Thursday, December 31, 2009

Pengurusan jual buku sekolah lebih teruk daripada pasar borong

IPOH 30 DIS Hari ini saya ke Sekolah Menengah Rapat Setia, Ipoh untuk membelikan buku sekolah buat anak saudara saya yang akan naik ke tingkatan dua tahun hadapan.

Setiba di sana jam 11.15 pagi (selepas pendaftaran Azizul Hakim di Sek Keb Rapat Setia disebelah), orang ramai telah memenuhi tempat membeli buku. Lebih kurang 70 orang sedang berbaris didalam 4 barisan.

Penjualan buku sekolah hanya dibuka 3 hari (30 Dis, 31 Dis dan 1 Jan) bermula jam 8.00 pagi hingga 12.00 tengahari. Sepatutnya buku dijual lebih awal kerana mereka mempunyai sebulan setengah bercuti.

Berbanding dengan Sek Ren Rapat Setia yang membuka jualan seawal cuti sekolah (setiap hari), tiga hari yang diperuntukkan kepada ibu bapa untuk membeli buku anak-anak mereka agak suntuk dan kehadiran yang ramai untuk membeli buku-buku itu pada masa yang sama sudah boleh dijangka.

Persediaan dan pengurusan yang rapi daripada pihak sekolah yang menyelia dan mengurus penjualan buku melalui koperasi sekolah amatlah diharapkan oleh ibubapa yang terpaksa mengambil cuti untuk membeli buku-buku anak mereka.

Namun begitu, harapan ibubapa kepada pihak pengurusan sekolah hancur berkecai sepertimana gambar-gambar yang dipaparkan disini.

Ibubapa terpaksa beratur panjang dan lama

Guru-guru mengambil pesanan manakala murid-murid
mencari buku-buku tersebut

Suasana yang tidak terurus. Lebih teruk daripada pasar borong.
Penjual buku-buku bundle dipasar malam lebih teratur daripada
pihak sekolah yang sepatutnya berpelajaran tinggi

Sepatutnya, kesemua buku-buku untuk jualan telah tersedia rapi mengikut tingkatan. Tidak perlu lagi tercari-cari sebuah demi sebuah.

Ibubapa hanya perlu memberitahu anaknya ditingkatan berapa dan guru terus mendapatkannya.

Bayangkan, saya terpaksa berdiri dan beratur selama satu setengah jam untuk membeli hanya 20 buah buku latihan dan 3 buah buku kerja.

Setiap wang jualan buku juga tiada direkodkan dan diberi resit kepada pembeli. Bagaimana pihak sekolah membuat audit diatas setiap harga buku yang terjual? Siapa yang perlu menjawab kepada koperasi jika didapati jumlah buku yang terjual melebihi wang yang dikutip?

Jika beginilah pengurusan pihak sekolah berhadapan dengan ibubapa, bayangkan bagaimana mereka menguruskan anak-anak anda disekolah setiap hari selama setahun.

No comments:

Followers