Wednesday, December 30, 2009

Lumut, johan Futsal Piala Pesuruhjaya Pas Perak

IPOH 29 Dis: Pasukan futsal dari Lumut muncul juara keseluruhan kejohanan futsal piala Pesuruhjaya PAS Perak dan membawa pulang hadiah berupa sebuah piala dan juga wang tunai RM1,500.

Tempat kedua pula diraih pasukan dari Ipoh Timur dan menerima wang tunai sebanyak RM700, manakala tempat ketiga dan keempat masing-masing dari Tanjung Malim dan Kampar membawa pulang hadiah saguhati.

Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Ustaz Abu Bakar merakamkan ucapan tahniah kepada Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) yang telah berjaya mengadakan Pertandingan Futsal Piala Pesuruhjaya PAS Perak.

Abu Bakar berkata, program sedemikian amat penting kerana ianya merupakan medan untuk mengeratkan ukhuwwah di kalangan pemuda negeri yang hadir dari setiap kawasan di negeri itu bagi mencapai persefahaman dalam melaksanakan kerja dakwah.

"Semasa bertemu,ahli-ahli boleh saling bertanya khabar dan mengetahui perkembangan organisasi. Ini penting untuk mengeratkan lagi ukhuwwah dan kesatuan organisasi bagi melancarkan agenda dakwah," katanya.

Abu Bakar juga berpandangan, program yang diadakan itu boleh dijadikan sebagai medan untuk menarik dan mengumpul golongan muda agar mencintai cara hidup Islam.

"Program ini boleh menjadi medan mengumpul mad'u (sasaran dakwah) yang baru. Riadah boleh dijadikan masa untuk bertemu dan saling berkenalan. Dengan berkenalan akan timbul kesefahaman dan kasih sayang yang merupakan asas dalam dakwah," katanya lagi.

Selain itu ujarnya, program riadah juga juga dapat membentuk akhlak muslim. Ini kerana jelasnya, ketika bersukan pastinya akan berlaku kekasaran.

Kadangkala juga seorang itu akan diuji sejauh mana dia jujur dengan kesalahan yang dilakukannya ketika bersukan. Oleh itu dari kekasaran akan terbentuknya sifat kemaafan dan kejujuran menanamkan sifat sering merasai pemerhatian oleh Allah (ma’iyatullah).

"Sehubungan itu, penghayatan terhadap kepentingan riadah pula adalah sebahagian daripada fikrah Islam yang syumul. Sebuah organisasi yang membawa fikrah yang syumul harus merialisasikan apa yang didokongnya," katanya.

Beliau turut berharap agar DPPN Pk dapat meneruskan usaha untuk menjadikan program riadah dan sukan sebagai salah satu wasilah kepada dakwah, tarbiyah dan juga siasah.

Ahad lalu, sebanyak 24 pasukan terdiri daripada kawasan-kawasan Parlimen di seluruh negeri mengambil bahagian dalam Pertandingan Futsal Piala Pesuruhjaya PAS Perak.

Pertandingan itu berlangsung meriah di Extreme Park Tambun, Ahad lalu dan dirasmikan oleh Abu Bakar sendiri.

Pengadil perlawanan yang dibawa khas daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyemarakkan lagi semangat para pemain. Setiap perlawanan menggunakan khidmat 2 orang pengadil untuk memberikan keadilan kepada semua pasukan.

Setiap pasukan juga menerima sijil penghargaan daripada pihak penganjur.

HarakahDaily.Net

No comments:

Followers