UMNO-BN.

Menurut Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Johor 2008 (mukasurat 7) pula, Analisis Audit mendapati kedudukan Kumpulan WangDisatukan Kerajaan Negeri Johor telah mengalami penurunan sejumlah RM59.03 juta atau 22.7% iaitu daripada RM260.56 juta pada tahun 2007 menjadi RM201.53 juta pada tahun 2008. Penurunan ini antara lain disebabkan oleh baki defisit Akaun Hasil Disatukan pada 31 Disember 2008 telah bertambah sejumlah RM70.35 juta atau 21% menjadi RM405.37 juta berbanding baki defisit berjumlah RM335.02 juta pada tahun 2007.

Pada akhir tahun 2008, baki Akaun Pinjaman Disatukan telah meningkat sejumlah RM1.32 juta atau 25.6% menjadi RM6.47 juta berbanding baki pada akhir tahun 2007 yang berjumlah RM5.15 juta. Peningkatan ini disebabkan pada tahun 2008 Kerajaan Negeri Johor telah menerima pinjaman baru daripada Kerajaan Persekutuan berjumlah RM182.11 juta. Selepas membiayai bayaran projek Perumahan Awam Kos Rendah dan enam projek baru berjumlah RM180.79 juta, akaun ini mempunyai baki berjumlah RM6.47 juta.

Pada tahun 2008 walaupun Johor berjaya mencatat peningkatan sejumlah RM 32.76 juta, Johor masih menanggung defesit Akaun hasil Disatukan sejumlah RM70.35 juta (21%) menjadikan defesit terkumpul sebanyak RM405.37 juta berbanding RM335.02 juta pada tahun 2007. Jabatan Audit Negara juga menyarankan Johor memperkukuh prestasi kewangannya supaya pendapatannya cukup menampung keperluan pengurusan negeri dan rakyat. Johor juga dinasihatkan berhemat dan berjimat dalam berbelanja tanpa menjejaskan mutu perkhidmatan.

Bagaimana pula Johor menjayakan RMK ke-9 sebelum ini? Analisis Audit menunjukkan prestasi perbelanjaan pembangunan RMKe-9 adalah antara 17.3% hingga 70.4%. Secara keseluruhannya, prestasi perbelanjaan pembangunan RMKe-9 adalah pada tahap 42.3% di mana sejumlah RM581.12 juta daripada RM1,372.69 juta telah dibelanjakan pada akhir tahun 2008.

Pulau Pinang pula menunjukkan pencapaian pada tahun 2008 daripada RM162.53 juta yang telah diperuntukkan bagi sembilan Jabatan, sejumlah RM151.94 juta atau 93.5% telah dibelanjakan. Kebanyakan jabatan kerajaan negeri berjaya mencapai target 80% ke atas untuk merealisasikan peruntukan wang Rancangan Malaysia ke-9 berbanding Johor yang hanya sekitar 50% sahaja.

Sebenarnya pengurusan ekonomi berhemah bukan hanya dicetuskan oleh PR di Pulau Pinang , malah telah lama dilaksanakan oleh PAS di Kelantan sejak tahun 1990 lagi. Tuan Guru Nik Abdul Aziz berjaya mengurangkan hutang negeri terhadap kerajaan persekutuan sebanyak RM204 juta hutang kepada kerajaan pusat sejak 1990. Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa pernah berkata, hutang Kelantan pada 1990 adalah sebanyak RM718 juta (warisan UMNO).

Semua negeri yang dikuasai BN mempunyai tunggakan hutang yang lebih banyak daripada Kelantan. Menurut data Tunggakan Bayaran Balik Pinjaman Mengikut Negeri Sehingga 31 Disember 2006, Kelantan mempunyai tunggakan RM11.6 juta berbanding Selangor sebanyak RM587.45 juta, Kedah (RM385.23 juta), Johor (RM365.8 juta) dan Pahang (RM309.13 juta). Terengganu, yang berjaya dirampas BN pada pilihanraya umum ke-11, mempunyai tunggakan RM300.34 juta.

Saya pernah menulis artikel berkenaan rancangan ekonomi kerajaan BN yang tidak menyebelahi rakyat. Terdapat beberapa kritikan terhadap tulisan berkenaan terutama dari sudut ‘bukti’ bagaimana PR sendiri berjaya mengurus kewangan. Sekarang jelas, Jabatan Audit Negara yang bukannya ‘orang PR’ telah mengadili keadaan dan mengiktiraf usaha PR mengurus perbelanjaan negeri secara berhemat.

Saya juga ingin berkongsi rekod kejayaan ekonomi kerajaan PR di Perak walaupun kerajaan adil ini diguling secara biadab oleh BN.

Menurut Sumber Konvensyen Pakatan Rakyat Perak 31 Oktober 2009, Perak di bawah 10 bulan pemerintahan pakatan Rakyat berkaya membekalkan subsidi air sebanyak 20 meter padu kepada rakyat di mana tiada subsidi oleh BN sebelumnya. Tabung Khas Kebajikan ditubuhkan untuk OKU, ibu tunggal dan pesakit kronik di Perak. Bantuan kebajikan masyarakat dinaikkan kepada RM 400 daripada kadar asal pemberian BN iaitu RM 200 sahaja. Skim Takaful Kifalah juga diwujudkan untuk menyumbang RM 1000 kepada warga emas berusia 65 tahun.

