Sunday, June 8, 2008

Klinik Darussyifa' Ipoh




Klinik Darussyifa' Ipoh yang bertempat dibangunan Addin berhadapan dengan Masjid Kampung Melayu Sg Rapat, Ipoh beroperasi setiap hari Sabtu dan Ahad mulai jam 8.00 pagi sehingga 2 petang senantiasa penuh sesak dengan kunjungan Muslimin dan Muslimat dari serata ceruk negeri Perak.

Pelbagai masalah diajukan untuk mendapat rawatan terutamanya yang melibatkan masalah yang biasanya dirujuk kepada bomoh dan pawang. Atas kesedaran Islam yang kian berkembang, tumpuan beralih kepada perubatan secara Islam yang mengikut landasan agama yang berpandukan Al-Quran dan sunnah.

Anda hanya perlu membawa air sahaja untuk mendapatkan rawatan kerana kaedah rawatan Islam ini adalah melalui ayat-ayat Al-Quran yang dibacakan kepada pesakit dan juga dihembus kedalam air tadi. Andaikata ada terdapat 'gangguan' di dalam tubuh anda, air itu bukan saja untuk minuman malah untuk mandian selama 3 hari iaitu waktu petang selepas Asar dan sebelum Maghrib. Air mineral botol besar ada juga disediakan disana dengan kadar bayaran sebanyak RM2 sebotol manakala rawatan ini tidak dikenakan sebarang bayaran melainkan anda hendak bersedekah seberapa yang ikhlas, tabung Darussyifa' ada disediakan.

Sepertimana posting saya yang lepas menceritakan bagaimana terdapat 'gangguan' terhadap saya selepas balik daripada mengunjungi Muzium Taiping, saya pun pergilah ke klinik Darussyifa' Ipoh ini untuk mendapatkan rawatan. Sementara menunggu giliran saya, ada tak kurang daripada 5 pesakit yang mengalami 'gangguan' agak berat sehinggakan terjerit pekik apabila 'dihalau' oleh ustaz yang bertugas. Ada seorang perempuan itu yang begitu agresif 'melawan' ustaz sehinggakan terpaksa suaminya memegang erat tubuhnya yang meronta-ronta mencabar ustaz tadi. Agak seram juga dibuatnya.



Seperti yang dijangkakan, memang saya mengalami sedikit 'gangguan' (menurut Ustaz Che Leh yang merawat saya). Saya hanya perlu meminum air dan mandi selama 3 hari dengan menggunakan air yang telahpun dibacakan ayat-ayat Al-Quran. Insya-Allah, dengan izin Allah Taala, sembuhlah saya kerana kuasa menyembuh hanya daripada Allah Taala manakala ustaz-ustaz di Darussyifa' hanyalah orang-orang yang berikhtiar mencari keredhaan Allah semata.

Kepada mereka yang berhajat untuk mendapatkan rawatan, bolehlah dapatkan maklumat dari Darussyifa' Ipoh (Ustaz Najib 012-5201140 / Sabudin 016-5644321) & Darussyifa' Bota (Ustaz Mokti 013-5212706).

No comments:

Followers