Kutipan cukai Perak selama 10 bulan tersebut meningkat sebanyak 17.8%, manakala kutipan zakat meningkat sebanyak 39.7%. Perlaburan asing juga meningkat sebanyak 53.4%, hasil hutan meningkat 150% !!

Pengurusan kewangan berhemat ditonjol oleh YAB Ir Nizar dan pimpinan PR melalui pengurangan hampir 50% bagi bajet Sambutan Majlis Keraian. Jamuan rasmi makan pula hanya memperuntuk RM 15 seorang berbanding amalan BN sebanyak RM 45 seorang. Kerajaan Perak juga mengeluarkan Pekeliling Kewangan Negeri iaitu garis panduan bagi perbelanjaan secara berhemah dan langkah mengurangkan perbelanjaan awam yang perlu dipatuhi oleh setiap jabatan berkenaan.

Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata (Bernama 11 November 2008) antara kandungan pekeliling itu ialah kawalan elaun lebih masa bagi kakitangan kerajaan negeri, penjimatan ulitili seperti arahan menutup lampu ketika rehat, waktu pemasangan pendingin hawa dan penggunaan bekalan pejabat seperti kertas dan pembelian surat khabar. Cadangan pengubah suaian pejabat atau penyewaan bangunan pejabat baru dan lawatan sambil belajar atau lawatan keluar negara yang berkaitan dengan pelaksanaan sesuatu kontrak dan projek perlu mendapat kelulusan pegawai kewangan negeri.

Bandingkan dengan Perak semasa berada di bawah BN. Menurut Laporan Penyata Kewangan Perak, Jabatan Audit Negara 2006, Kerajaan Negeri tidak stabil pada tahun 2006. Akaun Hasil telah mengalami defisit sejumlah RM23.58 juta yang mengakibatkan baki terkumpul Akaun Hasil Disatukan berkurangan kepada sejumlah RM535.08 juta atau 4.4% pada akhir tahun 2006. Kerajaan Negeri digesa untuk mengamalkan perbelanjaan berhemat dan berusaha menambahkan sumber pendapatan serta memungut tunggakan hasil berjumlah RM193.62 juta dan menuntut tunggakan pinjaman daripada Yayasan Perak, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak dan Majlis Daerah Perak Tengah berjumlah RM26.67 juta.

Bagi negeri Terengganu yang bernaung di bawah BN pula, walaupun mendapat sumbangan Dana Khas sebanyak RM2.613 bilion dari kerajaan Pusat bagi tahun 2007 dan 2008, kedudukan akaun hasil disatukan kerajaan negeri masih defisit (kurangan). Pada tahun 2007, jumlah perbelanjaan mengurus adalah RM1,546.52 juta berbanding hasil yang diperolehi sebanyak RM1,262.13 (defisit RM284.39 juta). Manakala pada tahun lalu, perbelanjaan mengurus sebanyak RM1,790.10 melampaui hasil sebanyak RM146.54 juta (defisit) dengan penerimaan hasil adalah sebanyak RM1,643.56 juta. Oleh kerana mengalami defisit dua tahun berturut-turut, kerajaan negeri Terengganu telah mendapat teguran dari Ketua Audit Negara, Tan Sri Dato’ Setia Haji Ambrin Buang. Ini bermakna Kerajaan Negeri masih menggunakan sumber daripada Akaun Amanah Disatukan bagi menampung defisit tersebut. Justeru, Jabatan Audit menyarankan , kerajaan Terengganu mesti mengambil tindakan sewajarnya, dengan mengamalkan berhemat supaya keadaan ini tidak berlaku kerana tidak semua wang amanah itu merupakan aset Kerajaan Negeri.

Suatu ketika dahulu (sekitar tahun 1980an dan awal 90an), PAS dan Parti Pembangkang diperlekeh serta dianggap retorik apabila bercakap soal pemerintahan dan pengurusan ekonomi. Malah, pembangkang langsung tidak diletakkan sebagai satu ‘kasta’ dengan BN dalam hal kemahiran mentadbir seolah-olah ditakdirkan pembangkang di Malaysia dibarisi oleh manusia bodoh. Tidak seperti Parlimen Britain di mana pembangkang dianggap berpotensi bila-bila masa sahaja untuk menggantikan kerajaan serta diyakini oleh rakyat sebagai mahir mentadbir. Tiada istilah ‘hanya kerajaan mampu mengurus ekonomi’ atau ‘hanya kerajaan mampu menstabilkan keharmonian’.

Bagi negara demokrasi, sesiapa yang mampu merealisasikan hasrat rakyat, mengurus harta rakyat dengan baik, merekalah yang paling layak memegang Parlimen negara.

Muhammad Nuruddin Bashah

AJK Lajnah Politik DPP Pusat

http://landskapsiasah.blogspot.com

Hadapan 360 MKJ Kampung Terang

11000 Balik Pulau

Pulau Pinang

017 6291368

No comments:

Followers